Gordon Ling Fu Chur, 34,  ketika menemani isterinya Jaslynn Tay, 36, menjalani rawatan dialisis sebelum melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang, enam tahun lalu.
 FOTO BERNAMA
Gordon Ling Fu Chur, 34, ketika menemani isterinya Jaslynn Tay, 36, menjalani rawatan dialisis sebelum melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang, enam tahun lalu.
 FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Enam tahun lalu, apabila isterinya disahkan mengalami kegagalan buah pinggang, Gordon Ling Fu Chur, 34, mengambil keputusan nekad untuk mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada ratu hatinya itu.

Walaupun mengetahui risiko buah pinggang yang bakal diberikan belum tentu sesuai dengan keadaan badan isterinya, Jaslynn Tay, 36, namun kerana cinta yang mendalam, Gordon bulat hati meneruskan niatnya.

Keputusan yang sukar itu bukan sahaja untuk menyelamatkan Jaslynn tetapi zuriat pertama mereka yang sedang dikandung isterinya ketika itu.

Isterinya ketika itu dalam trimester pertama kehamilan.

Kini, selepas separuh dekad pembedahan berkenaan dijalankan, Gordon dan Jaslynn hidup bahagia bersama anak mereka, Caitlyn Ling, 5 tahun tanpa mengalami sebarang komplikasi kesihatan.

Ternyata Gordon tidak silap dengan keputusannya untuk mendermakan sebelah buah pinggangnya itu.

Bacaan kreatinin pasangan ini berada pada tahap normal dengan bacaan 60 hingga 70umol untuk Jaslynn, manakala Gordon pula pada tahap 104umol.

Kreatinin adalah penunjuk aras fungsi buah pinggang yang dikesan dalam darah dengan umumnya bacaan normal kreatinin buah pinggang sihat di bawah 100μmol.

Bagi Jaslynn, pengorbanan yang dibuat oleh suaminya itu ibarat peluang kedua untuk beliau hidup dan kembali sihat untuk menjalani kehidupan sebagai isteri dan ibu.

"Saya berasa amat beruntung sekali kerana dapat peluang untuk menjalani kehidupan normal dan menikmati kebahagiaan hidup bersama keluarga tersayang tanpa berasa sakit atau letih setiap hari, " katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kisah Gordon dan Jaslynn adalah antara ratusan atau mungkin ribuan kisah bagaimana kasih sayang dan cinta mampu menyelamatkan nyawa orang tersayang.

Persoalannya, jika kita berada dalam situasi Gordon, sanggupkah kita mendermakan buah pinggang atau mana-mana organ kita kepada ahli keluarga yang memerlukan?

Gordon Ling Fu Chur, 34, dan isterinya, Jaslynn Tay, 36, hidup bahagia bersama anak mereka Caitlyn Ling, 5, selepas separuh dekad pembedahan pemindahan buah pinggang dijalankan tanpa mengalami sebarang komplikasi kesihatan. FOTO BERNAMA
Gordon Ling Fu Chur, 34, dan isterinya, Jaslynn Tay, 36, hidup bahagia bersama anak mereka Caitlyn Ling, 5, selepas separuh dekad pembedahan pemindahan buah pinggang dijalankan tanpa mengalami sebarang komplikasi kesihatan. FOTO BERNAMA

Atau sanggupkah kita berikrar sebagai penderma organ kepada orang yang tidak dikenali agar mereka berpeluang menjalani kehidupan dalam keadaan sihat?

Jika ada kesanggupan, pastinya timbul persoalan sejauh mana pula proses pemindahan itu berjaya dan menjamin kehidupan sihat kedua-dua belah pihak antara penderma dan penerima organ.

Namun kisah Gordon dan Jaslynn ini mungkin boleh menjadi inspirasi dan mengubah persepsi masyarakat di luar sana bahawa pendermaan organ bukanlah sesuatu yang menakutkan atau mengundang risiko kesihatan pada masa hadapan.

Mengulas mengenai isu ini, Pakar Perunding Nefrologi dan Pensyarah Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Fadhlina Zakaria berkata, sehingga 2018, lebih 22,000 pesakit dialisis (pesakit kegagalan buah pinggang yang menjalani dialisis) sedang menunggu derma buah pinggang.

Kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai penderma hidup dalam kalangan ahli keluarga terdekat sebaliknya menerima buah pinggang daripada pesakit yang mengalami kematian otak.

"Pemahaman dan pengetahuan yang rendah mengenai proses transplan adalah faktor utama proses ini tidak mendapat sambutan kerana kebanyakan penderma takut dan ragu akan komplikasi dan keselamatan mereka selepas menderma organ," kata Dr Nor Fadhlina kepada Bernama.

Sementara, pesakit pula berasa malu atau tidak sanggup untuk menyuarakan hasrat meminta ahli keluarga mendermakan organ mereka.

Selain itu, terdapat juga mitos dalam kalangan masyarakat yang menganggap proses pendermaan organ adalah sesuatu perkara yang tidak normal dalam budaya masyarakat sekali gus membantutkan hasrat mereka yang berura-ura untuk menjadi penderma organ.

Faktor yang diutarakan oleh Dr Nor Fadhlina itu menyebabkan tidak banyak pembedahan transplan buah pinggang dapat dilakukan di negara ini dengan hanya mencatatkan lebih kurang 40 pembedahan setiap tahun.

Menurut Dr Nor Fadhlina, setiap tahun, hanya kira-kira 40 pembedahan buah pinggang dapat dilakukan di Malaysia.

"Sebanyak 90 peratus daripada jumlah itu adalah pendermaan daripada penderma hidup, manakala selebihnya adalah pendermaan organ melalui penderma yang mati otak.

"Di Malaysia, kebanyakan pendermaan hidup hanya dilakukan dalam kalangan ahli keluarga terdekat manakala pendermaan mati otak biasanya dalam kalangan mereka yang tidak dikenali oleh penerima organ," katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pendidikan Awam Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) menjelaskan, bagi kategori pendermaan daripada individu yang masih hidup, Malaysia buat masa ini belum lagi mengambil buah pinggang atau organ daripada penderma rawak atau yang tidak dikenali oleh pesakit .

Ia bertujuan mengelakkan unsur jenayah seperti penjualan organ, penipuan dan sebagainya.

"Proses pendermaan daripada orang yang tidak dikenali yang masih hidup adalah digalakkan tetapi negara memerlukan undang-undang yang terperinci untuk membolehkan proses berkenaan.

"Buat masa ini , kita hanya ada satu jawatankuasa yang dipanggil 'Unrelated Transplant Approval Committee' (UTAC) bagi membincang dan memutuskan kes terpencil yang bukan datang daripada ahli keluarga terdekat seperti ipar duai, ahli keluarga dari luar negara dan kes yang diragui kesahihan proses pendermaan organ itu," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, proses pemindahan hidup hanya boleh dilakukan dalam kalangan penderma yang disahkan sihat sepenuhnya oleh pakar perubatan.

Justeru, penderma harus melalui beberapa siri pemeriksaan kesihatan yang ketat atau 'renal transplant workout' bagi memastikan mereka benar-benar layak dan bersedia mendermakan organ tersebut.

"Ujian yang perlu dilakukan oleh penderma dan penerima buah pinggang, antaranya adalah ujian darah, air kencing, pengimejan seperti imbasan paru-paru, buah pinggang, dan sistem lain dalam keadaan baik dan sihat.

"Kedua-dua pihak juga akan menjalani sesi kaunseling bagi memastikan mereka bersedia dari segi mental, emosi dan fizikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 1:49 PM