SIME Darby Property Bhd memanfaatkan permintaan berterusan untuk ruang komersial.
SIME Darby Property Bhd memanfaatkan permintaan berterusan untuk ruang komersial.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SIME Darby Property Bhd memanfaatkan permintaan berterusan untuk ruang komersial dengan melancarkan XME Boulevard di Nilai Impian, Negeri Sembilan.

Fasa pertamanya yang terdiri daripada 20 kedai pejabat dijual sepenuhnya ketika pelancaran, manakala fasa kedua dijangka dibuka pada akhir bulan ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Property, Appollo Leong, zon komersial baharu itu memberikan peluang yang mencukupi kepada usahawan di sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang untuk memperluaskan jejak perniagaan mereka di lokasi strategik dengan akses lebih mudah ke lebuh raya utama.

Leong berkata, XME Boulevard secara keseluruhannya menawarkan 40 kedai dua dan tiga tingkat dengan keluasan binaan antara 3,080 kaki persegi sehingga 6,649 kaki persegi.

"Zon komersial yang baru dilancarkan ini dijangka memperkukuhkan perbandaran Nilai Impian untuk menjadikan penduduk lebih selesa, di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Negeri Sembilan," katanya.

Dalam pada itu itu, Sime Darby Property turut menerapkan kemampanan sebagai asas bagi sambutan Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini.

Sejajar dengan rangka kerja kelestarian utamanya untuk mewujudkan komuniti yang cekal, syarikat terbabit mengaktifkan kempen Jom Raya-nya dengan inisiatif 'Go Green - Let's Celebrate Raya Sustainably' bagi menjayakan program pengumpulan fabrik terbesar yang pernah dianjurkan.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata, Ramadan sememangnya adalah peluang yang baik untuk pihaknya menggalakkan amalan kelestarian.

Katanya, inisiatif berkenaan bermula dengan program pengumpulan fabrik yang berlaku serentak di The Glades Plaza di Putra Heights, Galeri Jualan Bandar Serenia, KL East Mall dan Galeri Jualan KL East bagi mendorong komuniti di perbandaran terpilih untuk menghayati amalan kelestarian pada Ramadan.

Sementara itu, sehingga 31 Mac ini, pelbagai aktiviti pembangunan komuniti termasuk Jom Masak & Distribute Bubur Lambuk, Jom Sahur Together dan Jom Shopping Raya Bazaar akan berlangsung di perbandaran syarikat itu yang terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 6:30 AM