SELALU disedari ibu bapa apabila bandingkan anak perempuan dengan rakan sekelas, adik-beradik.
SELALU disedari ibu bapa apabila bandingkan anak perempuan dengan rakan sekelas, adik-beradik.
Prof Madya Dr Azriyanti Anuar Zaini

KANAK-kanak perempuan yang terlalu rendah ketinggiannya kemungkinan dibuli dan didiskriminasi, terutama dalam kalangan rakan sebaya.

Mereka juga mungkin sentiasa membandingkan diri sendiri secara negatif dengan rakan yang berketinggian normal.

Perkara ini boleh mengakibatkan tekanan psikologi, rendah keyakinan diri dan pengasingan sosial.

Apabila mereka membesar dan memasuki alam pekerjaan, keadaan ini juga boleh membawa kepada diskriminasi di tempat kerja.

Terdapat banyak kajian menunjukkan individu lebih rendah, cenderung memperoleh pendapatan yang kurang dan dilihat sebagai kurang berkuasa atau tidak berpengaruh.

Wanita yang lebih rendah daripada segi fizikal cenderung mempunyai pelvis lebih kecil yang boleh mengakibatkan kesukaran semasa melahirkan anak.

Tambahan, kajian menunjukkan wanita yang lebih rendah cenderung mengalami tempoh kehamilan lebih pendek, saiz bayi lebih kecil dan berisiko lebih tinggi menjalani pembedahan Caesarean.

Adakah saya rendah?

Ketinggian yang dijangkakan untuk seorang kanak-kanak perempuan atau wanita dinilai mengikut umur, populasi dan ketinggian ibu bapa mereka.

Di Malaysia, kita menggunakan carta pertumbuhan panjang/tinggi mengikut umur yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengukur pertumbuhan kanak-kanak daripada lahir hingga berusia 19 tahun.

Contohnya, secara purata kita menjangkakan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun akan mempunyai ketinggian sekitar 110 hingga 115 sentimeter (sm).

Kanak-kanak berumur 10 tahun pula akan mempunyai ketinggian median antara 139 hingga 144sm.

Bagaimanapun, purata ketinggian bagi wanita dewasa di Malaysia adalah antara 152 hingga 156sm.

Ini bermakna, pada usia sekitar 10 tahun, kanak-kanak perempuan di Malaysia secara amnya hendaklah mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya antara 130 hingga 135sm untuk dapat mencapai purata ketinggian wanita dewasa.

Pada peringkat individu, kanak-kanak perempuan dijangka mencapai ketinggian sekurang-kurangnya sama dengan ibu mereka, selepas mengalami pertumbuhan akil baligh.

Kanak-kanak perempuan disaran berjumpa doktor jika mempunyai tanda-tanda awal masalah pertumbuhan iaitu ketinggian lebih rendah daripada purata 10sm atau lebih pada carta pertumbuhan yang sesuai dengan umurnya.

Kajian Universiti Malaya membabitkan lebih 15,300 kanak-kanak mendapati, 16.1 peratus kanak-kanak Malaysia berusia antara satu hingga lima tahun adalah terbantut, manakala 20 peratus lagi berisiko terbantut.

Kebantutan ditakrifkan sebagai mempunyai ketinggian yang lebih daripada dua sisihan piawai daripada ketinggian purata, manakala risiko terbantut mempunyai ketinggian antara satu dan dua sisihan piawai daripada purata.

Mengapa saya rendah?

Punca umum yang paling biasa berlakunya kebantutan di Malaysia ialah kekurangan zat makanan.

Kekurangan zat merangkumi pengambilan pemakanan yang kurang baik kerana diet berkualiti rendah dan/atau kuantiti rendah, hinggalah tingkah laku terhadap pemakanan, contohnya kanak-kanak yang makan dengan perlahan atau cerewet.

Kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung kongenital, penyakit pernafasan, barah atau gangguan malserapan (penyerapan nutrient tidak sempurna) juga boleh mengalami masalah terbantut kerana faktor berkaitan penyakit mereka.

Di samping itu, bayi dilahirkan cukup bulan dan kecil untuk usia kehamilan (SGA), biasanya memiliki berat kurang daripada 2.5 kilogram (kg), juga boleh menjadi rendah yang tidak normal.

Walaupun mereka mungkin sihat, bayi SGA yang tidak mencapai pertumbuhan normal pada hari lahir keempat atau kelima mereka akan menghadapi risiko terbantut.

Sebab yang lebih khusus untuk kebantutan termasuk keadaan hormon seperti kekurangan hormon pertumbuhan dan keadaan genetik seperti sindrom turner pada kanak-kanak perempuan.

Selain daripada punca ini, terdapat tiga faktor penting yang mempunyai kesan besar kepada kebantutan.

Faktor pertama ialah pemakanan Pemakanan yang baik boleh memberi perubahan besar dalam tumbesaran kanak-kanak.

Pemakanan sebenarnya adalah pemacu utama pertumbuhan linear dalam tempoh lima tahun pertama kehidupan mereka.

Walaupun kanak-kanak mempunyai kekurangan hormon atau keadaan genetik menyebabkan mereka terbantut, pemakanan yang baik boleh membantu mereka untuk mencapai ketinggian normal.

Faktor kedua ialah tidur. Ramai kanak-kanak Malaysia mempunyai kecenderungan untuk tidur lewat dan terpaksa bangun awal pagi untuk ke sekolah.

DR Azriyanti
DR Azriyanti

Hormon pertumbuhan selalunya dilepaskan ketika tidur yang tidak terganggu pada tengah malam.

Oleh itu, kanak-kanak mempunyai jumlah tidur tidak terganggu yang kurang mungkin mengalami masalah pertumbuhan.

Akhir sekali ialah gaya hidup kanak-kanak semakin tidak aktif.

Kurang bersenam dan kecenderungan duduk serta bermain alat elektronik memberi kesan negatif kepada tumbesaran kanak-kanak.

Kajian menunjukkan, gaya hidup sebegitu bukan sahaja membuat mereka berisiko menghidap obesiti, malah pertumbuhan kanak-kanak turut terjejas.

Bolehkah saya dirawat?

Sememangnya terdapat cara untuk merawat dan mengurus kanak-kanak perempuan yang mempunyai kerendahan tidak normal.

Bagaimanapun, faktor utama yang mempengaruhinya ialah umur semasa mereka didiagnosis dan bila rawatan boleh dimulakan.

Ini kerana, peluang untuk membantu kanak-kanak perempuan mencapai ketinggian potensi maksimum mereka adalah kecil.

Contohnya, sindrom turner sebenarnya boleh didiagnosis semasa kanak-kanak masih dalam kandungan melalui amniosentesis.

Bagaimanapun, prosedur diagnostik ini tidak dilakukan secara rutin untuk ibu mengandung.

Kanak-kanak perempuan dengan keadaan ini boleh menunjukkan gejala tertentu, seperti leher berselaput, skoliosis, kuku berbentuk sudu (koilonikia) dan/atau jari pendek (hipoplasia).

Bagaimanapun, gejala yang kebanyakan ibu bapa atau penjaga selalu nampak ialah kerendahan kanak-kanak.

Ia satu gejala yang mempengaruhi 99 peratus pesakit sindrom turner.

Kerendahan yang tidak normal selalunya disedari ibu bapa apabila mereka membandingkan anak perempuan mereka dengan rakan sekelas atau adik-beradiknya pada usia sama.

Petunjuk lain yang sering diperhatikan ibu bapa ialah apabila anak perempuan mereka tidak membesar melebihi pakaian seragamnya semasa di sekolah rendah.

Pihak lain yang mungkin sedar akan kekurangan pertumbuhan seseorang kanak-kanak ialah doktor pediatrik atau doktor keluarga kanak-kanak perempuan itu (biasanya pengamal perubatan umum).

Inilah salah satu sebab mengapa penting bagi kanak-kanak untuk mempunyai seorang doktor utama yang tetap.

Ini kerana, doktor berkenaan akan dapat mengikuti pertumbuhan mereka sepanjang tahun dan melihat sebarang trend yang membimbangkan.

Walaupun ibu bapa menyedari kerendahan anak perempuan mereka tidak normal, kebanyakan mereka hanya membawa anak berjumpa doktor apabila anak tidak didatangi haid pada awal remaja (amenorea primer).

Terdapat mitos bahawa kanak-kanak perempuan hanya akan mula mengalami lonjakan pertumbuhan selepas 'menarke', atau haid pertama mereka.

Namun begitu, 'menarke' sebenarnya menandakan peringkat akhir akil baligh.

Pada masa ini, mereka berpotensi untuk membesar sebanyak tiga hingga lima sentimeter saja lagi.

Jadi, sementara masih boleh merawat kanak-kanak perempuan seperti itu, peluang untuk membantu mereka mencapai ketinggian yang lebih normal adalah lebih terhad.

Sebaik-baiknya, kanak-kanak perempuan yang berketinggian rendah perlu dirujuk kepada doktor endokrinologi pediatrik pada usia tujuh hingga 10 tahun.

Tindakan ini akan memberi masa yang mencukupi untuk diagnosis, pemantauan dan rawatan.

Akil baligh awal atau matang sebelum waktunya boleh mengakibatkan kebantutan selepas tempoh awal pertumbuhannya dipercepat, tetapi ia adalah satu lagi keadaan yang boleh dirawat.

Bagi pesakit seperti ini, memberi rawatan peribadi boleh menghentikan proses akil baligh buat sementara waktu, sambil merawat mereka dengan hormon pertumbuhan yang ditentukur untuk kadar pertumbuhan lebih normal.

Kesimpulannya, pemantauan pertumbuhan dan perkembangan anak-anak oleh ibu bapa adalah sangat penting.

Terdapat banyak cara mudah untuk ibu bapa menjejaki ketinggian anak mereka di rumah termasuk ukuran tahunan dan alat digital seperti aplikasi 'Growth Journey' yang disokong oleh Persatuan Pediatrik Malaysia.

Penulis Pakar Perunding Pediatrik dan Endokrinologi Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 6:13 AM