KEMPEN gaya hidup sihat perlu disemarakkan seiring  status negara tua.
KEMPEN gaya hidup sihat perlu disemarakkan seiring status negara tua.
Rencana

Setiap kanak-kanak membesar pada kadar berbeza – ada yang lebih tinggi dan lebih pendek. Tetapi, adakah ibu bapa sedar anak terlalu pendek mungkin petanda masalah kesihatan?

Ibu bapa pendek antara punca anak mereka pendek (faktor genetik). Bagaimanapun, jika anak anda tidak membesar secepat dan setinggi kanak-kanak lain sebaya mereka, terdapat kemungkinan tumbesaran mereka terbantut kerana masalah lain.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan kanak-kanak terbantut ukuran ketinggian yang lebih rendah daripada 97 peratus kanak-kanak pada peringkat umur dan jantina yang sama. Tumbesaran terbantut sering disalah anggap pendek semula jadi sedangkan hakikatnya kekurangan nutrisi atau masalah perubatan menjejaskan tumbesaran

Bagaimana kanak-kanak membesar di Malaysia?

Tumbesaran terbantut dialami oleh ramai kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun di Malaysia. Pada kadar 21.8 peratus, seorang daripada lima kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Malaysia berdepan tumbesaran terbantut. Kadar ini adalah tiga kali lebih tinggi daripada paras tujuh peratus yang dicatatkan di negara berpendapatan sederhana tinggi.

Dalam sedekad lalu, tumbesaran terbantut lebih kerap dialami kanak-kanak di Malaysia. Kadar kelaziman masalah tumbesaran terbantut dalam kalangan kanak-kanak di bawah lima tahun di Malaysia ialah 21.8 peratus pada 2019, meningkat daripada 17.2 peratus pada 2006.

Patutkah anda bimbang jika anak anda pendek?

Ramai ibu bapa tidak sedar ketinggian anak berkaitan pemakanan, kesihatan dan tumbesaran keseluruhan. Mereka mungkin menganggap anak pendek kerana faktor keturunan atau genetik atau mengandaikan anak akan mencapai ketinggian sebanding dengan rakan sebaya mereka ketika usia remaja.

Tumbesaran terbantut sebahagian besarnya tidak boleh diperbaiki dan perkara ini bukan sahaja berkaitan ketinggian yang pendek. Tumbesaran terbantut mungkin menandakan masalah perubatan asas yang boleh membawa kesan besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan hidup kanak-kanak. Malah, seorang daripada lima kanak-kanak pendek berdepan keadaan itu atas sebab perubatan. Kanak-kanak yang tidak membesar pada kadar normal bagi umur mereka mungkin mengalami kekurangan hormon tumbesaran (GHD). GHD bukan punca lazim bagi kanak-kanak yang sangat pendek. Namun, masalah ini biasanya disyaki apabila kanak-kanak menunjukkan tahap tumbesaran lebih rendah daripada biasa.

Apakah itu GHD?

GHD dialami apabila kelenjar pituitari tidak menghasilkan hormon tumbesaran yang secukupnya untuk merangsang pertumbuhan ketinggian badan dan membolehkan kanak-kanak membesar pada kadar normal. Oleh itu, GHD lazimnya menunjukkan kegagalan pertumbuhan. GHD ialah sebahagian daripada keadaan genetik kanak-kanak, tetapi dalam kebanyakan kes, punca kekurangan hormon itu adalah tidak diketahui (GHD Idiopatik).

Kanak-kanak yang mengalami masalah ini jauh lebih pendek dan membesar pada kadar lebih perlahan berbanding kanak-kanak lain seusia. Mereka juga nampak muda untuk umur mereka.

Walaupun kependekan kanak-kanak jelas dilihat pada peringkat awal, tanda-tanda GHD sering kali diabaikan, kerana mereka mempunyai perkadaran tubuh yang normal dan kelihatan normal sebagaimana budak lain, cuma lebih kecil dari segi saiz.

Akibatnya, kanak-kanak dengan GHD sering lewat dikesan, lazimnya semasa akil baligh, apabila mereka memperlihatkan kelewatan dalam lonjakan tumbesaran. Pada peringkat ini, mereka mungkin tidak lagi berpeluang untuk mendapat manfaat daripada rawatan awal.

Keadaan ini serius kerana kesan kesihatan GHD tidak dirawat tidak terhad kepada masalah ketinggian. Hormon tumbesaran memainkan peranan penting dalam fungsi badan seperti mengekalkan jisim otot dan tulang, mengurangkan tisu lemak, mempengaruhi paras lemak darah seperti kolesterol dan trigliserida dan mengawal fungsi jantung.

Oleh itu, kanak-kanak dengan GHD tidak dirawat bukan sahaja hilang peluang mencapai ketinggian dewasa berasaskan potensi genetik, tetapi mereka juga menghadapi risiko isu kesihatan seperti kemerosotan kepadatan mineral tulang, tahap kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit jantung ketika meningkat dewasa.

Diagnosa awal GHD penting membolehkan kanak-kanak mendapat manfaat penuh daripada rawatan hormon tumbesaran. Rawatan hormon tumbesaran membantu kanak-kanak mengalami GHD mencapai ketinggian dewasa normal, mengembalikan tahap metabolisme, meningkatkan tumbesaran badan dan kurangkan risiko sakit jantung.

Apakah rawatannya?

Rawatan paling umum bagi GHD ialah suntikan harian hormon tumbesaran sintetik. Suntikan ini diberikan menerusi pen suntikan yang membuat suntikan cetek ke dalam tisu lemak di bawah permukaan kulit. Rawatan ini selama beberapa tahun sehingga kanak-kanak mencapai ketinggian dewasa atau potensi ketinggian maksimum.

Dos suntikan berbeza mengikut kanak-kanak bergantung pelbagai faktor termasuk tahap masalah tumbesaran terbantut yang dialami serta berat badan.

Kanak-kanak yang menjalani terapi hormon tumbesaran perlu berjumpa doktor dari semasa ke semasa untuk memantau kemajuan tumbesaran. Ujian darah dilakukan untuk menentukan jika hormon tumbesaran tambahan diperlukan dan jika rawatan patut ditambah, dikurang atau dihenti.

Paras gula darah (HbA1c), fungsi tiroid, nilai IGF-1 dan X-ray umur tulang juga akan diperiksa secara berkala untuk memastikan sentiasa dalam keadaan sihat.

Bagaimana ibu bapa boleh mengesan GHD?

Memandangkan tumbesaran berkait rapat dengan kesihatan, ketinggian anak adalah petanda tahap kesihatan keseluruhan.

Di Malaysia, apabila anak selesai menjalani imunisasi pada umur dua tahun, ibu bapa hanya membawa mereka berjumpa doktor apabila anak sakit. Tiada pemeriksaan susulan atau berkala bagi memantau tumbesaran anak.

Memantau ketinggian anak kini lebih mudah dengan alatan inovatif di aplikasi telefon pintar yang membantu ibu bapa mengukur dan menjejak pertumbuhan fizikal mereka.

Penulis Ketua Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 7:01 AM