WANITA hamil disarankan untuk menerima vaksin ketika usia kandungan di antara minggu ke 14 hingga minggu ke 28,
WANITA hamil disarankan untuk menerima vaksin ketika usia kandungan di antara minggu ke 14 hingga minggu ke 28,
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kehamilan adalah satu detik indah yang berharga dan tidak dapat dilupakan oleh setiap wanita bergelar ibu.

Namun, pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini menyebabkan ramai wanita hamil mendapati mereka berada dalam situasi mudah terdedah kepada bahaya.

Menurut Pusat Kawalan and Pencegahan Penyakit (CDC), wanita hamil dan dijangkiti Covid-19 didapati lebih cenderung untuk mengalami komplikasi pernafasan yang memerlukan rawatan intensif berbanding wanita tidak hamil.

Selain itu, kecenderungan untuk mereka memerlukan penggunaan ventilator juga tinggi.

Sebuah kajian yang diterbitkan di dalam jurnal perubatan JAMA Paediatrics juga mendapati, wanita yang dijangkiti Covid-19 lebih berisiko untuk meninggal dunia, melahirkan bayi pra-matang dan mengalami praeklampsia.

Terdapat beberapa artikel penyelidikan serupa yang mendorong pegawai kesihatan awam sedunia untuk mengesyorkan vaksin Covid-19 kepada wanita hamil bagi melindungi mereka dan bayi yang dikandung.

Meskipun sedar boleh terdedah kepada bahaya dijangkiti, ada sesetengah wanita hamil termasuklah mereka yang merancang untuk hamil yang berbelah-bahagi apabila berhadapan dengan persoalan mengenai keperluan untuk divaksin.

Mereka berasa ragu kerana tidak tahu sama ada vaksin akan mendatangkan sebarang kesan kepada tahap kesuburan, kehamilan dan juga kepada bayi.

Data semasa yang ada daripada vaksin mRNA mengenai vaksinasi Covid-19 kepada wanita hamil tidak menunjukkan sebarang isu keselamatan terhadap wanita yang sudah disuntik vaksin atau bayi mereka.

Vaksin mRNA Covid-19 yang ada di Malaysia ketika ini adalah vaksin Pfizer.

Mengulas lanjut mengenai isu itu,Pengarah Perubatan IMU Healthcare (IMUH) yang juga Profesor Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan International Medical University (IMU), Profesor Dr Nazimah Idris berkata, sekiranya seseorang wanita dijangkiti ketika hamil, dia berkemungkinan akan mengalami jangkitan yang paling serius.

Kata Dr Nazimah, ada laporan menyatakan, jika ibu hamil dijangkiti Covid-19 ketika trimester ketiga kandungan risiko kematian adalah tinggi.

Untuk itu, Dr Nazimah mengesyorkan supaya wanita hamil mengambil suntikan vaksin ketika hamil, terutamanya jika berada dalam kumpulan berisiko tinggi.

"Ini termasuklah wanita yang berusia 35 tahun ke atas, yang mempunyai berat badan lebih tinggi, penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.

"Sekiranya anda terdedah kepada orang ramai dalam aktiviti seharian, anda dikira sebagai golongan berisiko tinggi juga.

"Jika bukan berada dalam kategori berkenaan, maka seseorang wanita yang hamil mempunyai pilihan untuk menangguhkan pengambilan vaksin iaitu selepas melahirkan anak dan itu bergantung kepada keputusan serta perbincangan penilaian risiko bersama doktor," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai adakah vaksin boleh memberi kesan sampingan kepada wanita hamil dan bayi di dalam kandungan, Dr Nazimah berkata, ia tiada bezanya dengan kesan yang dialami wanita tidak hamil.

"Anda akan mendapat kesan sampingan yang sama seperti wanita yang tidak hamil iaitu rasa lenguh, mual dan demam," katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa berita positif antaranya vaksin tidak akan menjejaskan bayi.

Ini kerana ia bukanlah satu bawaan yang boleh dipindahkan ibu kepada bayi ketika hamil.

"Apabila anda disuntik vaksin, ia akan memberi kesan baik kepada bayi.

"Semua vaksin berfungsi dengan cara memicu badan kita untuk menghasilkan antibodi.

"Antibodi itu akan dipindahkan kepada bayi dan seterusnya bayi akan mendapat perlindungan juga, " katanya yang memaklumkan bahawa antibodi yang terhasil ada di dalam susu ibu.

Dr Nazimah dalam pada itu turut menasihati ibu hamil yang merancang untuk mendapatkan suntikan vaksin supaya berunding dengan doktor obstetrik bagi memastikan penilaian dapat dibuat terlebih dahulu.

Kata beliau, wanita hamil disarankan untuk menerima vaksin ketika usia kandungan di antara minggu ke 14 hingga minggu ke 28, supaya mereka mendapat perlindungan terbaik daripada penyakit yang lebih serius semasa trimester ketiga.

"Jika kandungan anda pada tahap trimester ketiga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan yang anda masih boleh menerima vaksin sehingga usia kandungan pada minggu ke 33," katanya.

Mengulas mengenai adakah garis panduan yang sama turut terpakai kepada wanita yang cuba untuk hamil, Dr Nazimah berkata, ia sudah tentu dan bergantung kepada perancangan yang teliti.

Katanya, adalah dicadangkan supaya wanita melengkapkan dahulu dos vaksinasi sebelum merancang untuk hamil.

"Dengan itu anda sudah pun dilindungi. Jika anda sudah pun mendapatkan dos vaksin yang pertama dan kemudiannya mendapati anda hamil, janganlah anda khuatir.

"Teruskan kehamilan anda. Vaksinasi ketika trimester pertama juga tidak meningkatkan risiko keguguran," jelasnya.

Merujuk kepada kesan vaksinasi terhadap tahap kesuburan seseorang, Dr Nazimah memberikan fakta biologi yang mudah sebagai penjelasan.

Kata beliau, kemampuan wanita untuk hamil adalah bergantung kepada proses semula jadi kitaran hormon iaitu apabila ovari menerima isyarat dari otak.

"Vaksinasi Covid-19 tidak menjejaskan proses itu atau peluang anda untuk hamil dalam apa cara sekalipun," katanya.

Sementara itu, pasti ramai wanita hami yang berasa ragu vaksin manakah yang paling sesuai.

Buat masa ini, ada tiga jenis vaksin di Malaysia iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Ketika ini, adalah disyorkan supaya Pzifer diberikan kepada wanita hamil manakala ibu yang menyusukan pula boleh diberikan vaksin Pfizer atau AstraZeneca.

Bagi memastikan anda mendapat vaksin yang paling sesuai dan tepat, jangan ketinggalan untuk memberikan maklumat mengenai status terkini di aplikasi MySejahtera.

Janji temu vaksinasi kelak akan berdasarkan vaksin yang sesuai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan.

Menurut Dr Nazimah lagi, pakar kesihatan sedunia mengesyorkan vaksin Pzifer untuk wanita hamil kerana banyak kajian yang sudah dilakukan ke atas golongan berkenaan.

Katanya, sudah ada data keselamatan yang membolehkan cadangan itu dilakukan manakala untuk dua jenis vaksin lain lagi, kajian masih berjalan.

"Usah bimbang sekiranya sudah mengambil suntikan vaksin AstraZeneca dan kemudian mendapati hamil kerana vaksin itu sendiri tidak menjejaskan kehamilan.

"Dunia perubatan berpengalaman luas berkaitan vaksinasi, termasuklah vaksinasi ketika kehamilan dan mereka ada pengetahuan mengenai bagaimana ia boleh mempengaruhi anda dan kehamilan anda.

"Jadi, biarpun ibu-ibu hamil menerima vaksin jenis yang lain, ia bukanlah sesuatu yang patut dibimbangi," katanya.

Biarpun vaksinasi adalah pilihan peribadi namun apabila berhadapan dengan Covid-19 dan hakikat bahawa wanita hamil diketahui mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat komplikasi berkaitan virus korona, maka isu mengenai mendapatkan perlindungan secukupnya seharusnya perlu menjadi keutamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 9:12 AM