SEGERA bawa anak berjumpa doktor jika ada masalah tumbesaran.
SEGERA bawa anak berjumpa doktor jika ada masalah tumbesaran.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, satu daripada lima (21.8 peratus) kanak-kanak di Malaysia yang berumur bawah lima tahun termasuk dalam golongan terbantut tumbesaran.

Memandangkan ketinggian mempunyai ukuran yang berbeza mengikut sesuatu populasi, agak sukar ibu bapa mengenal pasti sama ada anak mereka pendek secara semula jadi atau mengalami masalah tumbesaran.

Perunding Kanan Pediatrik dan Endokrinologi Pediatrik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Dr Wu Loo Ling berkata, terdapat tiga perkara yang boleh ibu bapa perhatikan apabila mengawasi dan memantau tumbesaran anak.

Dr Wu berkata, pertama ialah jangkaan ketinggian anak berdasarkan jantina dan umur mereka.

"Ini boleh diukur dengan carta tumbesaran piawai yang boleh didapati dalam bentuk persentil atau sisihan piawai.

"Jika ketinggian anak berada di bawah persentil ketiga, bagi umur atau lebih daripada dua sisihan piawai di bawah norma carta tumbesaran yang sepatutnya, maka mereka boleh dianggap sebagai pendek.

"Carta tumbesaran ini boleh didapati dalam talian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) serta doktor pediatrik.

"Carta ini juga boleh didapati daripada laporan sekolah anak di sekolah rendah," katanya.

Katanya, faktor kedua ialah potensi ketinggian genetik. Ketinggian anak bergantung pada gen diwarisi daripada ibu bapa.

"Oleh itu, jika ibu bapa pendek, maka anak mungkin pendek. Namun begitu, jika ibu bapa tinggi manakala anak pula pendek, maka ia mungkin satu petanda terdapat sesuatu yang menghalang anak daripada mencapai potensi penuh ketinggian," katanya.

Menurutnya, ketiga ialah kepantasan tumbesaran anak iaitu berapa pantas anak membesar.

"Jika anak membesar pada kadar biasa, kemudian tumbesarannya menjadi perlahan, ini adalah satu kebimbangan.

"Keadaan ini boleh diperhatikan dengan menjejak tumbesaran mereka pada carta tumbesaran berdasarkan jantina dan umur yang bersesuaian.

"Tumbesaran anak sepatutnya dalam kadar stabil iaitu lebih kurang dalam persentil atau sisihan piawai yang sama ketika peringkat kanak-kanak dan remaja.

"Tumbesaran yang menuju ke persentil lebih rendah adalah satu petanda kadar tumbesaran menjadi semakin perlahan dan perlu disiasat," katanya.

Dr Wu berkata, ada banyak punca mengapa kanak-kanak tidak tinggi dan ia boleh dikelaskan kepada tiga kategori.

Pertama dan yang paling biasa dijumpai ialah varian normal bertubuh pendek. Mereka yang tergolong dalam kategori ini kebanyakannya adalah pendek secara semula jadi.

"Keadaan ini mungkin disebabkan oleh potensi genetik mereka iaitu ibu bapa adalah pendek, atau atas sebab tidak diketahui.

"Kanak-kanak dalam kategori ini selalunya sihat, tetapi cuma lebih pendek berbanding kanak-kanak lain. Mereka yang 'lewat matang', juga termasuk dalam kelas varian normal bertubuh pendek ini.

"Ia dikenali sebagai gangguan konstitusi dalam tumbesaran dan baligh. Anak-kanak dalam kumpulan ini lazimnya membesar dengan stabil tetapi perlahan (selalunya bawah persentil ketiga menurut carta tumbesaran)," katanya.

Dr Wu
Dr Wu

Kata Dr Wu lagi, kategori kedua ialah bertubuh pendek intrinsik iaitu dilahirkan dengan punca tubuh pendek.

"Sebab lazim keadaan ini berlaku ialah gangguan sindrom yang selalunya adalah hasil ketaknormalan genetik atau kromosom.

"Dalam hal sebegini, bertubuh pendek adalah satu daripada gejala yang terjadi akibat daripada gangguan utama.

"Contoh gangguan itu termasuk sindrom 'turner', sindrom Down, sindrom 'prader-willi', sindrom 'noonan' dan 'akondroplasia'," katanya.

Beliau berkata, jangkitan intrauterus, iaitu keadaan ibu mendapat jangkitan semasa mengandung yang menjejaskan janin, juga boleh menyebabkan bayi menjadi kecil.

"Jangkitan ini selalunya boleh dikenal pasti dan didiagnosis semasa lahir, membolehkan bayi mendapatkan rawatan yang sesuai.

"Bayi dianggap kecil untuk usia gestasi (perkembangan embrio dalam rahim hingga dilahirkan), mereka juga termasuk dalam kategori ini.

"Keadaan ini mungkin disebabkan oleh faktor membabitkan kesihatan ibu. Contoh, menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, buah pinggang kronik, bayi (contohnya kembar atau memiliki kecacatan lahir) atau plasenta (contohnya aliran darah berkurangan ke plasenta, previa plasenta atau gangguan plasenta)," katanya.

Kategori terakhir merangkumi sebab bertubuh pendek daripada punca sekunder.

Katanya lagi, terdapat beberapa punca dalam kategori ini tetapi punca paling biasa di Malaysia ialah kekurangan nutrisi termasuk malnutrisi protein-kalori, kekurangan zat besi dan vitamin D.

"Kekurangan vitamin D biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak, memandangkan mereka kini cenderung menghabiskan masa di dalam rumah dan kurang terdedah kepada cahaya matahari.

"Sinaran ultra ungu B (UVB) daripada matahari adalah komponen penting dalam penghasilan vitamin D di badan.

"Vitamin D pula penting bagi penyerapan kalsium untuk membina dan mengekalkan tulang. Apabila berlaku kekurangan vitamin D, maka tulang akan menjadi lembut dan lemah terutamanya di anggota bawah yang menanggung berat badan. Ini mengakibatkan masalah tubuh pendek.

"Punca sekunder yang lain bagi tubuh pendek termasuk gangguan sistemik seperti masalah usus, penyakit jantung atau sistem imun lemah, dan juga kekurangan hormon seperti kekurangan hormon tumbesaran," katanya.

Dr Wu berkata, sekiranya ibu bapa mempunyai sebarang keraguan mengenai tumbesaran anak, penting untuk membawa anak mereka berjumpa doktor, sama ada pakar endokrinologi pediatrik atau doktor pediatrik am.

"Diagnosis yang lewat akan memendekkan tempoh masa untuk pemulihan kerana tulang akan matang sejajar dengan masa.

"Apabila tulang matang sepenuhnya, tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukan untuk membantu anak menjadi lebih tinggi.

"Selain itu, jika anak mempunyai masalah kesihatan yang menghalang tumbesaran, kelewatan diagnosis dan rawatan mungkin akan menjejaskan kualiti hidup mereka serta kemunculan komplikasi berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 6:03 AM