DEPAN dari kiri, Nur Farisha Dania, Nur Qisya Qaisara dan Alisya Sufiah Saifulnizam.
DEPAN dari kiri, Nur Farisha Dania, Nur Qisya Qaisara dan Alisya Sufiah Saifulnizam.
Siti Zarinah Sahib


YAKIN, bersahaja namun penuh gaya. Inilah yang dipamerkan barisan model cilik kala menggayakan kebaya nyonya berjalan penuh yakin di pentas peragaan bersempena Hari Kraf Kebangsaan ke-17, yang diadakan di Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terdiri daripada kanak-kanak berusia tiga sehingga 12 tahun, mereka dibahagikan mengikut kategori usia manakala setiap padanan adalah pilihan ibu bapa peserta. Lengkap dirias jurusolek mengikut konsep padanan yang diketengahkan, pertandingan ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan.

Menurut penganjur program, Yann Rifft Resources, Yann Ahmad, Pertandingan Hari Kraf Kebangsaan Cilik Kebaya 2019 atau HKK Cilik Kebaya 2019 diadakan bertujuan memperkasakan tradisi busana tradisional Malaysia dalam kalangan generasi muda agar pakaian ini tidak tenggelam dek zaman.

“Pada masa sama memberi ruang kepada anak kecil ini mengenali dan menghargai busana tradisi nenek moyang kita. Hampir 30 peserta layak dan menepati syarat yang ditetapkan dan mereka beraksi pada hari pertandingan itu,” ujarnya.

Katanya, secara keseluruhan penganjuran program HKK Cilik Kebaya 2019 ini secara tidak langsung memupuk minat anak dengan lebih dekat terutama cara pemakaian, penjagaan mahupun penggunaan kebaya nyonya sejak kecil lagi.

“Kebanyakan kanak-kanak kurang tahu mengenai kebaya nyonya kerana tidak didedahkan ibu bapa mereka. Pakaian ini juga kurang dipakai ketika perayaan atau keraian kerana anggapan ia sukar dijaga dan agak renyah terutama untuk kanak-kanak.

“Saya berharap dengan pertandingan ini dapat mendekatkan minat mereka untuk lebih menghargai pakaian tradisi Melayu dan tidak malu menggayakannya,” ujar Yann.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran kehadiran Pengasas Brillando Beauty & Cosmetics Datuk Sadberina Ishak dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia Aididah Ibrahim.

Untuk kategori cilik istimewa berusia tiga hingga empat tahun juara dimenangi oleh Sofea Ayyumi Qistina, 4, diikuti Puteri Rania Raisya, 4, dan ketiga Hasya Elmany Abd Hadi, 4 tahun.

Bagi kategori usia lima hingga lapan tahun juara dimenangi oleh Nur Farisha Dania, 7; Nur Qisya Qaisara, 6, dan tempat ketiga AIisya Sufiah Saifulnizam, 6 tahun. Bagi pemenang kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun disandang oleh Linda Nuriliya Sofea Suhaimi, 10, Puteri Ainul Mardiah, 10 dan Nur Qaseh Mustiqa Jamaludin, 9 tahun.

Hadiah tempat pertama masing-masing membawa pulang wang tunai RM600, produk, trofi dan sijil, tempat kedua menerima RM350 manakala ketiga bernilai RM300 termasuk trofi dan sijil.

Program ini diadili oleh pemenang Miss Malaysia Kebaya 2017/2018 Nor Natasha Suhaira Suhaimi dan pereka (kepakaran tenun dan tekstil) Kraftangan Malaysia, Sanatia Samsir.

PERTANDINGAN Hari Kraf Kebangsaan Cilik Kebaya 2019 dedah kanak-kanak terhadap busana tradisional.
PERTANDINGAN Hari Kraf Kebangsaan Cilik Kebaya 2019 dedah kanak-kanak terhadap busana tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 4:30 AM