TEKNOLOGI canggih HIFU.
TEKNOLOGI canggih HIFU.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Pusat Perubatan Mahkota (PPM) menjadi hospital pertama di Malaysia memperkenalkan teknologi Tumpuan Ultrabunyi Berkeamatan Tinggi (HIFU) untuk rawatan fibroid dan adenomiosis.

Menerusi teknologi HIFU, PPM mampu mengubah landskap rawatan wanita di seluruh negara.

Pakar Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif Dr S Selva berkata, ia menawarkan rawatan tidak invasif dan canggih bersama hasil positif yang terbukti secara klinikal.

Pada masa sama dapat mengekalkan kesuburan wanita.

Menurut Dr S Selva, fibroid rahim dan adenomiosis adalah dua ketumbuhan ginekologi benign (tidak merbahaya) biasa yang boleh memudaratkan kualiti hidup wanita yang masih subur.

"Walaupun kedua-dua ketumbuhan ini ditemui dalam rahim, tetapi ia adalah masalah ginekologi yang berbeza.

"Fibroid adalah ketumbuhan benign yang tumbuh pada dinding rahim, manakala adenomiosis ialah keadaan di mana lapisan dalam rahim (endometrium) dijumpai di dinding otot rahim (miometrium).

"Fibroid rahim dan adenomiosis boleh menimbulkan banyak gejala seperti pendarahan haid yang banyak dan kekejangan menyakitkan ketika haid, ketidakselesaan di bahagian perut bawah, sakit belakang, sakit di bahagian pelvis, perut kembung serta sakit ketika aktiviti seks," katanya.

Beliau berkata, rawatan biasa untuk fibroid dan adenomiosis ialah pembuangan histerektomi pada rahim, miomektomi serta adenomiomektomi (membuang adenomiosis).

Kata Dr S Selva, kebanyakan wanita enggan menjalani prosedur histerektomi. Miomektomi dan adenomiomektomi boleh menyebabkan kesan sampingan semasa hamil.

"Teknologi HIFU menggunakan tenaga bunyi tumpuan untuk memanas dan memusnahkan tisu yang disasarkan.

"Ia banyak digunakan dalam merawat penyakit lain seperti batu pada buah pinggang, katarak, gangguan neurologi, nodul tiroid benign serta penyakit prostat dan ketumbuhan pepejal.

"Dalam bidang ginekologi, teknologi HIFU boleh digunakan untuk merawati fibroid rahim dan adenomiosis. Teknologi HIFU menawarkan pendekatan non-invasif sepenuhnya untuk membuang adenomioma dan alternatif bagi pembedahan membuang fibroid rahim," katanya.

Dr S Selva berkata, HIFU dilakukan dengan panduan sama ada pengimejan resonan magnet (MRgFUS) sebagai modaliti pengimejan atau Ultrabunyi (USgHIFU).

Menurutnya, ia menggunakan imbasan ultrabunyi sebagai modaliti pengimejan untuk menumpukan rawatan ke kawasan tersasar dalam tisu serta mengelakkan kerosakan pada tisu yang lain.

"Oleh kerana HIFU menggunakan teknologi prosedur yang tidak invasif, maka pesakit tidak memerlukan ubat bius ketika prosedur dan bebas parut.

"Prosedur ini juga mempunyai kelebihan daripada segi tempoh masa pemulihan, berbanding pembedahan seperti miomektomi atau histerektomi.

"Wanita yang mempunyai keinginan untuk hamil, akan memperoleh banyak manfaat daripada rawatan HIFU kerana prosedur ini dapat memusnahkan tisu penyakit dengan tepat, memelihara otot dan tisu rahim di sekitarnya," katanya.

Kata Dr S Selva, prosedur HIFU adalah pengubah keadaan kerana memberikan penyelesaian yang dapat mengurangkan ketakutan dan kesan kesuburan yang mungkin dihadapi pesakit selepas menjalani rawatan membuang fibroid serta adenomiosis.

Selain itu, kata Dr S Selva, teknologi canggih yang tidak invasif ini turut memberi manfaat kepada pesakit daripada segi tempoh pemulihan singkat dan dapat kembali kepada rutin harian dengan lebih cepat.

"Dalam kebanyakan kes, sesi rawatan HIFU menggunakan ultrabunyi berlangsung antara satu hingga empat jam, dalam satu sesi rawatan.

"Hanya pesakit yang mempunyai saiz fibroid besar memerlukan beberapa sesi rawatan.

"Sepanjang prosedur berlangsung, pesakit tidak akan mengalami masalah kehilangan darah, maka pemindahan darah tidak perlu dilakukan.

"HIFU juga dapat mengurangkan risiko komplikasi yang mungkin boleh berlaku akibat pembedahan membuang adenomioma atau fibroid rahim," katanya.

Beliau berkata, lebih penting, pesakit yang ingin hamil tidak perlu menunggu rahim sembuh sepenuhnya sebelum mencuba untuk mengandung.

"Mereka boleh melakukan hubungan seksual selepas selesai kitaran haid berikutnya.

"Kajian menunjukkan pesakit berjaya hamil selepas beberapa bulan menjalani rawatan HIFU, sama ada secara semula jadi atau dengan bantuan rawatan kesuburan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 6:50 AM