LUKA pukul,bengkak dan lebam antara tanda kecederaan fizikal akibat penderaan.
LUKA pukul,bengkak dan lebam antara tanda kecederaan fizikal akibat penderaan.
Nurul Husna Mahmud


TAHUN ini sahaja, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menerima tidak kurang 800 aduan menerusi talian pertolongan Think I Need Aid (TINA) membabitkan keganasan domestik atau didera pasangan sendiri.

Hal itu dikongsi Pegawai Kanan Advokasi WAO, Kiran Kaur yang turut memberi gambaran keganasan rumah tangga seakan-akan tiada penghujung meskipun negara sudah dalam fasa pemulihan.

"Keganasan rumah tangga antara isu yang serius berlaku dalam masyarakat berdasarkan kadar panggilan dan mesej diterima talian hotline WAO masih sama.

"Setiap hari ada sahaja kes baharu dilaporkan dan situasi ini tidak jauh beza dengan keadaan ketika pandemik Covid-19 dahulu.

"Tahun ini sahaja iaitu panggilan dan mesej aduan diterima sehingga September lalu adalah 800 aduan baik dalam bentuk panggilan atau mesej," katanya.

Kata Kiran, situasi keganasan rumah tangga yang berlaku bertambah buruk andai segelintir masyarakat berpandangan wanita itu sengaja membiarkan diri mereka terperangkap dalam hubungan tidak sihat.

"Tanggapan salah terutama dalam anggota masyarakat sendiri yang bersikap patriarki atau kepercayaan 'ketidaksamaan' jantina mendorong normal perbuatan ganas terhadap jantina.

MURUNG antara gangguan psikogi dihadapi wanita didera.
MURUNG antara gangguan psikogi dihadapi wanita didera.

"Mangsa pula dipersalahkan kerana mendorong pelaku, sedangkan pelaku sebenarnya memilih untuk melakukan keganasan terhadap mangsa," katanya.

Penting wujudkan persekitaran terutama masyarakat yang cakna tanggungjawab mereka apabila berhadapan insiden keganasan rumah tangga.

Sementara itu, Pegawai Kaunseling Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, Noor Suraya Muhammad berkata, orang yang terdekat dengan mangsa seperti ahli keluarga dan kenalan perlu peka mengenai perubahan dialami mangsa.

"Gejala yang boleh dilihat pada mangsa adalah kesan kecederaan fizikal yang kerap disebabkan tindakan agresif pasangan seperti luka, bengkak lebam dan parut lama.

"Biasanya mangsa akan memberi pelbagai alasan seperti terjatuh atau kemalangan kecil berlaku di rumah untuk menutup kejadian didera pasangan.

"Penderaan rumah tangga juga membabitkan emosi apabila keresahan dan ketakutan yang melampau oleh mangsa atau wanita tanpa disedari meluahkan rasa takut atau bimbang perbuatan tidak disenangi pasangan dengan kerap di depan orang lain.

PROGRAM kesedaran membantu masyarakat lebih peka dalam menangani isu keganasan rumah tangga.
PROGRAM kesedaran membantu masyarakat lebih peka dalam menangani isu keganasan rumah tangga.

"Mangsa keganasan rumah tangga sering tidak hadir ke tempat kerja atau sekolah lebih dikenali sebagai 'absentisme' bagi menyembunyikan kesan mereka didera pasangan masing-masing.

"Semua gejala ini merujuk kepada keadaan biasa yang ditemui mangsa penderaan dan perkara sama kerap ditemui hampir setiap hari ketika bertemu pesakit," katanya.

Menjelaskan wanita atau mangsa (ada sebilangan juga berlaku pada lelaki) tidak mengadu masalah rumah tangga lebih 90 peratus kerana anak.

"Tiada wanita mahu hidup bersama pasangan yang 'kaki pukul' dan mereka bertahan kerana anak.

"Wanita yang bertahan dalam hubungan ini juga disebabkan mereka bergantung dengan pendapatan suami.

TIDAK hadir bekerja satu bentuk gejala atau tanda mangsa penderaan.
TIDAK hadir bekerja satu bentuk gejala atau tanda mangsa penderaan.

"Bimbang tiada pekerjaan dan memikirkan anak-anak masih kecil membuatkan wanita yang menjadi mangsa kepada keganasan rumah tangga tidak meninggalkan pasangan mereka," katanya.

Tambah Noor Suraya, mangsa keganasan rumah tangga tidak dapat membuat pertimbangan rasional kerana keadaan mereka apatah lagi tiada sokongan dari keluarga atau kenalan.

"Satu yang saya tekankan kepada pesakit ialah wanita atau mangsa keganasan perlu memberi keutamaan pada diri iaitu kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri.

"Tidak dinafikan jika kami mendapati wanita memiliki kesan penderaan, mereka ini terus dilaporkan kepada polis.

"Situasi lain andai keluarga atau kenalan menerima aduan wanita ini beberapa langkah boleh diambil melihat kepada situasi wanita terbabit," katanya.

KELUARGA atau kenalan perlu peka perubahan tingkah laku individu yang berkemungkinan menjadi mangsa penderaan.
KELUARGA atau kenalan perlu peka perubahan tingkah laku individu yang berkemungkinan menjadi mangsa penderaan.

Pakar itu menasihati supaya orang ramai yang menyedari kenalan atau keluarga didera pasangan untuk mengambil langkah berikut:

1. Apabila mereka mendapati rakan atau ahli keluarga menunjukkan gejala terutama kesan psikologi seperti kemurungan dan menyendiri, beri ruang serta cari masa sesuai untuk berbincang dari hati ke hati.

2. Percaya dan memberi sokongan kepada mangsa. Contohnya terima atau dengar setiap kisah mangsa sampaikan.

3. Hormat privasi mangsa dengan tidak menjaja atau berkongsi kisah dengan orang lain. Tidak sewenang-wenang melaporkan kejadian tanpa kebenaran mangsa.

4. Dorong mangsa rasionalkan tindakan yang wajar daripada terus dibelenggu dan temani mangsa andai diminta bagi beri sokongan untuk melaporkan kejadian penderaan.

5. Bekalkan maklumat yang berkaitan seperti saluran untuk dapatkan pertolongan seperti Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan (talian HEAL15555 ) atau Talian Kasih menerusi talian bebas tol 15999.

DAPATKAN bantuan psikologi atau berkenaan.
DAPATKAN bantuan psikologi atau berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 6:30 AM