KEGANASAN rumah tangga tidak hanya tertakluk kepada penderaan fizikal, emosi serta psikologi turut terangkum dalam tafsiran Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
KEGANASAN rumah tangga tidak hanya tertakluk kepada penderaan fizikal, emosi serta psikologi turut terangkum dalam tafsiran Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Muhammad Saufi Hassan


Wanita sering kali menjadi mangsa dan tajuk utama apabila menyentuh soal keganasan rumah tangga.

Tatkala berlaku keganasan rumah tangga, wanita adalah 'mangsa dominan' berbanding lelaki dan ia tidak hanya membabitkan penderaan fizikal, malah turut mempengaruhi emosi.

Berdasarkan rekod, jumlah keganasan rumah tangga meningkat 42 peratus pada 2021 dengan jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 7,468 berbanding 5,260 pada 2020.

Rekod daripada agensi berkaitan pula mendedahkan bahawa 3,028 panggilan membabitkan kes keganasan rumah tangga melalui Talian Kasih 15999 bagi tempoh Januari hingga Disember 2021.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 974 panggilan dikategorikan sebagai aduan.

Mungkin ada dalam kalangan wanita yang belum sedar berkenaan hak mereka sebenarnya dilindungi daripada perspektif perundangan, malah Islam juga sangat menitikberatkan hak seorang isteri dan larangan mencederakan pasangan.

Jika menyentuh soal perundangan, negara ini mempunyai akta khusus iaitu Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (AKRT 1994) yang memberi tafsiran bahawa keganasan rumah tangga itu sama ada sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal.

Tafsiran lain pula adalah mencederakan mangsa secara fizikal, memaksa atau mengancam melakukan perbuatan berbentuk seksual atau selainnya yang mana mangsa itu berhak tiada melakukan.

Akta itu juga memberi tafsiran perbuatan seperti ugutan kepada mangsa sehingga mengakibatkan mangsa bimbang keselamatannya atau berhubung dengan mangsa atau pihak ketiga untuk mengaibkan kehormatan mangsa melalui apa-apa medium komunikasi.

Menerusi akta ini, isteri dan suami serta bekas isteri atau bekas suami dilindungi jika berdepan pelbagai bentuk ugutan seperti yang dinyatakan dalam tafsiran AKRT 1994 ini.

MANGSA keganasan rumah tangga sering memilih untuk berdiam daripada mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa.
MANGSA keganasan rumah tangga sering memilih untuk berdiam daripada mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa.

Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat berkata, takrifan khusus terhadap konotasi keganasan rumah tangga dibuat menerusi Seksyen 2 Akta Keganasan Rumahtangga 1994.

Beliau berkata, ia merangkumi secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan atau cuba meletakkan, mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal dan beberapa takrifan lain yang boleh dirujuk menerusi akta ini.

Katanya, wanita yang menghadapi masalah keganasan rumah tangga akan melalui proses tertentu antaranya pertama, mangsa mempunyai akses kepada sokongan dan bantuan daripada organisasi yang menyediakan pertolongan dan perlindungan kepada wanita.

"Antara yang menyediakan perkhidmatan ini adalah Women's Aid Organization (WAO) dan All Women's Action Society (Awam).

"Mangsa boleh menghubungi WAO dan Awam melalui panggilan telefon atau melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp dan mereka akan menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuk memberikan nasihat, menjelaskan pilihan yang tersedia kepada mangsa dan menyusun pertemuan bersemuka dengan wakil daripada organisasi.

"Selain itu, mangsa juga boleh memanfaatkan perkhidmatan seperti sokongan perlindungan dan bantuan dalam situasi krisis yang disediakan WAO dan Awam," katanya.

Mahmud berkata, proses kedua adalah hospital kerajaan menyediakan bantuan kepada mangsa keganasan dalam rumah tangga melalui Pusat Krisis Satu Atas Talian (OSCC).

Menurutnya, pusat bantuan ini beroperasi sepanjang hari, 24 jam dan menerima kes yang berkaitan penyalahgunaan, keganasan dan eksploitasi dewasa dan kanak-kanak.

"Tujuan utama OSCC adalah untuk menyediakan tempat yang aman bagi melindungi mangsa daripada bahaya, menilai kecederaan yang dialami mangsa dan memberikan rawatan yang diperlukan.

"Jika seseorang wanita menghadapi keganasan rumah tangga yang kritikal, mereka boleh melaporkan kepada polis dengan hanya membawa kad pengenalan, sijil perkahwinan dan sijil kelahiran anak jika berkaitan, namun jika keadaan kecemasan, mereka boleh hadir tanpa membawa dokumen berkenaan," katanya.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai kuasa mengeluarkan 'Perintah Perlindungan Kecemasan' tanpa membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 7:00 AM