Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kecekapan seorang kanak-kanak lelaki menghidap autisme mengenalpasti 198 bendera negara dalam tempoh 9 minit 54 saat berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records.

Perunding Kanan Rekod MBOR, Edwin Yeoh berkata, pencapaian K Rashwin, 4, itu berjaya mengatasi rekod seorang kanak-kanak normal berusia 5 tahun yang mengenalpasti 147 bendera negara di seluruh dunia dalam masa 15 minit, awal tahun ini.

Beliau berkata, Rashwin berjaya melakukannya menerusi aplikasi sosial, Zoom dengan disaksikan panel daripada MBOR.

"Kebiasaannya, 'attention span' kanak-kanak autism sangat sedikit berbanding kanak-kanak normal dan fokus mereka kepada sesuatu perkara amat sekejap.

"Jadi 9 minit 54 saat untuk mengenalpasti 198 bendera negara di seluruh dunia adalah satu pencapaian sangat memberangsangkan kerana Rashwin adalah kanak-kanak autisme.

"Kami amat berbesar hati kerana menyaksikan rekod dibuatnya, saya berharap ini mendorong keluarga yang mempunyai anak autism lain," katanya.

EDWIN (kiri) menyerahkan sijil MBOR kepada Rashwin, hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
EDWIN (kiri) menyerahkan sijil MBOR kepada Rashwin, hari ini. FOTO FAIZ ANUAR

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sijil MBOR kepada keluarga Rashwin di Akademi Headstart, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Hadir sama, ibu bapa Rashwin iaitu S Kalithas, 40, dan B Krishnarani, 36.

Krishnarani berkata, dia mula menyedari kemampuan anak kedua daripada dua beradik itu mengenali bendera negara selepas membaca buku kamus bergambar milik abang sulungnya.

"Ketika itu Rashwin berusia dua tahun setengah, dia dapat padankan bendera dan negara, bukan itu sahaja dia mengenali negara pada peta dunia.

"Sejak itu, kami membeli pelbagai bahan bersesuaian termasuk beberapa buku, peta glob serta 'flash card' bagi memupuk minat Rashwin," kata suri rumah itu.

Menurutnya, mereka sangat menggalakkan minat anaknya sehingga cuba menghubungi pihak MBOR.

Katanya, mereka membantu Rashwin membuat latihan tetapi agak berdebar apabila kanak-kanak itu tidak mahu berlatih sehari sebelum hari mencatatkan rekod berlangsung.

"Sehari sebelum acara itu, dia tidak mahu berlatih...jadi kami amat bimbang.

"Tetapi pada hari berkenaan, Rashwin memberikan kejutan besar apabila meneka 198 negara dalam tempoh 9 minit dan 54 saat. Kami sangat berbangga dengan rekod dicatatkan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 5:33 PM