PILIHAN menu menarik terdapat di restoran berkenaan.
PILIHAN menu menarik terdapat di restoran berkenaan.
Nurul Husna Mahmud

Daging lembu Jepun atau wagyu dikenali sebagai daging berkualiti premium bagi penggemar hidangan stik.

Dulu daging itu mustahil untuk dirasai golongan pertengahan kerana hidangan sepinggan mencecah ribuan ringgit.

Kini dengan mengunjungi restoran Jahhet Fine Meat di Taman Nirwana Ampang, mereka berpeluang menikmati sajian daging itu pada harga mampu milik.

Daging itu dibawa masuk dari ladang dan rumah sembelihan di Miyazaki, Jepun yang mempunyai akreditasi halal, selain jaminan kesegaran daging kekal baik ketika dimasak di dapur sehinggalah ke meja pelanggan.

Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam ilmu pengendalian daging, pemilik restoran Mustaffa Othman berkata, dia sudah arif mengendalikan daging premium selain tahu cara masakan terbaik untuk menonjolkan rasa hidangan.

“Daging wagyu terbaik dan tidak perlu menggunakan rempah ratus berat kerana sekadar secubit garam dan perapan seperti lada hitam sudah memadai untuk merasai keenakan daging lembu Jepun.

“Malah penyediaan seringkas ‘carpadio’ iaitu hirisan daging mentah itu sendiri, rasa tekstur daging itu tidak ubah seperti hirisan kecil keju nipis yang cair di dalam mulut.

“Sekali pelanggan sudah rasa daging wagyu, sukar untuk mereka lupa keenakannya,” kata Mustaffa.

KEENAKAN stik wagyu menjadi sebutan peminat hidangan berkenaan.
KEENAKAN stik wagyu menjadi sebutan peminat hidangan berkenaan.

Menurutnya, lebih baik menikmati rasa sebenar daging itu begitu saja, tanpa menggunakan sebarang sos mahupun kuah kerana mereka dapat menilai rasa sebenar daging terbabit.

“Istimewanya, daging wagyu boleh dinikmati secara panggang dan tidak memerlukan kuah atau sos untuk menonjolkan keenakannya. Picisan garam pada daging itu sudah memadai untuk menaikkan rasanya.

“Tetapi tidak pula menjadi kesalahan pelanggan menikmati daging itu bersama sos lada hitam atau sajian sampingan seperti salad dan kentang lecek.

“Malah kalau hidangan tempatan sekalipun disediakan menggunakan daging terbabit ia masih memberi kepuasan,” katanya yang pernah menyediakan hidangan gulai lemak cili padi dan asam pedas menggunakan daging sama untuk keluarga.

Selain wagyu, daging biri-biri dan lembu import juga tidak menghampakan kerana menampilkan kualiti premium bagi sajian stik selain saiz cukup besar sesuai untuk dinikmati mereka yang datang bersama keluarga mahupun kenalan.

SAIZ hidangan besar selain persembahan unik setanding restoran mewah.
SAIZ hidangan besar selain persembahan unik setanding restoran mewah.

Pelanggan boleh membuat pesanan bermula dengan memilih jenis dan bahagian daging diingini selain cara hidangan itu disediakan.

Mereka juga boleh menentukan sajian sampingan untuk dinikmati bersama sama ada kacang hijau Perancis, kentang lecek, jejari kentang mahupun coselaw.

Selain stik, restoran itu turut menampilkan hidangan pasta serta pilihan lebih ringan seperti pembuka selera, roti dan sup cendawan.

Istimewa untuk pelanggan restoran berkenaan apabila ada seleksi minuman disediakan secara percuma tanpa mengenakan caj tambahan bagi isian semula.

Malah menimbang mengenai aspek kesihatan Mustaffa menggunakan stevia dalam semua minuman terdapat di restorannya.

SAJIAN pasta wajib dicuba selain hidangan daging.
SAJIAN pasta wajib dicuba selain hidangan daging.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 11:28 AM