IBU yang melahirkan anak perlu memberikan susu badan bagi menguatkan imunisasi badan si kecil. FOTO Sumber Google
IBU yang melahirkan anak perlu memberikan susu badan bagi menguatkan imunisasi badan si kecil. FOTO Sumber Google
BAYI mudah dapat penyakit jika tidak menyusu ibu. FOTO Sumber Google
BAYI mudah dapat penyakit jika tidak menyusu ibu. FOTO Sumber Google
MENYUSU badan mengeratkan hubungan anak dan ibu. FOTO Sumber Google
MENYUSU badan mengeratkan hubungan anak dan ibu. FOTO Sumber Google
Hafiz Ithnin

ORGANISASI Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan tiga daripada lima ibu yang melahirkan tidak menyusukan bayi mereka dalam sejam pertama selepas melahirkan anak. Dua daripada tiga ibu yang melahirkan anak pula tidak memberikan susu ibu secara eksklusif untuk tempoh yang dicadangkan iaitu enam bulan.

Situasi itu tidak banyak berubah sejak dua dekad yang lalu. Terdapat banyak kajian yang dijalankan dalam menyokong sepenuhnya penyusuan ibu kerana ia adalah pemakanan terbaik kepada bayi.

Perkara itu dijelaskan Pakar Kesuburan dan Sakit Puan, Dr Salini Suhaila Nasir selain turut menyatakan susu ibu mempunyai banyak kebaikan dari segi fizikal, emosi dan ekonomi.

“Dari segi fizikal dan emosi, hubungan bayi serta ibu amat erat selain ada antara ibu pula dapat menurunkan berat badan dengan cepat hanya menyusukan bayi secara eksklusif.

“Bayi yang diberikan susu ibu kurang mendapat masalah kesihatan seperti cirit-birit, ruam, alahan berbanding susu formula. Penyusuan ibu merangsang pembebasan oxytocin iaitu dapat mengecutkan rahim selepas kelahiran, katanya.

Pakar itu menambah, ia juga dapat mengurangkan risiko barah payudara dan ovari.

Penyusuan susu ibu sepenuhnya membantu menjarakkan kelahiran. Dari sudut ekonomi, ia menjimatkan masa dan wang. Selain mudah dan tidak perlu persediaan untuk membancuh susu.

Mengenai memulakan susuan, katanya, sebaiknya sejurus selepas kelahiran (tidak semestinya nampak susu keluar) atau sekurang-kurangnya dalam masa sejam selepas bersalin.

Jelasnya, kepentingan perkara itu bagi merangsang pengaliran susu yang cepat, mengelak bengkak payudara, pemeberian susu awal (kolostrum) yang kaya protein serta antibodi untuk mengelakkan bayi daripada jangkitan, mengelakkan pendarahan selepas bersalin dan kolostrum menjadi imunisasi pertama untuk bayi.

“Ketika dalam pantang iaitu sesudah bersalin, beri bayi minum susu ibu secara eksklusif. Pemberian susu yang kerap mengikut permintaan bayi (biasanya lebih kurang setiap satu setengah jam hingga dua jam sekali) akan meningkatkan pengeluaran susu.

“Apabila pengeluaran susu sudah stabil kira-kira tiga minggu sebelum keluar bekerja, berlatih memerah susu. Anda mungkin pernah memerah susu sebelumnya terutama ketika payudara membengkak pada hari ketiga atau keempat sesudah bersalin. Waktu perahan yang sesuai adalah pada awal pagi atau pada bila-bila masa anda terasa pengeluaran susu agak berlebihan, katanya.

Dr Salini menjelaskan, setiap perahan susu perlu dilabel mengikut tarikh dan disimpan dalam bahagian beku peti sejuk. Pada permulaan perahan mungkin mendapat susu yang amat sedikit.

“Jangan bimbang kerana dari masa ke masa anda akan dapat menambah jumlah perahan susu anda.

“Biasanya perkara ini berlaku kerana anda belum biasa dengan teknik perahan dan anda mungkin berasa sedikit tertekan, tetapi lama-kelamaan apabila sudah biasa dengan teknik perahan, berasa lebih yakin dan tenang seterusnya pengeluaran susu juga akan bertambah, katanya.

Katanya, terdapat juga mitos mengenai penyusuan susu ibu antaranya puting kecil dan tenggelam punca air susu tidak keluar yang sebenarnya tidak tepat kerana pengaliran yang lancar adalah faktor pengeluaran susu kepada bayi.

“Penghasilan dan pengeluaran susu ibu bergantung kepada jumlah yang dihisap bayi itu sendiri. Makin kerap bayi menyusu makin cepat ia dihasilkan dan payudara juga semakin cepat penuh.

“Selain itu, terdapat juga mitos mengatakan menyusu menyebabkan payudara kendur juga tidak tepat kerana payudara membesar disebabkan kantung ketika menyusu, otot dalam payudara berkontraksi untuk mengeluarkan susu ibu daripada payudara sehingga kantung kosong kembali kepada ukuran semula,katanya.

Jelas pakar itu, apabila menyusukan bayi secara berkala, maka penghasilan susu ibu semakin banyak dalam payudara, perlahan-lahan akan berkurangan. Lalu, payudara akan kembali kepada bentuk atau ukuran idealnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 6:15 AM