KANDUNGAN gula yang tinggi pada wanita hamil dan boleh menyebabkan keabnormalan pada otak, sistem gastrik, jantung, sistem tulang, malah pada saluran renal.
KANDUNGAN gula yang tinggi pada wanita hamil dan boleh menyebabkan keabnormalan pada otak, sistem gastrik, jantung, sistem tulang, malah pada saluran renal.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Ibu bapa yang perlu berdepan dengan pilihan 'penamatan kehamilan' sememangnya melalui tempoh sukar dalam hidup mereka.

Pilihan berkenaan terpaksa dilakukan kerana jika meneruskan kehamilan, ia akan memudaratkan ibu sama ada secara fizikal ataupun mental.

Pakar Perunding Obstetrik dan Sakit Puan, IMU Healthcare, Profesor Dr Nazimah Idris berkata, bagaimanapun adalah penting untuk pasangan diingatkan bahawa tiada siapa yang bersalah dalam kes berkenaan.

"Faktor genetik adalah 20 peratus punca kes dan 10 peratus lagi disebabkan faktor persekitaran seperti jangkitan, penggunaan dadah atau alkohol, kandungan gula dalam darah yang tinggi dan pendedahan pada radiasi.

"Namun, dalam majoriti kes, tiada punca yang spesifik," katanya.

Menurut Dr Nazimah lagi, pencegahan risiko keabnormalan janin sebenarnya boleh dilakukan sejak awal lagi.

Katanya, ada pilihan nutrisi yang dapat membantu seperti asid folik yang penting untuk wanita hamil.

"Ia boleh mencegah keabnormalan pada otak dan sistem saraf pusat, jadi pengambilan asid folik digalakkan kepada semua.

"Selain ibu hamil, wanita yang merancang untuk hamil juga perlu mengambil asid folik sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum mahu mengandung dan teruskannya sehingga sekurang-kurangnya tiga bulan selepas kehamilan," katanya.

ASID folik boleh mencegah keabnormalan pada otak dan sistem saraf pusat.
ASID folik boleh mencegah keabnormalan pada otak dan sistem saraf pusat.

Dr Nazimah berkata, jangkitan seperti rubella juga boleh menyebabkan keabnormalan berstruktur, namun dengan program vaksin sedia ada, keadaan itu mampu dikurangkan.

Katanya, masalah kencing manis pula adalah satu keadaan yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian.

"Diabetic embryopathy merujuk kepada keabnormalan pada fetus disebabkan kandungan gula yang tinggi pada wanita hamil dan boleh menyebabkan keabnormalan pada otak, sistem gastrik, jantung, sistem tulang, malah pada saluran renal.

"Kandungan gula yang tinggi adalah toksik pada bayi. Ia membahayakan pada fetus terutama pada trimester pertama, ketika bayi sedang membesar dan organ sedang terbentuk.

"Jika bayi terdedah kepada 'toksin' ketika sedang membentuk, ia tidak akan terbentuk dengan baik," katanya.

Jelas beliau lagi, adalah penting untuk seseorang yang menghidap kencing manis, penyakit jantung atau hipertensi untuk mendapat nasihat doktor sebelum mengandung.

Selain itu, wanita juga digalakkan berjumpa doktor untuk mengetahui faktor risiko dan mendapatkan nasihat mengenai langkah yang perlu diambil bagi menstabilkan keadaan kesihatan sebelum mengandung.

Jalan itu mungkin tampak rumit, tetapi Dr Nazimah berkata, terdapat klinik pra kehamilan dan prakonsepsi membantu mereka yang sedang merancang untuk hamil.

"Di IMU Healthcare contohnya, kami memiliki klinik sebegini dan kebanyakan hospital juga ada.

"Namun, ramai yang tidak menggunakannya kerana banyak kehamilan di Malaysia adalah tidak dirancang, " katanya.

Dalam pada itu, Dr Nazimah berkata, perjalanan hidup ibu bapa selepas kelahiran bayi berkeperluan khas mereka mungkin sukar tambahan pula dengan kekangan kewangan dan emosi yang mungkin berat untuk ditanggung.

Katanya, doktor boleh membantu dengan merujuk kepada perkhidmatan yang relevan seperti pertubuhan kebajikan, badan keagamaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bantuan kewangan.

"Untuk keadaan spesifik, rujukan kepada kumpulan sokongan yang khusus juga boleh dibuat termasuk membabitkan pakar kanak-kanak sebelum bayi dilahirkan supaya mereka dapat menasihatkan kumpulan mana wajar dirujuk untuk sokongan.

"Sekiranya sokongan psikologi diperlukan, doktor juga akan mendapatkan bantuan pakar psikiatri dan psikologi.

"Selain itu, jurupulih perubatan carakerja dan ahli fisioterapi juga akan membantu ibu bapa memahami sebarang alatan khas yang mungkin diperlukan mengikut keperluan anak mereka," katanya.

PERJALANAN hidup ibu bapa diuji dengan kelahiran bayi berkeperluan khas (gambar hiasan).
PERJALANAN hidup ibu bapa diuji dengan kelahiran bayi berkeperluan khas (gambar hiasan).

Sementara itu, jika ibu bapa berdepan kesukaran dan memutuskan tidak dapat menjaga bayi mereka, jangan sesekali meninggalkannya.

Sebaliknya, Dr Nazimah menyarankan supaya menghubungi doktor yang merawat dan memberitahunya bahawa anda tidak mampu menjaganya, mereka pasti akan membantu.

"Pihak Jabatan Kebajikan, NGO dan organisasi lain akan bantu anda mencari penempatan yang sesuai buat bayi itu. Ada senarai menunggu yang panjang untuk mereka yang ingin mengambil anak angkat," katanya.

Beliau turut menggalakkan ibu bapa supaya bertanya kepada doktor mengenai persoalan yang sering bermain dalam fikiran mereka.

Katanya, tiada istilah 'soalan bodoh' kerana perasaan prihatin, simpati dan pemahaman yang mendalam sememangnya diperlukan ibu bapa yang berdepan tanggungjawab berat apabila mempunyai anak berkeperluan khas.

"Perasaan yakin sebenarnya dapat sedikit sebanyak membantu menenangkan ibu bapa.

"Mereka pastinya lega apabila doktor yang merawat anak mereka berkata 'kami akan melakukan segala yang terdaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 10:00 AM