SEBAHAGIAN daripada 25 pemancing KPWM menyertai AMCT 2022 di Tasik Kenyir.
SEBAHAGIAN daripada 25 pemancing KPWM menyertai AMCT 2022 di Tasik Kenyir.
Zaid Salim


MENYERTAI pertandingan Asean Monsoon Casting Tournament (AMCT) 2022 nyata meninggalkan pengalaman menarik buat sekumpulan pemancing wanita yang pertama kali menyertai acara besar itu selain turut disertai peserta luar negara.

Pembabitan 25 pemancing dari Kelab Pemancing Wanita Malaysia (KPWM) itu bukan sahaja menjadi penyeri acara, sebaliknya penyertaan kaum hawa itu memberi tamparan hebat kepada peserta lelaki yang 'setia' dengan acara berkenaan sejak penganjurannya bermula 2009.

Pengerusi KPWM, Normala Abd Rahman, 35, berkata, penyertaan kali pertama kelab yang ditubuhkan pada 2014 itu bukan untuk memburu kejuaraan sebaliknya lebih kepada menimba pengalaman terutama kepada ahli yang baharu menyertai kelab berkenaan.

"Sebenarnya Tasik Kenyir, Terengganu ini bukan asing bagi kami kerana sebelum ini sudah beberapa kali ke sini bersama rakan-rakan ahli untuk memancing, tetapi menyertai pertandingan AMCT ini adalah kali pertama.

"Penyertaan kami ini lebih kepada menimba pengalaman dan 'bercuti' dan bertemu rakan ahli yang datang daripada seluruh negeri.

"Tetapi, sebagai peserta kami akan cuba memberi saingan kepada peserta lelaki yang kebanyakan daripada mereka sudah faham dengan pertandingan ini," katanya selepas Majlis Penutup AMCT 2022, di Pulau Poh, Tasik Kenyir, baru-baru ini.

Normala yang juga pengasas KPWM berkata, selain AMCT, sejak penubuhannya, kelab berkenaan pernah menyertai pelbagai pertandingan dalam dan luar negara.

Menurutnya, sehingga kini kelab berkenaan mempunyai lebih 200 ahli dari seluruh negara termasuk Singapura.

PEMBABITAN sekumpulan pemancing dari KPWM bukan sekadar penyeri acara, malah turut beri cabaran kepada peserta lelaki.
PEMBABITAN sekumpulan pemancing dari KPWM bukan sekadar penyeri acara, malah turut beri cabaran kepada peserta lelaki.

"Pada peringkat awal saya melabur RM7,000 untuk membeli peralatan memancing," katanya.

Katanya, hobi berkenaan secara tidak langsung memberi kebaikan dari sudut kesihatan kepada pemancing.

Bukan satu aktiviti yang membuang masa atau pembaziran sebagaimana dakwaan setengah individu yang berpandangan negatif terhadap aktiviti berkenaan apatah lagi jika ia membabitkan wanita.

Menurutnya, selain memenuhi hobi, aktiviti memancing juga membantu meningkatkan kesihatan kepada tubuh, merehat minda dan menguji tahap kesabaran seseorang pemancing ketika menanti saat mata kail disambar ikan.

Ahlinya, Mahanom Dollah, 39, dari Muar, Johor, berkata, dia menyertai kelab berkenaan kerana mahu menambah ilmu pengetahuan mengenai aktiviti memancing.

"Sejak menyertai kelab, saya semakin seronok dengan hobi ini, malah sanggup berhabis duit membeli peralatan memancing.

ANTARA ikan yang berjaya dinaikkan oleh ahli KPWM pada pertandingan itu.
ANTARA ikan yang berjaya dinaikkan oleh ahli KPWM pada pertandingan itu.

"Biasanya wanita melabur duit untuk perhiasan dan kelengkapan diri seperti beg tangan, kasut, pakaian, peralatan mekap, tetapi bagi mereka yang aktif memancing, pasti cenderung menghabiskan duit dengan membeli peralatan memancing," katanya.

Menurut Mahanom, kebiasaannya mereka memancing minimum tiga jam pada setiap hujung minggu dan destinasi memancing yang paling digemari antaranya, Rompin, Melaka serta beberapa lagi lokasi laut, sungai dan tasik.

"Pengalaman manis saya apabila berjaya menaikkan ikan keli Afrika ketika memancing di laut Melaka dan ikan layaran di laut Rompin, Pahang.

"Lebih menyeronokkan apabila kita berjaya 'menaikkan' ikan ke darat dan itu yang membuatkan seseorang ketagih untuk memancing.

"Ikan layaran itu saya ambil masa 10 minit 'bertarung' sebelum berjaya menaikkannya ke darat," katanya.

Selain memancing di laut, dia bersama rakan ahli lain juga melakukan aktiviti berkenaan di kolam ikan dan udang.

NORMALA bersama ikan yang berjaya dinaikkan.
NORMALA bersama ikan yang berjaya dinaikkan.

Tetapi, katanya, memancing di kolam kepuasannya tidak sama dengan memancing di laut, sungai atau pantai.

"Selain ikan, saya juga gemar memancing udang galah, ketam, candat sotong selain memancing ikan darat seperti puyu, haruan menggunakan kaedah memancing tradisi di kawasan berpaya atau tali air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 6:20 AM