SUNTIKAN vaksin melindungi kanak-kanak daripada penyakit. - FOTO Google
SUNTIKAN vaksin melindungi kanak-kanak daripada penyakit. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


AUTISME adalah gangguan neurologi yang mempengaruhi fungsi otak termasuk menjejaskan mental, emosi, kemampuan pembelajaran dan daya ingatan individu.

Berdasarkan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat (AS), seorang daripada 68 kanak-kanak mengalami gangguan autisme.

Ini bermakna, kira-kira 9,000 kanak-kanak di Malaysia dilahirkan dengan gangguan autisme setiap tahun.

Lazimnya, autisme dialami pada awal usia kanak-kanak iaitu sebelum berumur tiga tahun, tetapi boleh dikenal pasti seawal usia 18 bulan.

Penyebab utama kepada masalah gangguan ini belum diketahui, tetapi mempunyai kaitan dengan faktor keturunan, persekitaran dan biologi.

Bagaimanapun, ada segelintir pihak termasuk golongan antivaksin mendakwa vaksin menjadi punca kepada gangguan autisme.

Ahli Akademi Perubatan Malaysia, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor berkata, dakwaan ini tidak benar dan sudah disangkal oleh pakar berdasarkan banyak kajian.

Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya sembilan kajian besar yang dijalankan oleh pakar antarabangsa membuktikan autisme tidak ada kaitan dengan vaksin.

"Semua kajian itu dilakukan ke atas manusia dan bukannya kajian makmal terhadap tikus.

"Pakar sudah mengesahkan masalah autisme bermula sejak bayi di dalam kandungan.

"Gejala gangguan itu dapat dikesan sebelum bayi berusia satu tahun ketika mereka belum terdedah kepada vaksin," katanya.

Beliau berkata, penyelidik menjalankan kajian untuk melihat kaitan di antara suntikan vaksin demam campak, beguk dan rubella (MMR) serta autisme.

Katanya, kajian ini membabitkan 650,000 kanak-kanak yang lahir daripada 1999 hingga 2010.

"Daripada jumlah itu, 6,500 kanak-kanak dikesan mengalami masalah autisme.

"Dalam kalangan kanak-kanak ini, ada yang mengambil vaksin dan ada yang tidak mengambilnya.

SEMBILAN kajian besar membuktikan autisme tidak ada kaitan dengan vaksin MMR. - FOTO Google
SEMBILAN kajian besar membuktikan autisme tidak ada kaitan dengan vaksin MMR. - FOTO Google

"Hasil kajian ini menunjukkan tidak wujud perbezaan risiko mengalami autisme di antara kanak-kanak menerima vaksin dan yang tidak menerima vaksin.

"Oleh itu, penyelidik membuat kesimpulan tiada kaitan di antara vaksin dan autisme," katanya.

Dr Mohd Rushdan berkata, dalam kajian ketiga, penyelidik mengkaji 100,000 kanak-kanak yang mempunyai abang atau kakak menghidap autisme.

"Jadi semua kanak-kanak yang dikaji ini mempunyai risiko menghidap autisme disebabkan adik-beradiknya mengalami masalah itu.

"Ada di antara mereka mengambil vaksin dan sebahagiannya tidak mengambilnya.

"Hasil kajian ini mendapati tidak ada peningkatan risiko autisme dalam kalangan kanak-kanak yang mengambil vaksin walaupun mereka tergolong dalam kumpulan berisiko.

"Dalam istilah lain, vaksin tidak meningkatkan risiko autisme walaupun kanak-kanak yang menerima vaksin itu mempunyai ahli keluarga menghidap autisme," katanya.

Kata Dr Mohd Rushdan lagi, satu kajian meta-analisis membabitkan lebih 1.2 juta kanak-kanak mendapati, risiko autisme terhadap kanak-kanak yang menerima vaksin termasuk vaksin mengandungi thimerosal (merkuri ada kompaun organik) sama dengan mereka yang tidak mendapat suntikan berkenaan.

"Berdasarkan hasil kajian ini, sekali lagi penyelidik mendapati tiada kaitan di antara vaksin dan autisme," katanya.

Dr Mohd Rushdan berkata, kajian keenam dilakukan ke atas kanak-kanak Jepun di antara 1989 hingga 1993 dan mendapati risiko autisme terhadap kanak-kanak mengambil vaksin sama sahaja dengan kanak-kanak yang tidak mengambil vaksin MMR.

Jelasnya, dalam kajian keenam, Jepun memberi vaksin MMR kepada kanak-kanak yang dilakukan sekitar 1989 hingga 1993.

Menurutnya, selepas 1993, negara itu menghentikan pemberian suntikan vaksin terbabit selama beberapa tahun disebabkan berita palsu mengenai vaksin dan autisme.

"Keadaan ini menyebabkan berlaku penurunan mendadak pengambilan vaksin MMR dalam tempoh berkenaan (1989 hingga 1993) yang pada 1992 hanya 10 peratus kanak-kanak mengambil vaksin.

"Jadi penyelidik berpeluang mengkaji apakah kadar kejadian autisme di dalam kedua-dua tempoh berkenaan.

"Sepatutnya jika benar vaksin adalah penyebab autisme, dengan pengurangan vaksinasi ini sudah tentu bilangan kes autisme turut menurun.

VAKSIN MMR bukan penyebab autisme. - FOTO Google
VAKSIN MMR bukan penyebab autisme. - FOTO Google

"Sebaliknya penyelidik mendapati kadar penyakit autisme meningkat, walaupun kadar vaksinasi menurun. Ini menguatkan bukti autisme tidak mempunyai kaitan dengan vaksin," katanya.

Dr Mohd Rushdan berkata, dalam kajian ketujuh, pengkaji melakukan analisisi pada pangkalan data terbesar United Kingdom (UK) yang mengumpulkan kes autisme selama 28 tahun untuk melihat sama ada ia mempunyai kaitan dengan vaksin atau tidak.

"Mereka membandingkan risiko autisme dengan kumpulan individu sama usia, tetapi tidak menerima vaksinasi MMR.

"Sekali lagi, hasil analisis ini tidak menunjukkan kaitan kedua-duanya (vaksin dan autisme)," katanya.

Menurutnya, bukti kajian kelapan ini diperoleh menerusi penyelidikan terhadap lebih 500,000 kanak-kanak di Denmark yang lahir pada 1991 hingga 1998 bagi melihat kaitan di antara vaksin dan autisme.

"Jelas menunjukkan hasil kajian ini didapati tidak wujud kaitan di antara vaksin dan autisme," katanya.

Beliau berkata, kajian kesembilan dilakukan penyelidik selepas vaksin MMR diperkenalkan pada 1988 dan tahun sebelumnya. Kajian ini disiarkan di jurnal Lancet.

"Penyelidik mendapati kadar penyakit autisme tidak meningkat selepas vaksin MMR mula diberikan pada 1988 hingga 1998 berbanding dengan tahun sebelumnya.

"Hasil kajian ini dan lapan kajian yang lain menguatkan bukti tiada kaitan di antara vaksin MMR dengan autisme.

"Golongan tidak mengambil vaksin turut mempunyai kadar penyakit autisme yang sama dengan kanak-kanak mengambil vaksin," katanya.

Jelasnya, berdasarkan semua kajian yang dilakukan ke atas manusia, ia dapat meningkatkan kefahaman pakar perubatan mengenai punca penyakit autisme dan sama sekali menolak kaitannya dengan vaksin.

"Orang ramai tidak seharusnya terpengaruh dengan dakwaan golongan antivaksin yang selama ini sengaja memburuk-burukkan vaksin dengan apa cara sekalipun.

"Hujah mereka hanya berasaskan kepada andaian dan kajian kecil yang ditolak oleh komuniti saintis antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 7:00 AM