KETURUNAN bukanlah faktor utama mempengaruhi tumbesaran anak-anak
KETURUNAN bukanlah faktor utama mempengaruhi tumbesaran anak-anak
Fairul Asmaini Mohd Pilus


UMUM mengetahui bahawa setiap kanak-kanak membesar pada kadar yang berbeza.

Ada kanak-kanak lebih tinggi manakala ada juga lebih pendek dan semua itu adalah perkara biasa.

Namun, adakah ibu bapa sedar bahawa anak yang terlalu pendek mungkin petanda masalah kesihatan yang nyata?

Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Pediatrik, Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), Profesor Dr Muhammad Yazid Jalaludin berkata, keturunan iaitu ibu bapa yang pendek adalah salah satu punca anak mereka pendek (faktor genetik).

Bagaimanapun, jika kanak-kanak itu tidak membesar secepat dan setinggi kanak-kanak lain sebaya mereka, terdapat kemungkinan tumbesaran mereka terbantut disebabkan beberapa masalah lain.

Kata Dr Muhammad Yazid, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan kanak-kanak yang terbantut sebagai ukuran ketinggian lebih rendah daripada 97 peratus kanak-kanak pada peringkat umur dan jantina yang sama.

Katanya, tumbesaran terbantut sering disalah anggap sebagai pendek secara semula jadi sedangkan hakikatnya kekurangan nutrisi atau masalah perubatan boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan anak.

KANAK-kanak yang tidak membesar pada kadar normal bagi umur mereka mungkin mengalami kekurangan hormon tumbesaran (GHD).
KANAK-kanak yang tidak membesar pada kadar normal bagi umur mereka mungkin mengalami kekurangan hormon tumbesaran (GHD).

"Masalah itu (tumbesaran terbantut) dialami ramai kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun di Malaysia.

"Pada kadar 21.8 peratus, seorang daripada lima kanak-kanak di bawah umur lima tahun di negara ini mengalami tumbesaran terbantut.

"Kadar itu adalah tiga kali lebih tinggi daripada paras tujuh peratus yang dicatatkan di negara-negara berpendapatan sederhana tinggi," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Yazid berkata, dalam tempoh sedekad lalu, tumbesaran terbantut didapati lebih kerap dialami kanak-kanak di Malaysia.

Kata beliau, kadar kelaziman masalah tumbesaran terbantut dalam kalangan kanak-kanak di bawah lima tahun di negara ini ialah 21.8 peratus pada tahun 2019, meningkat daripada 17.2 peratus pada tahun 2006.

"Masalah tumbesaran terbantut bukan masalah yang hanya didapati dalam golongan B40 tetapi keadaan itu dilihat di semua peringkat pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan kumpulan etnik.

"Malah dalam kalangan keluarga dengan pendapatan isi rumah bulanan melebihi RM5,000, masalah tumbesaran terbantut berada pada tahap kira-kira 17 peratus," katanya.

RAMAI ibu bapa tidak sedar bahawa ketinggian kanak-kanak adalah berkaitan dengan pemakanan, kesihatan dan tumbesaran keseluruhan.
RAMAI ibu bapa tidak sedar bahawa ketinggian kanak-kanak adalah berkaitan dengan pemakanan, kesihatan dan tumbesaran keseluruhan.

Dalam pada itu ketika ditanya adakah ibu bapa perlu bimbang sekiranya anak mereka pendek? ulas

Dr Muhammad Yazid, ramai yang tidak sedar bahawa ketinggian kanak-kanak adalah berkaitan dengan pemakanan, kesihatan dan tumbesaran keseluruhan.

Kata Dr Muhammad Yazid, ibu bapa mungkin menganggap anak mereka pendek kerana faktor keturunan, genetik atau mengandaikan anak akan akhirnya mencapai ketinggian setanding dengan rakan sebaya ketika usia remaja.

Menurutnya, tumbesaran terbantut sebahagian besarnya tidak boleh diperbaiki dan hakikatnya perkara itu bukan sahaja mengenai ketinggian yang pendek.

"Sebaliknya, tumbesaran terbantut mungkin menandakan masalah perubatan asas yang boleh membawa kesan besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan dalam hidup kanak-kanak.

"Malah seorang daripada lima kanak-kanak yang pendek mengalami keadaan terbabit kerana faktor perubatan," katanya.

SEORANG daripada lima kanak-kanak di bawah umur lima tahun di negara ini mengalami tumbesaran terbantut.
SEORANG daripada lima kanak-kanak di bawah umur lima tahun di negara ini mengalami tumbesaran terbantut.

Kanak-kanak yang tidak membesar pada kadar normal bagi umur mereka mungkin mengalami kekurangan hormon tumbesaran (GHD).

Begitupun, GHD bukan punca lazim bagi kanak-kanak yang sangat pendek tetapi masalah itu biasanya disyaki apabila kanak-kanak menunjukkan tahap tumbesaran lebih rendah daripada biasa.

"GHD dialami apabila kelenjar pituitari tidak menghasilkan hormon tumbesaran yang secukupnya untuk merangsang pertumbuhan ketinggian badan dan membolehkan kanak-kanak membesar pada kadar yang normal.

"Oleh yang demikian, GHD itu sendiri lazimnya menunjukkan kegagalan pertumbuhan.

"GHD ialah sebahagian daripada keadaan genetik dalam kalangan sesetengah kanak-kanak tetapi dalam kebanyakan kes, punca kekurangan hormon terbabit adalah tidak diketahui (GHD Idiopatik)," katanya- (Esok, Dr Muhammad Yazid akan menerangkan mengapa GHD perlu dirawat segera).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 7:01 AM