MANGSA penghendap sering berasa terancam serta kurang selamat.
MANGSA penghendap sering berasa terancam serta kurang selamat.
Nurul Husna Mahmud


SEJAK erpisah dengan suami enam tahun lalu, Salina (bukan nama sebenar), 36, menyedari dirinya sering diekori seseorang hingga mendatangkan kebimbangan untuk tidur malam.

Kata Salina, dia mengesyaki individu berkenaan adalah orang upahan bekas suami yang tidak berpuas hati dengan perceraian.

Lebih memburukkan keadaan, dua anaknya yang masih di bangku sekolah turut mengakui ada lelaki sering menghendap mereka.

"Perceraian saya dengan suami tidak berakhir dengan baik. Suami mahu kami berbaik semula.

"Saya keberatan kerana suami seorang yang panas baran dan posesif sehinggakan memberi kesan kepada hubungan saya dan ahli keluarga lain.

"Jadi, saya tidak mahu terus berada dalam hubungan yang tidak sihat dan anak-anak juga perlukan persekitaran yang sihat untuk membesar," katanya.

Mengakui terganggu menjadi mangsa 'hendapan' individu tidak dikenali, Salina mengakui kemuncaknya pada September lalu apabila sering terdengar orang mengetuk pagar rumahnya.

RASA cemburu, dendam dan marah boleh menyebabkan ada elemen jenayah apabila disusuli tingkah laku menghendap.
RASA cemburu, dendam dan marah boleh menyebabkan ada elemen jenayah apabila disusuli tingkah laku menghendap.

KEGANASAN rumah tangga atau seksual  antara dikaitkan dengan tingkah laku penghendap.
KEGANASAN rumah tangga atau seksual antara dikaitkan dengan tingkah laku penghendap.

"Masalah saya lebih besar apabila malam tidak boleh tidur dan berasa takut untuk keluar meskipun pada sebelah siang.

"Setakat ini sudah saya laporkan kepada polis tetapi masih rasa takut terutama memikirkan keselamatan anak-anak.

Ketika ini dia sedang menjalani sesi kaunseling untuk mengatasi masalah berkenaan.

Melihat kepada situasi Salina, senario menjadi mangsa kepada pelaku penghendap sebenarnya turut dialami kebanyakan rakyat Malaysia.

Ironinya, bukan sahaja perempuan, malah lelaki turut menjadi mangsa kepada pelaku itu sehinggakan boleh memberi kesan psikologi.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menerusi Pengarah Eksekutifnya, Sumitra Visvanathan, mendapati masalah pelaku penghendap serius dan mendatangkan kesan buruk apabila hampir 40 peratus responden menjawab satu tinjauan berkenaan masalah itu mengakui pernah menjadi mangsa.

"Masalah menghendap adalah isu besar dan daripada statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan dalam 34 kes membabitkan mangsa keganasan seksual, 25 peratus pernah menjadi mangsa penghendap.

DAPATKAN juga bantuan pihak berkuasa bagi mangsa penghendap.
DAPATKAN juga bantuan pihak berkuasa bagi mangsa penghendap.

"Bagi Malaysia, 32 peratus daripada 40 peratus pernah mengalami masalah dihendap individu adalah lelaki. Jadi isu ini bersifat uniseks dan boleh mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai," katanya.

Seterusnya melihat kepada angka itu, kata Sumitra, sukar untuk atasi tingkah laku pelaku itu apabila tiada akta atau usaha penguatkuasaan dikenakan ke atasnya.

HUSHIM
HUSHIM

"Kebimbangan kami adalah tiada tindakan dikenakan kepada pelaku baik untuk penghendap atas talian atau di luar talian. Mereka ini berkemungkinan melakukan jenayah lebih berat seperti penderaan seksual dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hushim Motivational & Counselling Consultancy, Hushim Salleh pula berkata, masalah menghendap antara isu lebih ketara bagi pasangan

menoktahkan perkahwinan mereka dengan tidak baik.

"Pengalaman saya ketika mengendalikan pasangan bercerai atau sudah hidup berasingan memang hampir 90 peratus ada aktiviti menghendap pasangan.

"Ini biasanya berlaku kepada lelaki yang mahu berbaik dengan pasangan tetapi ditolak. Justeru, apabila terjadi perkara itu, lelaki dengan alasan mahu menjenguk anak akan menghendap isteri mereka.

"Mereka bertindak kerana sifat cemburu dan curiga dengan bekas isteri. Apabila hasrat tidak tercapai isteri berkemungkinan menjadi mangsa kepada keganasan domestik," katanya

Justeru, cadangan pertubuhan WAO supaya ada akta khusus menangani masalah itu disifatkan baik.

"Peringkat awal memang saya tekankan untuk pasangan ini mendapatkan kaunseling terlebih dahulu.

"Tetapi jika tidak boleh diselesaikan dengan baik dan pihak isteri menerima ancaman serius serta dicederakan, sebaiknya dilaporkan kepada polis. Jadi sebaiknya ada akta atau kod undang-undang bantu tangani pelaku pengendap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 7:00 AM