STROK diketahui umum sebagai punca utama kematian dan hilang upaya di seluruh dunia.
STROK diketahui umum sebagai punca utama kematian dan hilang upaya di seluruh dunia.
Muhamaad Razis Ismail

[email protected].m6y

Strok diketahui umum antara punca utama kematian dan hilang upaya di seluruh dunia selain kekerapannya terus meningkat.

Pembunuh senyap ini biasanya berlaku apabila bekalan darah ke bahagian otak terganggu menyebabkan kerosakan pada sel-sel otak.

Lebih menakutkan apabila penyakit ini boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia, tetapi biasanya ia lebih kerap berlaku kepada individu berusia 60 tahun dan ke atas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan kenyataan bahawa pesakit strok kini turut dialami golongan muda. Natijahnya, satu daripada empat kes strok kini berlaku kepada golongan berusia bawah 50 tahun.

Penolong Pengarah Perubatan yang juga Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Lee Tuan Cheong berkata, strok adalah penyebab utama kematian yang ketiga di Malaysia.

"Menurut Pendaftaran Strok Kebangsaan, ada 47,911 kejadian strok dilaporkan pada 2019 iaitu kira-kira 130 orang mengalami strok pada setiap hari di Malaysia.

"Tambahan pula, negara juga mencatatkan hampir 32 kematian setiap hari akibat strok dan kebanyakan pesakit mempunyai pelbagai masalah morbiditi yang mana tujuh daripada 10 pesakit strok perlu bergantung kepada orang lain untuk kelangsungan hidup," katanya.

Beliau berkata, menurut tinjauan Global Burden of Disease Stroke Statistics Worldwide yang dibuat pada 2016, dianggarkan satu daripada empat rakyat Malaysia mengalami strok menjelang 2040 jika tiada langkah pencegahan diambil.

"Bagaimanapun, difahamkan bahawa sehingga 90 peratus kejadian strok boleh dicegah dan disebabkan beberapa faktor risiko yang boleh diubah suai. Dengan mengetahui faktor risiko ini dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya, anda boleh menurunkan kemungkinan mendapat strok.

"Antara faktor risiko yang paling kerap berlaku ialah tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol, merokok, obesiti, penyakit jantung dan sejarah keluarga yang pernah menghidap strok.

TEKNOLOGI robotik dapat membantu pesakit yang baru pulih daripada strok untuk berjalan semula.
TEKNOLOGI robotik dapat membantu pesakit yang baru pulih daripada strok untuk berjalan semula.

"Serangan strok juga boleh disebabkan penyalahgunaan dadah, angkat berat dan tekanan emosi yang melampau," katanya.

Katanya, apabila strok menyerang, tanda dan gejala yang dialami mungkin berbeza bergantung kepada bahagian otak yang terjejas.

"Bagaimanapun, ada beberapa tanda umum yang membolehkan anda menentukan serangan strok iaitu kebas atau lemah secara tiba-tiba pada sebelah badan, kekeliruan atau masalah pertuturan secara tiba-tiba dan masalah penglihatan secara tiba-tiba pada sebelah atau kedua-dua mata.

"Tanda lain termasuk sukar berjalan atau mengimbangkan badan secara tiba-tiba dan sakit kepala yang teruk secara tiba-tiba tanpa diketahui puncanya," katanya.

Jelasnya, adalah penting untuk bertindak cepat dan mendapatkan rawatan perubatan dengan pantas ketika serangan strok yang boleh membantu mengurangkan kerosakan yang disebabkan oleh strok serta meningkatkan peluang untuk pulih sepenuhnya.

"Segera pergi ke hospital ketika permulaan simptom kerana terapi reperfusi (mewujudkan semula bekalan darah) seperti trombolisis dan trombektomi dalam strok iskemia terbukti dapat meminimumkan ketidakupayaan," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Pemulihan Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Foong Chee Chong pula mengesyorkan program pemulihan strok yang komprehensif, yang biasanya bermula apabila mangsa strok masih berada di hospital dan ia juga boleh dilakukan sebagai rawatan pesakit luar atau ketika di rumah.

"Dengan kemajuan perubatan hari ini, ada banyak proses pemulihan lain yang sesuai untuk mangsa strok antaranya teknologi robotik, rangsangan otak bukan invasif dan realiti maya yang boleh membantu mangsa strok meningkatkan fungsi dengan lebih baik.

"Salah satu teknologi canggih ialah exoskeleton EksoNR iaitu sejenis peralatan pemulihan yang dapat membantu pesakit baru pulih daripada strok untuk berjalan semula.

"Secara umum, rawatan pemulihan ini mengambil masa antara satu hingga tiga bulan kerana teknologi robotik sedemikian bukan sahaja menyediakan latihan intensif dengan maklum balas yang tepat, malah ia turut menawarkan pelbagai peringkat sokongan bergantung kepada tahap keupayaan pesakit," katanya.

SUKAR berjalan atau mengimbangkan badan secara tiba-tiba antara tanda awal serangan strok.
SUKAR berjalan atau mengimbangkan badan secara tiba-tiba antara tanda awal serangan strok.

Beliau berkata, bagi mereka yang menghidap strok, rehabilitasi adalah rawatan yang penting untuk kembali ke tahap kesihatan yang optima.

"Oleh itu, pemilihan fasiliti kesihatan yang dilengkapi dengan kepakaran dan peralatan yang sesuai dapat menyokong proses pemulihan dengan baik," katanya.

Selain itu, ada juga beberapa jenis senaman yang boleh dilakukan oleh 'survivor' strok di rumah yang boleh dikategorikan secara meluas iaitu senaman fleksibiliti, senaman pengukuhan, senaman imbangan, senaman tugas berfungsi dan senaman aerobik

"Semua senaman yang disyorkan perlu disesuaikan mengikut keperluan individu bergantung kepada tahap stroknya," katanya.

Dr Foong berkata, doktor mendedahkan bahawa sebenarnya terdapat tempoh kritikal yang mana otak yang cedera bersifat lebih 'plastik' iaitu kebiasaannya dalam tempoh tiga bulan pertama.

"Dalam tempoh ini, terapi intensif boleh memberi hasil dengan lebih baik," katanya.

Jelasnya, ia memerlukan banyak kesabaran apabila orang yang tersayang diuji dengan serangan strok.

"Oleh itu, adalah penting bagi keluarga dan pasangan untuk memahami tahap strok serta kesukaran yang dialami. Ini membolehkan mereka mengetahui jenis terapi dan rawatan yang diperlukan oleh pesakit.

"Apa yang lebih penting, anda perlu sentiasa berada di samping orang yang tersayang untuk menyokong perjalanan pemulihan mereka yang panjang.

"Perlu sentiasa sabar dan tabah. Walaupun kesihatan mereka mungkin tidak dapat pulih dan berfungsi sepenuhnya, namun mereka masih boleh menjalani kehidupan yang bermakna, walaupun dengan cara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 7:01 AM