DIANGGARKAN 8.9 peratus pesakit diabetes di negara ini tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit berkenaan.
DIANGGARKAN 8.9 peratus pesakit diabetes di negara ini tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit berkenaan.
DR Wan Juani
DR Wan Juani
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TAHUKAH anda bahawa kira-kira 3.5 juta rakyat Malaysia atau 17.5 peratus masyarakat kita pada hari ini adalah penghidap diabetes?

Pada 2025, jumlah itu dijangka meningkat kepada 30 peratus atau secara skalanya seorang daripada tiga orang dewasa di Malaysia dijangka menghidap penyakit berkenaan.

Gejala atau tanda awal diabetes kadangkala kurang jelas pada peringkat awal dan kebanyakan pesakit sukar untuk mengenali simptomnya.

Apabila gejala diabetes mula disedari, biasanya 50 peratus insulin dalam badannya sudah berkurangan.

Justeru, adalah penting untuk kita memberikan sepenuh perhatian kepada perubahan badan dan tidak mengambil ringan tanda berkenaan.

Antara gejala yang berkaitan dengan diabetes yang perlu diberi perhatian adalah kerap membuang air kecil dan pesakit juga berasa sangat haus.

APABILA gejala diabetes mula disedari, biasanya 50 peratus insulin dalam badan sudah berkurangan.
APABILA gejala diabetes mula disedari, biasanya 50 peratus insulin dalam badan sudah berkurangan.

Pada masa sama, penghidap diabetes mungkin mengalami masalah bibir dan kulit kering serta mengalami kegatalan.

Pesakit juga mungkin akan kerap mengalami jangkitan kuman di saluran kencing dan faraj kerana gula yang hadir dalam air kencing menjadikan kawasan berkenaan mudah dijangkiti bakteria.

Antara simptom lain adalah mengalami penurunan berat badan kerana pesakit diabetes tidak mempunyai insulin yang cukup dalam badan.

Penghidap diabetes juga kadangkala akan mengalami penglihatan yang kabur kerana gula yang tinggi dalam darah menyebabkan lensa dalam mata membengkak menyebabkan penglihatan terjejas.

Gejala biasa, luka atau parut juga lambat sembuh kerana kadar gula yang tinggi dalam darah menjejaskan saraf dan menyebabkan peredaran darah tidak lancar.

ANTARA gejala berkaitan diabetes ialah kerap membuang air kecil dan berasa sangat haus.
ANTARA gejala berkaitan diabetes ialah kerap membuang air kecil dan berasa sangat haus.

Mengulas mengenainya, Pakar Perunding dan Pakar Endokrinologi KPJ Selangor, Dr Wan Juani Wan Seman berkata, adalah penting bagi generasi muda untuk mengetahui mengenai tanda dan gejala penyakit itu.

Kata Dr Wan Juani, dalam Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019, kira-kira 8.9 peratus pesakit diabetes di negara ini tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit berkenaan.

"Sebanyak 42 peratus lagi mereka yang menghidap diabetes (tanpa disedari) adalah dalam kalangan umur 18 hingga 39 tahun.

"Oleh kerana gejala diabetes adalah berbahaya, mereka yang mempunyai faktor risiko tertentu perlu menjalani pemeriksaan saringan diabetes.

"Orang dewasa yang berisiko menghidap kencing manis termasuk mempunyai ahli keluarga yang menghidap diabetes, berat badan berlebihan atau obesiti, gaya hidup tidak aktif, wanita hamil dengan sejarah kencing manis ketika hamil. Selain mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi dan tahap kolesterol tinggi," katanya.

PENGHIDAP diabetes juga kadangkala akan mengalami penglihatan yang kabur.
PENGHIDAP diabetes juga kadangkala akan mengalami penglihatan yang kabur.

Menurut Dr Wan Juani lagi, cabaran yang dihadapi bukan sekadar untuk memastikan mereka menjalani pemeriksaan ujian saringan sebaliknya memastikan pesakit mendapat rawatan yang sepatutnya dan menjalani pemantauan rawatan susulan.

Kongsi Dr Wan Juani, beliau pernah melihat seorang pesakit yang didiagnos menghidap diabetes pada usia muda iaitu 18 tahun dan tidak meneruskan rawatan susulan.

"Pesakit itu kembali 15 tahun kemudian pada usia 33 tahun yang mengalami serangan jantung dan komplikasi yang berkaitan dengan diabetes seperti hampir buta, penyakit ginjal kronik serta difungsi ereksi.

"Keadaan itu sememangnya menyedihkan. Justeru, kita perlu meningkatkan kesedaran dengan menganjurkan program pendidikan kesihatan yang berkaitan dalam kalangan komuniti," katanya.

Dr Wan Juani berkata, kesedaran mengenai diabetes masih terlalu rendah dan sukar terutama kepada golongan yang lebih muda.

KESEDARAN mengenai diabetes masih terlalu rendah terutama kepada golongan yang lebih muda.
KESEDARAN mengenai diabetes masih terlalu rendah terutama kepada golongan yang lebih muda.

Katanya, gangguan emosi dan terlalu fokus pada kerjaya menyebabkan mereka tidak mengambil berat mengenai kepentingan mengawal diabetes dengan sempurna.

"Matlamat utama dalam pengurusan diabetes adalah untuk mencegah komplikasi dan biasanya membabitkan organ utama dalam badan.

"Pesakit dengan kawalan diabetes yang lemah berisiko kehilangan penglihatan, kegagalan buah pinggang, serangan jantung, amputasi dan kerosakan pada saraf.

"Jadi, adalah penting bagi pesakit mengurus diabetes mereka melalui pengambilan diet seimbang, aktiviti fizikal yang baik, memantau kadar gula ketika di rumah dan mengetahui cara untuk mencapai sasaran kadar gula dalam darah yang baik," katanya.

Sementara itu, pesakit juga dinasihatkan supaya mengamalkan diet seimbang, memantau pengambilan gula dan karbohidrat.

PENGAMBILAN ubat diabetes adalah untuk mengawal kadar glukosa darah dan bukan penawar penyakit itu.
PENGAMBILAN ubat diabetes adalah untuk mengawal kadar glukosa darah dan bukan penawar penyakit itu.

Kata Dr Wan Juani lagi, pilih makanan ringan yang lebih sihat seperti yogurt tanpa gula, kacang tanpa garam, buah-buahan dan sayur-sayuran bukan coklat, kek atau biskut.

Pesakit juga boleh menggantikan gula dengan pemanis alternatif selain menikmati minuman yang mempunyai perasa semula jadi seperti pudina atau lemon dan masak sendiri di rumah.

Katanya, pengambilan ubat diabetes adalah bertujuan untuk mengawal kadar glukosa darah dan ia bukan penawar diabetes.

"Ia adalah penyakit kronik dan tidak akan hilang, justeru sokongan keluarga penting dalam membantu pesakit mengawal penyakit itu.

"Namun, dengan adanya teknologi terbaharu dan kemajuan dalam bidang perubatan, kita mempunyai peluang untuk memastikan penyakit ini dikawal dengan baik.

PESAKIT dinasihatkan supaya mengamalkan diet seimbang serta memantau pengambilan gula dan karbohidrat.
PESAKIT dinasihatkan supaya mengamalkan diet seimbang serta memantau pengambilan gula dan karbohidrat.

"Dapatkan maklumat yang sahih, temui orang yang pakar dan dapatkan nasihat yang tepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 6:50 AM