AZMIR (kanan) melancarkan kempen Indahnya Syawal Kemeriahan Dirai di KL East Mall.
AZMIR (kanan) melancarkan kempen Indahnya Syawal Kemeriahan Dirai di KL East Mall.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PUSAT beli-belah, KL East Mall menyemarakkan lagi Ramadan dengan mengadakan kempen Indahnya Syawal Kemeriahan Dirai bagi membantu kanak-kanak autisme.

Inisiatif sempena sambutan Aidilfitri itu akan membantu dan memberi sumbangan kepada Yayasan Pendidikan Insani (Insani).

Ia adalah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan penjagaan pencegahan awal, terapi dan pendidikan kepada 50 kanak-kanak autisme daripada keluarga berpendapatan rendah.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, pusat beli-belah itu menyasarkan kutipan minima RM50,000 untuk kanak-kanak dan keluarga di bawah yayasan berkenaan.

Katanya, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) melaporkan kira-kira 9,000 kanak-kanak dilahirkan dengan autisme pada setiap tahun di Malaysia dan jumlah itu adalah tinggi berbanding tahap kesedaran masyarakat.

"Autisme adalah salah satu gangguan perkembangan kanak-kanak yang paling cepat berkembang dan kesedarannya perlu disuarakan di platform yang lebih luas.

WAKIL Insani menerima sumbangan daripada Habib bagi membantu kanak-kanak autisme.
WAKIL Insani menerima sumbangan daripada Habib bagi membantu kanak-kanak autisme.

"Justeru, sebagai pemaju hartanah yang bertanggungjawab, Sime Darby Property berperanan secara aktif menganjurkan beberapa inisiatif berkaitan dengan usaha itu.

"Ia membolehkan dana dikumpulkan selain meningkatkan kesedaran mengenai autisme dan mewujudkan ruang untuk organisasi seperti Insani berkongsi kepakaran berkaitan penjagaan serta rawatan," katanya pada majlis pelancaran kempen itu.

Sementara itu, sehingga 16 Mei depan, pembeli dapat bersama menyokong usaha berkenaan dengan menyumbangkan minimum RM10 dan berpeluang untuk mewarnai kepingan suai gambar daripada sebuah karya seni untuk dihadiahkan kepada Insani.

Orang ramai yang menyumbang minimum RM35 juga akan menerima beg tote eksklusif rekaan jenama fesyen terkenal, Fiziwoo dengan kerjasama cef terkenal Datuk Redzuawan Ismail.

Selain itu, pengeluar utama barangan kemas tempatan, Habib yang secara rasminya membuka cawangan terbaharunya di KL East Mall turut menyumbang 100 peratus hasil jualan 300 kepingan wafer emas tulen edisi terhad bernilai RM118 setiap satu kepada yayasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 6:35 AM