KEGANASAN rumah tangga menjadikan wanita mangsa.
KEGANASAN rumah tangga menjadikan wanita mangsa.
Nurul Husna Mahmud


MENURUT statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 6,540 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu sebanyak 3,269 membabitkan kes keganasan terhadap wanita dan menunjukkan keperluan tinggi untuk teras meningkatkan kesedaran terutama membabitkan ilmu perundangan serta hak wanita.

Itu diakui sendiri sukarelawan dan antara pemandiri kes keganasan rumah tangga, Ita Amiruddin, 46, apabila kerap membantu wanita yang menjadi mangsa keganasan suami.

Kata Ita, ramai wanita bersikap 'memendam' dan rela terus menjadi mangsa kerana tidak tahu atau tiada pengetahuan jelas mengenai hak perlindungan wanita.

"Wanita yang terus bertahan didera pasangan kerana mereka tidak tahu cara untuk dapatkan bantuan. Apatah lagi memikirkan hak yang mereka ada dan boleh tuntut daripada pasangan.

"Saya sendiri mendapat perlindungan daripada agensi seperti Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"Bermula dari kaunseling, saya juga mendapat maklumat berkaitan nasihat perundangan dan berjaya bebaskan diri daripada bekas suami pada 2018. Atas perjalanan sendiri, saya membantu rakan wanita senasib.

RAMAI wanita ‘memendam’ kerana tidak tahu atau tiada pengetahuan jelas mengenai hak perlindungan.
RAMAI wanita ‘memendam’ kerana tidak tahu atau tiada pengetahuan jelas mengenai hak perlindungan.

"Boleh dikatakan tidak kurang 20 wanita sudah dibantu bermula dari sokongan dan motivasi sehingga kepada persiapan mangsa menghadiri prosiding mahkamah," katanya dalam program IRIS dan MATAHARI anjuran JPW dan KPWKM yang berlangsung di Dewan Perdana Nur, Putrajaya.

Kata Ita, kebanyakan mangsa trauma dan berasakan tiada yang dapat membela nasib mereka. Tetapi, situasi diubah apabila mereka mendapat dorongan terutama ilmu berkenaan perundangan dan hak mereka boleh suarakan.

"Saya akui ramai wanita tiada ilmu perundangan takut tampilkan diri kerana mereka bergantung penuh dengan suami selain takut kehilangan hak penjagaan anak.

"Di sini saya mainkan peranan untuk selitkan keyakinan supaya mangsa fokus ke arah usaha keluar dari belenggu hubungan toksik dan menggunakan perundangan serta hak wanita dalam melindungi diri," katanya.

TENGKU Naufal menjelaskan hak atau pelindungan kepada peserta program IRIS.
TENGKU Naufal menjelaskan hak atau pelindungan kepada peserta program IRIS.

Sementara itu, Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya dan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Tengku Naufal Tengku Mansor berkata, penting untuk mangsa keganasan rumah tangga mempunyai daya tahan tinggi dalam berjuang menuntut hak mereka.

"Hak atau peruntukan undang-undang perlindungan untuk wanita sudah sedia termaktub, cuma peringkat pelaksanaan diakui ada cabarannya.

"Saya merujuk sistem undang-undang negara kita sudah cukup sempurna dan diatur sebegitu dalam memastikan selagi tiada pembuktian, individu itu tidak bersalah atau dihukum.

"Terdapat sudut pandang umum yang kurang selesa dalam hal ini yang mana kes seperti keganasan wanita terpaksa mengharungi tempoh lama untuk turun naik mahkamah. Ini saya merujuk terhadap pertikaian atau pihak mangsa atau bekas suami tidak capai persefahaman.

"Saya sendiri pernah membantu klien dalam satu kes membabitkan tempoh selama lapan tahun dengan kos sekitar RM15,000. Tempoh perjuangan memenatkan, tetapi bagi saya ia berbaloi apabila dapat hak yang dituntut.

PROSES perundangan rumit memerlukan wanita lebih berdaya tahan mengharunginya.
PROSES perundangan rumit memerlukan wanita lebih berdaya tahan mengharunginya.

"Pengajaran di sini ialah sistem perundangan negara memang melindungi hak wanita dan wanita perlu memiliki daya tahan terutama mangsa. Lengkapkan diri dengan mengetahui peruntukan yang ada selain bukti yang mampu membantu mereka menuntut hak mereka," katanya.

Tambah Dr Tengku Naufal lagi, menangani keganasan rumah tangga atau terhadap wanita memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

"Selain itu, wanita perlu tingkatkan literasi terhadap undang-undang dan hak wanita serta anggota masyarakat perlu sama melaporkan insiden yang berlaku di sekeliling.

"Setiap lapisan masyarakat bermula dari ibu bapa yang memberi teladan terutama peranan lelaki dan perempuan dalam perkongsian tanggungjawab, toleransi serta menolak perlakuan ganas.

"Tidak lupa golongan agamawan juga terus menekankan kehormatan dan status wanita dimuliakan dalam agama serta lelaki selaku pelindung baik saudara, bapa mahupun suami," katanya.

ITA Amiruddin
ITA Amiruddin

Sementara itu, penyertaan peserta program IRIS dan MATAHARI yang terdiri daripada komuniti dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkait wanita dilihat satu inisiatif JPW dan KPWKM untuk memperkasakan pengetahuan setiap wanita mengenai hak individu dalam aspek perundangan. Ia termasuk menangani isu keganasan dan diskriminasi wanita.

Menterinya, Datuk Sri Hajah Nancy Shukri berkata, reaksi positif diterima daripada wakil komuniti, sukarelawan dan agensi menunjukkan petanda ilmu perundangan dan hak wanita itu boleh terus dikongsi kepada anggota masyarakat.

"Wakil yang hadir dalam program ini adalah dari serata Malaysia yang mempelajari mengenai sudut psikologi, perundangan dan hak wanita.

"Diharap mereka boleh kongsi dan gunakan apabila bertemu dengan wanita memiliki isu atau masalah keganasan rumah tangga," katanya

Program MATAHARI menumpukan kesejahteraan kenderaan diri wanita menerusi aspek psikologi dan pemikiran positif, sementara IRIS adalah saluran maklumat berkait perundangan dan hak wanita kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 6:30 AM