ALYA Aqeela bersama adiknya berniaga lukisan di depan rumah mereka. FOTO Ihsan Muhammad Fadhil Mohd Zainuddin
ALYA Aqeela bersama adiknya berniaga lukisan di depan rumah mereka. FOTO Ihsan Muhammad Fadhil Mohd Zainuddin
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tuah buat Alya Aqeela, 7, apabila bakat seninya mendapat perhatian pihak Asia NFT yang sudi menaja kos untuk mempamerkan hasil karyanya dalam bentuk token non-fungible (NFT).

Untuk rekod, NFT adalah sijil digital unik untuk pemilik foto, video, karya seni atau sebarang bentuk media dalam talian lain.

Bapanya, Muhammad Fadhil Mohd Zainuddin, 32, berkata, dia tidak menyangka usaha kecil anak sulungnya itu yang 'meniaga' lukisan berharga RM1 di hadapan rumah mereka di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi semalam, mendapat perhatian sedangkan ia hanya suka-suka.

"Saya terkejut apabila dihubungi pihak Asia NFT yang berminat menaja kos mempamerkan hasil seni anak saya dalam galeri seni digital NFT.

"Syukur alhamdulillah, saya anggap ini rezeki anak kerana platform ini akan menjadikan karya anak saya lebih bernilai.

"Bagaimanapun, saya belum fikirkan perancangan seterusnya kerana masih dalam perbincangan dengan pihak Asia NFT tetapi ini permulaan yang baik bagi kami sekeluarga," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

ALYA bersama pelanggan yang membeli lukisannya. FOTO Ihsan Muhammad Fadhil Mohd Zainuddin
ALYA bersama pelanggan yang membeli lukisannya. FOTO Ihsan Muhammad Fadhil Mohd Zainuddin

Katanya, segala-galanya bermula apabila dia sekadar berkongsi pengalaman lucu melayan karenah anak sulungnya itu dengan pengikutnya di Facebook dan Twitter semalam.

"Idea itu datang spontan daripada anak saya apabila dia meminta kebenaran untuk menjual lukisan dibuatnya didepan rumah kami.

"Pada mulanya macam tak masuk akal permintaannya itu, tetapi saya dan isteri layankan saja kerana tidak mahu patahkan semangatnya kerana dia suka melukis dan mewarna menggunakan warna air.

"Selepas kami siap susun meja dan khemah di depan rumah, kami tinggalkan dia dengan adiknya dan tengok gelagat mereka dari dalam rumah," katanya.

Katanya, dalam tempoh sejam dua beradik itu berjaya meraih RM51 apabila ada masyarakat setempat datang membeli enam karyanya.

"Tak sangka semua lukisan dia habis dijual, malah dia siap beri penerangan lengkap tentang setiap lukisan dibuatnya itu kepada pelanggan.

"Apa yang ingin ditegaskan di sini, bukan sebab duit saya galakkan anak apatah lagi usia mereka masih mentah.

"Tetapi dari sudut positif lain saya mahu dia rasa pengalaman berkomunikasi dengan orang luar memandangkan sudah lama terperap dalam rumah akibat perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya.

ALYA mendapat sokongan ibu bapa dan adiknya. FOTO Ihsan Muhammad Fadhil Mohd Zainuddin,
ALYA mendapat sokongan ibu bapa dan adiknya. FOTO Ihsan Muhammad Fadhil Mohd Zainuddin,

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 10:23 PM