SUASANA Tasik Tunku Abdul Rahman yang redup dan tenang.
SUASANA Tasik Tunku Abdul Rahman yang redup dan tenang.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


ZOO Negara kini memiliki tarikan terbaharu apabila membuka Tasik Tunku Abdul Rahman kepada orang ramai untuk memancing.

Tasik buatan manusia seluas kira-kira dua hektar itu memiliki pelbagai spesies ikan termasuk keli, toman, temoleh, jelawat, talapia, belida, patin, ketutu, lampan dan haruan yang pasti menarik perhatian kaki pancing.

Sejak dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 20 Februari lalu, tasik itu mendapat sambutan hangat daripada kaki pancing sekitar Lembah Klang.

Saban hari puluhan pemancing datang mencuba nasib untuk menaikkan ikan di tasik yang indah itu dan ada yang mengambil peluang berkenaan bersantai bersama teman mahupun ahli keluarga tersayang.

Timbalan Presiden Zoo Negara,Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata, tasik itu dibuka dari jam 9 pagi hingga 3.30 petang dan bayaran yang dikenakan hanyalah RM35 untuk pemegang Mykad.

Kata Rosly, sebelum ini, hanya 50 pemancing dibenarkan pada sesuatu masa dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup hidung.

"Namun, sekalipun berada di dalam zoo, pemancing tetap tidak dibenarkan berkeliaran untuk melihat haiwan yang ada," katanya kepada Harian Metro.

PEMANCING perlu mengamalkan SOP yang ditetapkan.
PEMANCING perlu mengamalkan SOP yang ditetapkan.

ANTARA pemancing yang berjaya menaikkan ikan di Tasik Tunku Abdul Rahman, Zoo Negara.
ANTARA pemancing yang berjaya menaikkan ikan di Tasik Tunku Abdul Rahman, Zoo Negara.

Menurut Rosly, Zoo Negara sebelum ini ditutup selama tujuh bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac hingga 8 Jun 2020, 14 Oktober hingga 17 Disember 2020 dan 13 Januari hingga 4 Mac lalu.

Justeru, bagi menampung kos operasi dan kelangsungannya, Zoo Negara menjalankan beberapa inisiatif antaranya pengambilan haiwan angkat, sumbangan dana dari kerajaan dan pihak swasta serta Jom Memancing @ Zoo Negara.

Katanya, setakat ini sambutan yang diterima begitu menggalakkan, ada pemancing yang datang seawal jam 8 pagi dan sanggup menunggu sehingga pintu Zoo Negara di buka.

"Pada hujung minggu, tasik ini biasanya dipenuhi kaki pancing pelbagai kaum dan lapisan umur.

"Rata-rata pemancing yang ditemui teruja dan seronok dapat memancing di tasik berkenaan kerana suasana yang tenang, redup serta ditemani kicauan unggas.

"Lebih istimewa, semua ikan yang ditangkap tidak kira saiz kecuali temoleh adalah hak pemancing dan boleh dibawa pulang," katanya yang mengakui pihaknya akan menambah ikan dari semasa ke semasa.

Jelas Rosly lagi, semua pengunjung termasuk pemancing perlu mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengimbas suhu di pintu masuk Zoo Negara.

Pengunjung juga perlu mengimbas kod My Sejahtera untuk mendaftar masuk dan memakai pelitup hidung sepanjang berada di sini.

"Bagi menjaga kebersihan dan mencegah penularan Covid-19, kami juga menyediakan cecair pembasmi kuman di sekitar kawasan Zoo Negara untuk kegunaan pengunjung," katanya.

Sementara itu, jika terasa lapar, pemancing boleh menikmati hidangan enak di Restoran The Wild yang menyajikan pelbagai menu makanan segera seperti ayam goreng resipi istimewa, burger, nuget, karipap dan banyak lagi.

ROSLY bersama Ahli Jawatankuasa Pemancing Zoo Negara, Jamsari Mohamad melepaskan 500 kilogram ikan patin ke Tasik Tunku Abdul Rahman.
ROSLY bersama Ahli Jawatankuasa Pemancing Zoo Negara, Jamsari Mohamad melepaskan 500 kilogram ikan patin ke Tasik Tunku Abdul Rahman.

RESTORAN The Wild menyajikan pelbagai hidangan enak untuk pengunjung Zoo Negara.
RESTORAN The Wild menyajikan pelbagai hidangan enak untuk pengunjung Zoo Negara.

Restoran berhawa dingin itu boleh memuatkan 180 pengunjung pada sesuatu masa namun sepanjang PKP, jumlah yang dibenarkan adalah 70 pengunjung sahaja seiring SOP yang ditetapkan.

Jadi, kaki pancing tunggu apa lagi? Ayuh ramai-ramai berkunjung ke Zoo Negara untuk mencuba sendiri keseronokan memancing di Tasik Tunku Abdul Rahman.

Antara peraturan yang perlu dipatuhi:

  • Semua ikan yang ditangkap (kecuali Temoleh) boleh dibawa pulang.

  • Kail mata tiga, giwang, umpan tiruan, 'casting', 'pairing,' organ haiwan atau sembat tidak dibenarkan.

  • Dilarang memotong, merosakkan pokok atau mengalihkan harta benda Zoo Negara yang sedia ada di Zon Memancing.

  • Keselamatan adalah tanggungjawab sendiri dan pihak Zoo Negara tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kemalangan, kematian, kecederaan atau kehilangan harta benda pemancing.

  • Dilarang merokok, minum minuman keras dan mengambil bahan terlarang.
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 7:00 AM