MENGOREK telinga sendiri boleh memudaratkan. GAMBAR hiasan
MENGOREK telinga sendiri boleh memudaratkan. GAMBAR hiasan
Hafiz Ithnin

RAMAI orang biasa mengalami masalah kurang selesa dalam telinga dan antara jalan penyelesaian menggunakan pelbagai peralatan terutama putik kapas bagi membersihkan lilin atau tahi telinga.

Bahkan ramai mempunyai persepsi kehadiran tahi telinga sebagai satu bahan yang menyebabkan timbulnya rasa kurang selesa dan ia perlu dibersihkan setiap masa.

Maka langkah terbaik membuang cairan likat di dalam telinga itu dengan membersihkannya menggunakan pelbagai kaedah termasuklah batang besi halus untuk mengorek keluar ‘kotoran’ itu.

Sebenarnya anggapan mengenai tahi telinga menyebabkan rasa kurang selesa seperti gatal dan perlu dibersihkan adalah tidak tepat bahkan ia boleh memberi kesan buruk pada bahagian itu.

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Avisena Specialist Hospital, Dr Iqbal Farim Rizal Wong berkata, tahi telinga adalah cairan likat yang penting bagi memastikan habuk atau kotoran luar tidak mudah masuk ke bahagian dalam saluran telinga.

Beliau berkata, menurut kajian juga, tahi telinga mempunyai fungsi antibiotik yang melindungi bahagian dalam telinga jika berlaku jangkitan kuman di dalamnya.

“Orang ramai tidak perlu mengorek telinga sendiri kerana kotoran pada tahi telinga akan keluar secara semula jadi pada bila-bila masa. Ia akan keluar dalam bentuk gumpalan bersama kotoran yang masuk ke telinga,” katanya.

Tahi telinga membantu melindungi dan melembapkan kulit salur telinga, mencegahnya daripada menjadi kering dan gatal serta mengandungi bahan kimia khas bagi menentang jangkitan yang boleh merosakkan kulit salur telinga.

Selain itu, ia juga bertindak sebagai perisai antara persekitaran luar dan gegendang telinga. Tahi telinga turut memerangkap debu, kotoran dan objek lain daripada memasuki telinga anda.

Dr Iqbal berkata, bagi individu mengalami penghasilan tahi telinga yang banyak bukan disebabkan masalah kesihatan dan ia sesuatu yang normal serta tidak perlu dibersihkan setiap masa.

Beliau berkata, kebanyakan pesakit mengalami masalah saluran telinga tersumbat kerana mereka mengorek atau membersihkan tahi telinga menggunakan peralatan tidak sesuai.

“Putik kapas yang digunakan orang ramai untuk membersihkan telinga boleh mengakibatkan tahi telinga ditolak ke bahagian yang lebih dalam.

“Apabila tahi telinga ditolak sentiasa ke bahagian itu, ia akan berkumpul dan menjadi blok yang besar mengakibatkan masalah pendengaran. Keadaan lebih parah jika alat digunakan menyebabkan tisu di dalam telinga luka serta mengakibatkan jangkitan kuman,” katanya.

Tambahnya, cara terbaik mengeluarkan tahi telinga yang menyebabkan anda tidak selesa adalah berjumpa doktor terutama mereka yang pakar dalam bidang itu kerana mempunyai peralatan khas untuk membersihkan telinga.

Katanya, selain ubat titik khas berfungsi mencairkan tahi telinga, doktor pakar akan menggunakan air yang ‘ditembak’ mengikut prosedur tertentu bagi memastikan tahi telinga yang keras dapat dikeluarkan.

“Jika didapati masalah pendengaran disebabkan tahi telinga yang keras dan menghalang laluan bunyi, doktor akan memberikan ubat titis bagi mencairkannya terlebih dulu.

“Langkah awal seperti itu dapat membantu mengeluarkan tahi telinga secara normal tanpa menggunakan sebarang peralatan kerana kulit di bahagian dalam telinga adalah sensitif,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya orang ramai mengalami masalah kegatalan, ia selalunya bukan disebabkan tahi telinga tetapi berkemungkinan berpunca daripada jangkitan kulat atau alahan.

“Cara terbaik adalah berjumpa dengan pakar telinga bagi memastikan pesakit tahu secara jelas punca sakit atau rasa kurang selesa di bahagian dalam telinga. Perkara paling penting jangan mengorek telinga anda kerana ia lebih berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 10:00 AM