BERGELAR wanita dan ibu tidak menghalangnya untuk mencapai cita-cita, sekali gus bergelar jurulatih usahawan baru khususnya untuk ibu tunggal.
Biarpun pernah berdepan pelbagai halangan, ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya bukan saja untuk melatih usahawan wanita baru, tetapi menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
Wanita itu, Noor Harnani Buang, 45, mengakui bahawa ada banyak halangan dan dugaan khususnya untuk wanita, namun apa yang penting adalah semangat serta keazaman yang tinggi untuk berjaya.
Beliau yang turut mempunyai perniagaan minyak masak melihat bahawa halangan utama wanita adalah takut untuk mencuba atau keluar daripada zon selesa mereka.
"Sepanjang pengalaman saya menjadi jurulatih atau 'motivator' khususnya untuk bidang pemasaran digital d
an asas keusahawanan, ada ramai wanita tidak berani mencuba perkara baharu.
"Kata kunci untuk wanita adalah jangan mudah putus asa dan terus melangkah ke depan jika mahu memperbaiki kehidupan sendiri.
"Ramai wanita sebenarnya mempunyai minat mendalam dalam bidang keusahawanan, namun tidak berani menceburkan diri kerana mungkin tidak yakin dan ada juga faktor kekangan modal," katanya.
Ibu lima cahaya mata itu berkata, apabila bergelar wanita yang mempunyai karier sememangnya sibuk dengan tugasan harian, perlu bijak menguruskan masa.
"Sebagai wanita, kita perlu sangat bijak menguruskan masa iaitu membahagikan masa untuk anak-anak dan tugasan hakiki, tetapi apa yang penting adalah terus melangkah.
"Waktu kita bekerja, kita bekerja sungguh-sungguh dengan memberikan sepenuh fokus dan apabila ada waktu lapang, kita tumpukan kepada keluarga," katanya.
Pada masa sama, Noor Harnani menyatakan bahawa sokongan dan dokongan daripada orang sekeliling sangat penting khususnya suami. Jika wanita itu ibu tunggal, mereka perlu bijak memilih rakan sekeliling.
Menurutnya, jika wanita ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, mereka perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan asas berkenaan perniagaan dan memulakannya dengan mengikuti kelas latihan.
"Dalam sektor perniagaan, kita perlu ada ilmu terlebih dahulu, kita jangan 'serbu' bidang yang kita tidak tahu dan itu pentingnya menimba ilmu terlebih dulu.
"Cabaran utama wanita adalah ketiadaan peluang mempromosikan produk atau kepakaran mereka dan kekurangan garis panduan untuk membantu golongan ini.
"Kita selalu dengar 'wanita ini menteri kewangan keluarga', pastinya frasa itu memberi hakikat bahawa wanita ini jika mempunyai ilmu dan dorongan berterusan, mereka mampu berjaya khususnya dalam bidang perniagaan, kewangan serta ekonomi," katanya.
Noor Harnani turut mengharapkan bahawa lebih banyak lagi program untuk membantu wanita ini diperkenalkan kerajaan pada masa depan khususnya ibu tunggal.
Apabila ditanya berhubung nasihat kepada wanita, katanya, wanita perlu belajar keluar daripada zon selesa dan sentiasa berdikari untuk mempunyai pendapatan sendiri.
"Saya tidak menafikan bahawa ada banyak dugaan, namun dugaan itu hadir sebelum kita mencapai kejayaan dan setiap kegagalan adalah anak tangga kepada kejayaan," katanya.