PUTIK kapas perlu dijauhi daripada telinga anak.
PUTIK kapas perlu dijauhi daripada telinga anak.
Nurul Husna Mahmud


PERBUATAN mengorek telinga yang dikatakan bertujuan menjaga kebersihan dan kesihatan organ deria penting itu sebenarnya boleh mendatangkan kesan buruk.

Perkongsian Perunding Telinga, Hidung dan Tekak, Dr Mohd Zabri Affendi Muhammad yang juga penulis Positive Parenting Malaysia mengenai tabiat membersihkan telinga menggunakan putik kapas adalah amalan tidak selamat apatah lagi dilakukan terhadap kanak-kanak.

Menurut pakar itu, ibu bapa yang 'kritikal' terhadap aspek kebersihan bertindak membersihkan telinga anak menggunakan putik kapas boleh merisikokan si kecil untuk mengalami masalah gangguan pendengaran.

"Langkah pertama yang cukup penting ialah memahami terlebih dahulu peranan serumen atau tahi telinga.

"Tahi telinga atau 'lelilin telinga' mempunyai kepentingan sebagai penghalang kepada bakteria, kulat dan jangkitan bakteria.

"Ia juga boleh membantu mengelakkan serangga atau air tercemar untuk masuk ke dalam telinga. Melihat kepada teksturnya ia mempunyai ciri-ciri sebagai 'pelincir' dalam saluran telinga bagi memastikan kulit pada bahagian organ itu sihat dan kekal berasid (iaitu antara pH5.2 hingga 7) bagi mencegah jangkitan daripada berlaku.

"Tanpa tahi telinga, individu lebih mudah terdedah kepada jangkitan dan telinga akan menjadi kering atau gatal," katanya.

PENGGUNAAN putik kapas untuk bersihkan deria penting itu hanya undang kesan buruk.
PENGGUNAAN putik kapas untuk bersihkan deria penting itu hanya undang kesan buruk.

Tambah pakar itu lagi, kelebihan telinga ialah mempunyai mekanisme tersendiri membolehkannya menjaga kebersihan secara semula jadi.

"Apabila bercerita mengenai kaedah bersihkan telinga, sebenarnya organ itu sudah ada kaedah unik bagi memastikan keadaan kekal bersih.

"Ketika mengunyah atau gerakan pada bahagian rahang akan menyebabkan tahi telinga yang lama keluar dari saluran telinga yang terbuka.

"Begitu juga bahagian motiliti rerambut (bulu halus) pada bahagian saluran luar telinga juga boleh membantu menolak keluar tahi telinga termasuklah partikel kulit mati.

DR MOHD ZABRI menyarankan ibu bapa tidak membersihkan telinga anak dengan putik kapas.
DR MOHD ZABRI menyarankan ibu bapa tidak membersihkan telinga anak dengan putik kapas.

"Kesimpulannya telinga tidak perlu dibersihkan dan begitu juga dengan bayi dan kanak-kanak, jangan sesekali menggunakan putik kapas atau pembersih telinga seumpamanya kerana boleh menimbulkan masalah lain termasuklah gangguan pendengaran," katanya.

Kata pakar itu kemungkinan boleh berlaku ketika ibu bapa membersihkan telinga anak menggunakan putik kapas adalah 'trauma' dan juga pendarahan pada kulit saluran telinga.

"Dari berniat untuk membersihkan telinga, masalah lain akan timbul seperti pendarahan pada kulit saluran telinga yang akhirnya menjadi punca kepada jangkitan seperti otitis luar akut (jangkitan berlaku pada bahagian antara gendang dan telinga luar).

"Selain itu tindakan itu juga boleh menyebabkan kecederaan dan kesakitan pada gendang telinga serta gangguan pendengaran.

OTITIS luar akut antara masalah mungkin  dialami apabila kulit pada saluran telinga mengalami pendarahan sehingga membawa kepada jangkitan.
OTITIS luar akut antara masalah mungkin dialami apabila kulit pada saluran telinga mengalami pendarahan sehingga membawa kepada jangkitan.

"Lebih ketara, tindakan mencuci telinga menggunakan putik kapas ialah boleh mengakibatkan pendarahan pada saluran telinga selain menolak tahi telinga lebih dalam sehingga mengakibatkan telinga tersumbat," katanya.

Apabila tahi telinga tersumbat, anak biasanya akan mengadu rasa sakit dan tidak selesa. Keadaan tahi telinga yang tersumbat seakan-akan ada benda memenuhi bahagian organ itu.

"Segelintir orang mungkin mengalami masalah tahi telinga berlebihan. Keadaan ini menyebabkan tahi telinga menutupi saluran. Lebih buruk jika pendekatan seperti menggunakan putik kapas akan menolak ia lebih ke dalam.

"Apabila terlalu padat dan mula menutupi sepenuhnya, anak kecil akan mula rasa kurang selesa dan mengadu mengalami bunyi berdesing atau berdengung.

MENGUNYAH atau gerakan pada rahang cara unik cuci telinga atau keluarkan tahi telinga.
MENGUNYAH atau gerakan pada rahang cara unik cuci telinga atau keluarkan tahi telinga.

"Ada juga sebahagian kanak-kanak mengalami kehilangan separa pendengaran akibat tahi telinga semakin 'menebal' menutupi saluran pendengaran. Kajian pernah menyebut pendengaran menjadi bertambah baik sehingga 10 desibel jika tahi telinga tersumbat disingkirkan," katanya.

Dalam membantu menjaga kebersihan telinga anak, kata pakar itu, terdapat rutin penjagaan telinga yang lebih minimum mengelak pembentukan plak tahi telinga.

"Langkah membersihkan telinga yang normal atau biasa adalah dengan mencuci bahagian luar telinga anak menggunakan kain yang lembut.

"Jika anak memiliki kadar penghasilan tahi telinga lebih banyak, mungkin boleh gunakan bahan semula jadi sebagai pelincir. Contohnya titiskan sama ada minyak bayi, minyak zaitun dan gliserin untuk lembutkan tahi telinga di bahagian paling dekat dengan bahagian luar saluran telinga.

"Gunakan ejen serumenolisis (pelembut tahi telinga) sama ada dalam bentuk titisan atau semburan di farmasi atau klinik.

"Jika kaedah itu masih tidak membantu, segeralah berjumpa pakar untuk rawatan. Kebiasaanya prosedur bagi membantu pesakit adalah kaedah endoskopik atau mikroskopik bagi menyingkirkan tahi talinga. Kaedah ini mengenakan sedutan ringan," katanya.

Tip lain dalam membantu penjagaan telinga terutama pada kanak-kanak:

1. Latih anak mengenai kepentingan menjaga telingan dengan mengelak memasukkan objek dengan sengaja ke dalam saluran telinga.

2. Elak juga mengetuk kepala bagi mengeluarkan sesuatu dalam telinga.

3. Jika mengalami kecederaan pada organ telinga, elak melakukan hembusan pada organ hidung.

4. Ambil juga langkah berjaga-jaga iaitu menghindari air daripada masuk ke dalam telinga yang cedera.

5. Jalani rawatan segera jika mengalami kecederaan dan terdapat jangkitan pada telinga.

6. Elak dua bahan ini pertama, hidrogen peroksida kerana boleh menjadikan situasi atau kecederaan lebih teruk pada saluran telinga. Kedua, lilin telinga di mana kaedah ini tidak berkesan malah boleh menyebabkan kesan kecederaan mahupun melecur pada telinga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 6:20 AM