FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Los Angeles: Individu yang dijangkiti virus Covid-19 ketika hamil berisiko tinggi untuk melahirkan bayi pramatang, menurut kajian Amerika Syarikat (AS).

Di dalam jurnal The Lancet Regional Health-Americas, penyelidik di University of California (UC) San Francisco mendapati bahawa risiko kelahiran pramatang yang berlaku pada usia kehamilan kurang dari 32 minggu adalah 60 peratus lebih tinggi bagi orang yang dijangkiti Covid-19 ketika hamil.

India Today yang memetik PTI melaporkan risiko kelahiran pramatang atau kelahiran kurang dari 37 minggu adalah 40 peratus lebih tinggi kepada mereka yang mempunyai jangkitan virus itu.

Bagi mereka yang juga menghidap darah tinggi, diabetes, obesiti serta Covid-19, risiko kelahiran pramatang meningkat 160 peratus, menurut kajian itu.

"Kelahiran pramatang dikaitkan dengan banyak cabaran bagi wanita hamil dan bayi, dan kelahiran sangat awal membawa risiko komplikasi bayi yang paling tinggi.

"Hasil kajian menunjukkan pentingnya langkah pencegahan untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan orang hamil bagi mencegah kelahiran pramatang, termasuk vaksinasi," kata ketua kajian Deborah Karasek, seorang penolong profesor di UC San Francisco.

Kajian itu mengenal pasti risiko Covid-19 berdasarkan jenis kelahiran pramatang, mengikut bangsa, etnik, dan status insurans.

Penyelidik juga mendapati bahawa orang Latin, Asli Amerika, orang Alaska, orang Hawaii dan Kepulauan Pasifik, serta mereka yang mempunyai insurans awam, mencatatkan jumlah tinggi dijangkiti Covid-19, semasa hamil.

Dalam keseluruhan kajian, 47 peratus wanita hamil adalah Latin dan mewakili 72 peratus individu yang disahkan Covid-19.

"Memandangkan risiko Covid-19 lebih tinggi kepada golongan ini sama seperti kelahiran pramatang, perlunya pendekatan lain.

"Dengan peningkatan jangkitan dan varian Delta, kita mesti mengutamakan mereka dengan dasar yang membantu mengurangkan pendedahan dan tekanan, serta meningkatkan akses rawatan," katanya.

Penyelidik juga menganalisis semua kelahiran antara Julai 2020 hingga Januari 2021 yang direkodkan Statistik Kelahiran California.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 7:02 AM