WANITA perlu melakukan pemeriksaan ginekologi secara berkala.
WANITA perlu melakukan pemeriksaan ginekologi secara berkala.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KETUMBUHAN benign (bukan kanser), fibroid sering berlaku pada wanita dalam usia reproduksi (subur).

Namun, usah terlalu risau kerana kebanyakan wanita yang menghidapi fibroid dan cyst tidak mempunyai masalah untuk hamil.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Farah Leong Rahman berkata, bergantung kepada saiz dan lokasi fibroid terbabit, bagaimanapun ia mungkin memberi kesan kepada tahap kesuburan pesakit.

Kata Dr Farah, fibroid dan cyst biasanya tidak menjadi penghalang jika seseorang pesakit itu ingin hamil.

"Namun, ada kemungkinan bagi kedua-dua penyakit itu menyebabkan tiub fallopio tersumbat atau menyebabkan persekitarannya menjadi tidak kondusif bagi implantasi embrio terutama untuk fibroid yang terletak pada dinding rahim.

"Manakala rawatan bagi penyakit itu bergantung kepada simptom yang dialami pesakit dan pembedahan hanya dilakukan jika ia dapat meningkatkan peluang kehamilan," katanya.

Menurut beliau, kebimbangan utama apabila mempunyai fibroid ketika hamil adalah risiko kelahiran awal.

Ini kerana kata Dr Farah, dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan kesakitan yang teruk di mana fibroid melebihi bekalan darah pesakit.

DR FARAH
DR FARAH

Katanya, jika fibroid bersaiz besar, ia boleh menyebabkan kedudukan bayi berada pada posisi yang salah (kepala tidak berada di bawah walaupun sudah cukup bulan).

"Jika mempunyai cyst ketika kehamilan, ia selalunya tidak memberikan mudarat melainkan sekiranya cyst itu cukup besar dan menyebabkan koyakan.

"Justeru, pesakit dinasihatkan mendapat nasihat doktor sebelum memulakan perancangan kehamilan mereka bagi memastikan semuanya berada pada keadaan baik," katanya.

Dalam pada itu, mengulas kaedah rawatan sesuai kepada pesakit, Dr Farah berkata, rawatan individu atau 'personalized treatment' adalah kunci untuk merawat fibroid dan cyst.

Manakala cyst bersaiz kecil selalunya tidak memerlukan rawatan, tetapi pertumbuhannya perlu sentiasa dipantau.

KETUMBUHAN benign (bukan kanser), fibroid sering berlaku pada wanita dalam usia reproduksi (subur).
KETUMBUHAN benign (bukan kanser), fibroid sering berlaku pada wanita dalam usia reproduksi (subur).

Bagi cyst bersaiz besar pula, Dr Farah berkata, ia akan memerlukan pembedahan secara laparoskopi atau secara terbuka (open surgery).

Katanya, pembedahan masih kekal sebagai solusi bagi rawatan fibroid.

"Apabila kesuburan menjadi kebimbangan, miomektomi (pembuangan fibroid) boleh dilakukan melalui pembedahan terbuka, laparoskopi atau melalui miomektomi histeroskopik bergantung kepada saiz dan lokasi fibroid.

"Bagi wanita yang tidak mahu menambah cahaya mata atau dalam fasa selepas menopaus, histerektomi (pembuangan rahim) akan dipertimbangkan," katanya.

Jelas Dr Farah lagi, uterine arteri embolisasi dan kemajuan baharu dalam teknologi seperti pembedahan High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) antara alternatif lain yang boleh digunakan.

KEBANYAKAN wanita yang menghidapi fibroid dan cyst tidak mempunyai masalah untuk hamil.
KEBANYAKAN wanita yang menghidapi fibroid dan cyst tidak mempunyai masalah untuk hamil.

Namun, kaedah rawatan moden itu belum tersedia secara meluas di kebanyakan hospital.

Bagi pesakit yang tidak memerlukan pembedahan pula, mereka diberikan rawatan perubatan untuk melegakan simptom seperti pendarahan haid yang banyak serta haid yang menyakitkan.

Kata Dr Farah, fibroid dan cyst bukan penyakit yang boleh diwarisi dan ia tidak diturunkan dari satu generasi ke generasi lain. Begitu pun, ia masih boleh berlaku dalam sesebuah keluarga.

Justeru Dr Farah menasihatkan wanita melakukan pemeriksaan ginekologi secara berkala kerana ketumbuhan fibroid dan cyst mungkin tidak menyebabkan sebarang simptom atau tidak disedari.

Katanya, pemeriksaan berkala dengan doktor pakar dapat memantau saiz fibroid atau cyst selain memeriksa simptom yang ada.

KEBIMBANGAN utama apabila mempunyai fibroid ketika hamil adalah risiko kelahiran awal.
KEBIMBANGAN utama apabila mempunyai fibroid ketika hamil adalah risiko kelahiran awal.

"Tidak semua fibroid atau cyst memerlukan pembedahan, namun jika anda mempunyai simptom atau merancang untuk hamil, doktor boleh mengesyorkan rawatan yang sesuai.

"Sehingga kini masih tiada bukti yang boleh membantu mencegah ketumbuhan fibroid atau cyst, tetapi amalan gaya hidup sihat dan mengekalkan diet seimbang adalah cara yang baik untuk tahap kesihatan secara menyeluruh,"

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 6:20 AM