JIKA baik, selepas dua jam minum, paras gula dalam darah masih pada julat normal.
JIKA baik, selepas dua jam minum, paras gula dalam darah masih pada julat normal.
HM Digital

Kenapa perlu minum air gula? Melampau manisnya, sudahlah tidak sedap! Lebih baik beri minuman bergas, manisnya tetap sama tetapi jauh lebih sedap! Itu antara keluhan biasa wanita hamil apabila mereka dikehendaki minum air gula di klinik.

Walaupun kadang- kala keluhan itu sekadar diluahkan di dalam hati, namun hakikat yang tidak dapat disangkal setiap wanita hamil tetap tidak suka apabila disuruh atau perlu melalui ujian saringan toleransi glukosa (minum air gula).

Mengupas isu ini, Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Muhammad Izzat Abdul Razak berkata, ujian minum air gula adalah untuk memeriksa sama ada ibu hamil itu mempunyai diabates atau tidak.

Menurutnya, diabetes terjadi apabila badan tidak dapat memproses gula berlebihan. Dalam keadaan normal, gula akan dicerna menjadi glukosa yang penting sebagai sumber tenaga untuk sel dalam badan.

“Namun sekiranya glukosa berlebihan, hati akan menukar glukosa menjadi sebatian glikogen untuk disimpan. Saya yakin semua individu pernah dengar mengenai insulin.

“Insulin adalah hormon yang berfungsi menukarkan glukosa pada glikogen untuk disimpan dalam hati dan sel otot apabila didapati glukosa berlebihan. Insulin juga berfungsi membawa glukosa ke dalam sel badan untuk dimetabolismekan menjadi tenaga.

“Bagi pesakit diabetes, insulin menjadi kurang reaktif (rintang insulin) ataupun kurang dihasilkan yang menyebabkan ia tidak dapat mengawal paras gula dalam darah,” katanya.

Dr Muhammad Izzat berkata, apabila seorang ibu hamil diminta melalui ujian minum air gula, hakikatnya ia adalah masa untuk menguji insulin mereka boleh berfungsi atau tidak.

“Jika insulin berfungsi dengan baik, selepas dua jam minum air gula, paras gula dalam darah masih berada pada julat normal, sebaliknya jika insulin bermasalah, paras gula akan meningkat dan anda mungkin mempunyai diabetes ketika hamil.

“Ibu hamil berisiko tinggi menghidap diabetes ketika mengandung dan atas sebab itu setiap wanita hamil yang dikesan berisiko perlu menjalani ujian minum air gula demi kesihatan diri juga bayi di dalam kandungan,” katanya.

IBU HAMIL YANG BERISIKO DIABETES

- Indeks Jisim Badan (BMI) 30 atau lebih.

- Sejarah kelahiran bayi besar, melebihi empat kilogram (kg).

- Sejarah kandungan yang mempunyai diabetes ketika hamil.

- Ibu bapa atau adik-beradik menghidap diabetes.

Menurut Dr Muhammad Izzat, sekiranya ibu hamil mempunyai salah satu faktor seperti yang dijelaskan itu, ujian minum air gula perlu dijalankan ketika kandungan berada pada peringkat awal dan diulang pada usia kandungan memasuki 24 hingga 28 minggu.

“Ujian ini memerlukan anda untuk berpuasa semalaman iaitu tidak makan atau minum kecuali air kosong saja. Ujian darah akan dijalankan terlebih dulu sebelum perlu minum air gula.

“Ujian darah akan diulang sekali lagi selepas dua jam anda minum larutan gula itu. Air gula yang diberikan di klinik kerajaan lazimnya tidak berperisa dan sedikit suam namun ada juga yang berperisa oren manakala di klinik swasta, kebiasaannya mempunyai perisa bergantung kepada tempat ujian itu dijalankan,” katanya.

Tambahnya, sekiranya wanita hamil itu menghidap diabetes pada kandungan sebelumnya, ujian air gula ini akan dilakukan lebih awal bagi mengesan sekiranya terdapat masalah atau diabetes ketika hamil.

“Mengawal gula di dalam darah pada peringkat awal kehamilan penting dalam tempoh pembentukan organ penting janin dan mengurangkan komplikasi diabetes ke atas janin dan juga ibu.

“Jika keputusan ujian normal, ujian ini perlu diulang pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu,” ujarnya.

PERLU KESAN DIABETES PADA KEHAMILAN

Menurut Dr Muhammad Izzat, kebanyakan ibu yang menghidap diabetes ketika hamil tidak mempunyai masalah sepanjang proses kehamilan dan rata-ratanya melahirkan bayi yang sihat dan comel. Bagaimanapun, ada juga kes diabetes membawa kepada masalah yang serius kepada ibu dan juga janin.

“Risiko itu berlaku apabila diabetes tidak dikesan awal dan dirawat dengan optimum. Kebolehan untuk mengesan awal diabetes ketika mengandung dan mengawal atur paras gula dengan optimum dapat mengurangkan banyak risiko serta komplikasi berkaitan.

“Amat penting untuk setiap ibu hamil memastikan paras glukosa di dalam darah sentiasa terkawal. Jika paras gula di dalam darah ibu kekal tinggi dan tidak terkawal, janin akan memberikan respons kepada paras gula yang tinggi itu dengan menghasilkan lebih banyak insulin. Akibatnya, janin anda akan membesar secara berlebihan di dalam rahim.

“Keadaan itu akan menyebabkan anda diminta untuk bersalin lebih awal dari tarikh jangkaan, juga terdapat risiko bersalin secara pembedahan jika saiz janin besar ataupun kegagalan proses induksi,” katanya.

Menurutnya, jika bersalin secara normal, risiko bahu bayi tersangkut ketika kelahiran dan kecacatan saraf mungkin boleh berlaku. Risiko kematian bayi di dalam rahim secara mengejut juga akan meningkat sekiranya paras gula di dalam darah tidak dikawal.

“Bayi yang menghasilkan lebihan hormon insulin juga boleh mengalami masalah paras gula rendah selepas kelahiran. Oleh itu, bayi perlu dimasukkan ke dalam wad rawatan rapi neonatal untuk pemerhatian pakar.

“Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai diabetes juga mempunyai risiko menghidap diabetes dan masalah kegemukan apabila meningkat dewasa,” ujarnya.

Tambahnya, oleh itu, demi kesihatan dan keselamatan, setiap ibu hamil perlu mengawal paras gula di dalam darah sepanjang proses kehamilan dan kelahiran untuk mengurangkan risiko serta komplikasi pada ibu dan juga bayi.

PANDUAN ELAK MUNTAH

Dr Muhammad Izzat turut berkongsi cara yang boleh dilakukan ketika minum air gula bagi mengelak termuntah:

1. Kosongkan perut sebelum minum air gula. Waktu yang sesuai untuk kosongkan perut adalah jam 10 malam.

2. Proses minum air gula akan menjadi lebih mudah apabila dalam keadaan dahaga dan lapar. Atas sebab itu semua ibu hamil disarankan mula berpuasa jam 10 malam.

3. Tarik nafas dan minum sekali teguk saja. Jangan minum perlahan-lahan kerana ia akan menambah rasa loya.

4. Minum sambil menahan nafas supaya tidak berbau.

5. Minum semasa air gula masih suam disebabkan air gula pada ketika itu masih tidak terlalu pekat.- Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 10:17 AM