SEGERA bertemu dengan pakar di hospital untuk mendapatkan kepastian.
SEGERA bertemu dengan pakar di hospital untuk mendapatkan kepastian.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Mengetahui keadaan badan dan tahap kesihatan masing-masing sememangnya dapat membantu kita untuk menjadi lebih sihat.

Namun, terdapat beberapa keadaan di mana ia mungkin sedikit mencabar untuk membezakan sesuatu penyakit jika hanya berpandukan kepada simptom semata-mata.

Sebagai contoh, fibroid dan sista (cyst) kerap didiagnos dalam kalangan wanita.

Bagaimanapun, tidak ramai mengetahui apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan fibroid dan cyst? Apa pula persamaan dan perbezaan di antara kedua-dua penyakit itu.

Walaupun selalunya tidak bergejala, fibroid dan cyst hanya dapat dikesan ketika pesakit menjalani pemeriksaan imbasan ultrasound abdomen dan pelvis.

Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Wong Yen Shi berkata, fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser yang bermula daripada otot rahim dan sering terjadi kepada wanita ketika berada di fasa reproduktif.

Manakala bagi sista ovari atau ovarian cysts, ia adalah kantung yang kebanyakannya mengandungi cecair, kadang kala tisu atau darah yang tumbuh di dalam ovari atau di permukaannya.

Kata Dr Yen Shi, tidak seperti fibroid iaitu ketumbahan bukan kanser, cyst berkemungkinan untuk menjadi beningna (tumor bukan kanser) atau malignan (tumor jenis kanser).

"Untuk membezakan kedua-dua jenis ketumbuhan itu, doktor akan menggunakan imbasan ultrasound dan ujian penanda tumor CA125.

"Ketumbuhan ovari lebih banyak berlaku kepada wanita berusia antara 60 hingga 65 tahun namun kebanyakan cyst adalah jenis beningna.

"Kebanyakan cyst akan hilang dengan sendiri dalam beberapa bulan manakala cyst tidak berbahaya seperti follicular cyst atau corpus luteal akan membesar dan hilang bersama kitaran haid seseorang wanita," katanya.

Menurut Dr Yen Shi lagi, seseorang wanita boleh menghidapi fibroid dan cyst pada masa yang sama.

Katanya, memandangkan keadaan pesakit adalah berbeza-beza, maka cara merawat dan memantau penyakit itu juga bergantung kepada saiz serta simptom yang dialami pesakit.

"Walaupun punca sebenar mengapa fibroid boleh berlaku masih lagi tidak dapat dikenal pasti sehingga kini, namun faktor hormon, genetik dan faktor pertumbuhan (produk gen yang boleh menggalakkan atau menghalang mitosis atau menjejaskan pembezaan selular) dikatakan sebagai faktor kepada berlakunya fibroid dan cyst.

"Seperti fibroid, cyst berlaku secara semula jadi. Kehamilan, jangkitan pada pelvis, endometriosis dan sejarah kesihatan mengalami cyst ovari juga boleh meningkatkan kemungkinan untuk mendapat cyst ovari," katanya.

Tambah beliau, fibroid dan cyst juga mungkin menunjukkan simptom yang sama.

Contohnya, haid yang tidak teratur atau menyakitkan, kerap membuang air kecil atau sembelit, kembung perut, sakit belakang, pertambahan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau persetubuhan yang menyakitkan.

"Mereka yang mengalami fibroid juga berkemungkinan untuk mengalami pendarahan haid yang banyak jika dibandingkan dengan cyst.

"Manakala dalam kes ketumbuhan ovari, rasa cepat kenyang ketika makan, hilang berat badan dan selera makan antara simptom yang pesakit boleh perhatikan," katanya.

Tambah beliau, untuk kepastian jika mempunyai simptom yang dinyatakan, segeralah bertemu dengan pakar di hospital.

Selain itu, wanita juga disaran supaya melakukan pemeriksaan ginekologi secara berkala kerana ketumbuhan fibroid dan cyst mungkin tidak menyebabkan sebarang simptom selain mungkin tidak disedari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 7:00 AM