AKSI lasak Erina dalam 2017 International Mounted Archery Games, Grunwald di Poland.
AKSI lasak Erina dalam 2017 International Mounted Archery Games, Grunwald di Poland.
Hafiz Ithnin

TATKALA dia menyertai sebarang kejohanan di peringkat antarabangsa, pasti terdapat mata tajam memerhatikan kehadirannya.

Mana tidaknya, hanya dia wanita bertudung, berketinggian 155 sentimeter dan datangnya pula dari negara bukan popular dalam arena sukan memanah berkuda.

Sekali beraksi, mata tajam yang mungkin memandang rendah kehadirannya mula terpegun dengan kelincahannya dalam arena itu.

Lebih menarik di dalam sukan itu, tiada kategori persempadanan jantina. Ertinya, pemilik nama Erina Emelina Ismail, 30, bukan calang-calang memberikan saingan kepada peserta antarabangsa yang lain, terutama buat sang Adam yang sinonim aura lasaknya.

Namun, ketika temubual bersama penulis menerusi telefon, anak sulung pasangan Ismail Mohd Dali dan Fanti Melia Adlis itu tidak sedikit pun merasakan kejayaan yang diraihnya sudah memberi kepuasan secukupnya.

"Di dalam sukan memanah berkuda ini, format kejohanan cukup berbeza kerana ia sentiasa berubah mengikut negara yang menganjurkan.

MENGIBARKAN Jalur Gemilang ketika majlis pembukaan di Spirit Khimori Horseback Archery Open Championship Mongolia 2019 .
MENGIBARKAN Jalur Gemilang ketika majlis pembukaan di Spirit Khimori Horseback Archery Open Championship Mongolia 2019 .

MERAIH kejuaraan dalam 15th World Horseback Archery Championship & 2nd World Martial Arts Mastership 2019 -  Gold Acara Serial Shot Individu dan berkumpulan.
MERAIH kejuaraan dalam 15th World Horseback Archery Championship & 2nd World Martial Arts Mastership 2019 - Gold Acara Serial Shot Individu dan berkumpulan.

"Saya tidak pernah meletakkan kemenangan sebagai matlamat tetapi mengasah bakat itu lebih utama kerana format adalah berbeza setiap negara. Kemenangan itu bonus tetapi ilmu menjadi keutamaan," katanya kepada penulis.

Bercerita mengenai permulaannya terjun ke dalam bidang itu, Erina Emelina berkata, dia sendiri tidak menyangka hanya kerana keadaan 'terdesak' untuk mengambil subjek kokurikulum di universiti sebenarnya permulaan ceritera sebagai atlit pemanah berkuda.

"Ketika menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), saya perlu mengambil subjek kokurikulum dan ketika itu yang ada hanya berkuda dan gamelan. Saya bukan seorang yang gemarkan seni muzik. Jadi ambil sahaja berkuda.

"Ketika mengikuti kursus berkuda pun, saya tidak langsung menunggang kuda kerana hanya belajar menguruskan kuda termasuk membersihkan kandang. Ketika itu, di fikiran saya sebagai pelajar, menunggang kuda pasti kosnya mahal," katanya.

Namun, selepas itu dia ditawarkan untuk menunggang kuda dengan harga pelajar dan hanya menunggang secara suka-suka.

"Satu hari, ibu saya ada hantar sebuah video mengenai dokumentari memanah berkuda dan saya melihat ia sesuatu yang menarik untuk dilakukan.

"Jadi, saya mencari atlet di dalam dokumentari itu di Facebook dan bertanyakan mengenai cara menyertainya. Selepas tamat belajar pada 2014, saya mula mencari jurulatih dan belajar cara menunggang kuda dan memanah tradisional yang betul," katanya.

MENGHARUMKAN nama Malaysia dalam 12th World Horseback Archery Championship & 1st World Martial Arts Mastership 2016.
MENGHARUMKAN nama Malaysia dalam 12th World Horseback Archery Championship & 1st World Martial Arts Mastership 2016.

Erina Emelina mendapat bimbingan Sarjan Marshal Ajail daripada Angkatan Tentera Malaysia yang juga pemanah berkuda Malaysia.

Baginya, lebih manis dia ditemukan dengan Persatuan Pemanah Berkuda As-Sibaq Malaysia yang menjadi salah satu tulang belakangnya untuk terus maju di dalam arena itu.

Katanya, di dalam persatuan itu hanya dia seorang sahaja pemanah berkuda wanita. Namun, ia bukan penghalang untuknya terus maju ke hadapan.

"Di dalam sebarang bidang pun, usaha adalah nilai yang paling utama untuk orang di sekeliling menilainya. Bukan kerana jantina.

"Apabila kita memberikan komitmen untuk belajar tanpa jemu, kita akan dilihat seorang yang amat berdisiplin untuk mengejar sebarang impian. Malu seorang wanita itu perlu diletakkan di tempat yang betul," katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran menjadi atlet pemanah berkuda, katanya, jatuh ketika menunggang adalah perkara biasa tetapi ia tidak boleh dibiasakan.

"Bohong saya tidak pernah terjatuh tetapi ia adalah kesilapan sendiri kerana tidak mempraktikkan cara yang betul.

"Maka, apabila sudah jatuh jangan merasa trauma untuk meneruskan lagi pembelajaran kerana ia adalah sebahagian daripada kita untuk mengasah ilmu di dalam sukan ini," katanya.

MEMENANGI juara keseluruhan Malaysia 1st National Horseback Archery Competition 2016.
MEMENANGI juara keseluruhan Malaysia 1st National Horseback Archery Competition 2016.

Erina Emelina berkata, dia amat menggalakkan lebih ramai wanita di negara ini menyertai sukan memanah berkuda kerana ia adalah sebahagian daripada sunnah dan mampu menyihatkan tubuh badan.

"Apabila kita bercakap mengenai memanah berkuda, ia adalah gabungan antara dua disiplin iaitu memanah tradisional dan berkuda. Jadi, kita perlu mengasah ilmu di dalam kedua-duanya, terutama teknik menunggang kuda.

"Di Malaysia, kita tidak banyak tempat latihan untuk sukan ini tetapi anda boleh belajar kedua-dua disiplin itu secara berasingan terlebih dahulu. Kemudian baharu fikirkan, tempat untuk mencari gelanggang memanah berkuda," katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Erina Emelina juga menasihatkan, mencari guru atau jurulatih yang tepat antara kunci utama untuk terus maju di dalam arena itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 7:01 AM