SEBAHAGIAN model yang memperagakan koleksi Aurora.
SEBAHAGIAN model yang memperagakan koleksi Aurora.

Jenama rekaan pereka duo ini tersangatlah sinonim dengan deretan nama selebriti wanita ‘A List’ tempatan.

Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura, Fazura dan Izara Aishah, itu cuma sebahagian nama yang disebutkan.

Reputasi Rizman Ruzaini sebagai pereka artis terkenal dan golongan kenamaan ditambah pula kemewahan dalam penghasilan setiap rekaan mereka, mungkin bagi mereka berstatus golongan sederhana tidak berkemampuan untuk memilikinya.

Bagaimanapun, berita baik buat yang sudah lama mengimpikan untuk memiliki koleksi Rizman Ruzaini, jangan lepaskan peluang anda memiliki koleksi Blooming & Luxe, eksklusif daripada Rizman Ruzaini For Tesco Raya 2015 khusus untuk lebaran ini.

Terdapat 10 rekaan semuanya iaitu tujuh adalah kurung buat wanita dan tiga baju Melayu lelaki, 10 koleksi yang diperkenalkan simbolik meraikan ulang tahun ke-10 pembabitan mereka dalam industri fesyen tempatan.

Menampilkannya dalam warna-warna cerah dan lembut dengan fabrik cetak berunsurkan flora bertepatan musim bunga saat koleksi ini dikeluarkan, kurung wanita dijual dengan harga antara RM450 dan RM650. Manakala, tiga baju melayu untuk lelaki yang berharga dari RM250.

Selain boleh didapati di 46 cawangan Tesco seluruh Malaysia, anda juga boleh mendapatkan koleksi Rizman Ruzaini For Tesco Raya 2015 melalui Lazada.

Tidak hanya koleksi Blooming & Luxe, satu lagi koleksi pereka duo ini yang bakal memeriahkan penampilan Aidilfitri anda, dinamakan sebagai Aurora Rizman Ruzaini 2015.

Menampilkan Primadona Filem Melayu, Erra Fazira sebagai Muse, koleksi premium yang mengetengahkan potongan mewah bak persalinan puteri raja dengan padanan warna-warna redup ini, hanya boleh didapati melalui tempahan. Jangan lupa layari laman web rasmi Rizman Ruzaini, Facebook dan Instagram untuk mendapatkan info lanjut bagi melakukan tempahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 9:53 AM