Oleh Zaitie Satibi

Buah pinggang adalah organ rumit yang memiliki pelbagai peranan biologi, namun peranan utamanya adalah mengekalkan imbangan homeostatik cecair badan dengan penapisan dan penyingkiran metabolit dan galian dari darah dan menyingkirkannya bersama air sebagai kencing.

Organ dipanggil ginjal terletak di bahagian belakang dalam ruang perut di sebelah tulang belakang. Buah pinggang kanan terletak betul-betul di bawah diafragma dan belakang hati, manakala buah pinggang kiri di bawah diafragma dan belakang organ limpa.

Jika buah pinggang mengalami kerosakan teruk, ia kehilangan keupayaan untuk berfungsi secara normal dan keadaan ini dipanggil kegagalan buah pinggang atau End Stage Renal Disease (ESRD).

Kencing manis dan tekanan darah tinggi dua punca utama yang membawa kepada ESRD, malah menyumbang lebih daripada 60 peratus kes baru pesakit yang menerima rawatan dialisis di Malaysia.

Penyakit buah pinggang juga boleh disebabkan oleh jangkitan, keradangan saluran darah di dalam buah pinggang, batu karang dan sista. Sebab lain yang mungkin ialah penggunaan ubat tahan sakit yang berpanjangan dan ubatan lain, termasuk ubat yang dipreskripsi.

Pemindahan buah pinggang adalah satu prosedur pembedahan membabitkan buah pinggang yang sihat daripada seorang penderma diletakkan pada pesakit yang mempunyai buah pinggang yang tidak lagi berfungsi dengan baik. Kaedah ini selalu menjadi rawatan terbaik untuk masalah kegagalan buah pinggang.

Hanya satu buah pinggang yang diderma diperlukan untuk menggantikan dua buah pinggang yang rosak, menjadikan pemindahan buah pinggang penderma yang masih hidup satu pilihan. Pemindahan buah pinggang yang berjaya dikaitkan dengan peningkatan kualiti hidup yang ketara dan lebih menjimatkan berbanding rawatan dialisis.

Kadar insiden pemindahan buah pinggang di Malaysia menurun kepada tiga pemindahan setiap sejuta penduduk pada 2012 berbanding enam atau tujuh pemindahan setiap sejuta penduduk pada awal 2000-an. Bilangan ini adalah rendah berbanding Australia dan New Zealand yang dilaporkan mencecah 38 dan 25 pemindahan setiap sejuta penduduk pada 2010.

Singapura pula menjalankan 91 pemindahan buah pinggang baru pada 2012 dan kadar insidennya ialah 20.4 pemindahan setiap sejuta penduduk.

Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) adalah satu daripada pusat pemindahan buah pinggang utama di negara ini yang menjalankan pemindahan buah pinggang ke atas pesakit yang masih hidup dan meninggal dunia, selain Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang.

Pusat berkenaan menganjurkan program kesedaran kesihatan untuk membantu pesakit buah pinggang, termasuk penjaga, dengan membantu mereka memahami bahawa pemindahan buah pinggang adalah rawatan yang lebih dipilih bagi mengatasi masalah kegagalan buah pinggang, baru-baru ini.

Menerusi program A Dialysis Outreach Program for Transplantation (aDOPT), ia membantu meningkatkan kesedaran di kalangan pesakit yang menerima rawatan dialisis dan penjaga mereka untuk menjaga kesejahteraan mereka, belajar lebih lanjut mengenai pemindahan dan berkongsi pengalaman.

Ketua Bahagian Renal, PPUM, Profesor Madya Lim Soo Kun berkata, kadar kejayaan pemindahan buah pinggang semakin menggalakkan, terutama apabila penjagaan dan rawatan rapi dilakukan sebelum dan selepas pembedahan berikutan kemajuan dalam bidang perubatan dan pembedahan pemindahan buah pinggang sepanjang tiga dekad lalu.

Malah, katanya, kadar kemandirian cantuman buah pinggang yang berusia setahun mencapai 95 peratus.

Penderma yang masih hidup boleh membabitkan ibu bapa, anak, pasangan, saudara-mara rapat atau jauh dan pemindahan buah pinggang boleh dilakukan walaupun antara kumpulan darah berbeza.

"Pesakit yang menerima rawatan dialisis dan keluarga terdekat mereka harus mempertimbangkan kaedah pemindahan buah pinggang dari penderma yang masih hidup sebagai rawatan pilihan.

"Secara umum, organ daripada penderma yang masih hidup berfungsi dengan lebih baik berbanding penderma yang meninggal dunia.

"Sebaik-baiknya, pesakit yang layak mendapatkan pemindahan buah pinggang perlu melakukan pembedahan lebih awal sebelum memulakan rawatan dialisis," katanya.

Lim berkata, satu kajian dijalankan oleh Universiti Malaya (UM) ke atas faktor yang mengehadkan pendermaan organ di Malaysia mendapati, mitos dan pantang larang dalam kalangan pelbagai budaya di negara kita membataskan pendermaan organ disebabkan maklumat salah.

"Ini termasuk larangan agama, mitos budaya dan salah tanggapan, bimbang berlaku kecacatan, takut kepada pembedahan, kurang percaya kepada sistem perubatan dan bantahan keluarga.

"Bagaimanapun, budaya dan kepercayaan agama adalah penyebab utama dalam kalangan mereka yang menentang pendermaan organ. Orang ramai yang masih ragu-ragu boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pakar nefrologi mengenai pemindahan," katanya.

Faktor risiko mendapat penyakit buah pinggang adalah mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi, penghidap kencing manis yang tidak terkawal, jika kencing mengandungi darah dan protein.

Ini termasuk jika mempunyai satu saja buah pinggang yang berfungsi, penghidap penyakit sistem keimunan seperti Systemic Lupus Erythromytosis (SLE), kerap mengambil ubat penahan sakit atau herba, sejarah penyakit buah pinggang dalam keluarga dan penghidap sakit jantung.

Bagaimanapun, mereka yang menghidap penyakit buah pinggang dan mencapai ESRD memerlukan rawatan gantian fungsi buah pinggang menerusi kaedah rawatan dialisis, sama ada menggunakan saluran darah (Hemodialysis) atau peritonium (Peritoneal dialysis).

Kaedah lain adalah pemindahan buah pinggang daripada penderma yang masih hidup atau meninggal dunia. Pakar nefrologi yang merawat akan membincangkan semua pilihan rawatan yang ada berikutan ia bergantung kepada kekosongan dan kesesuaian kepada masalah kesihatan individu terbabit.

Maklumat mengenai buah pinggang juga boleh diperoleh menerusi badan seperti Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) atau Persatuan Nefrologi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:01 AM