Hafiz Ithnin


BAGI wanita berusia 33 tahun ini, kepuasan berkuda dan memanah sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Apatah lagi setiap anak panah yang dilepaskan ketika kuda bergerak pantas berjaya menerpa tepat ke busur.

Kejayaan itu seolah-olah melepaskan segala lelah menjadi seorang suri rumah sepenuh masa yang digalas sejak bergelar seorang isteri.

Pemilik nama Nor Nadira Mohd Johari turut bersyukur kerana suami merestui keinginannya beriadah dalam aktiviti lasak itu.

Ibu kepada tiga cahaya mata yang masih kecil itu sebenarnya baharu sahaja menyertai aktiviti memanah berkuda sejak tahun lalu.

Nor Nadira berkata, sebenarnya dia sudah mempunyai minat dalam aktiviti berkuda sejak dari kecil tetapi tidak mempunyai peluang untuk belajar secara profesional.

"Ketika saya baharu melahirkan anak ketiga, saya memberitahu kepada suami untuk mengikuti kelas berkuda dan memanah demi melepaskan tekanan bergelar seorang suri rumah sepenuh masa.

"Genap sahaja anak yang ketiga berusia enam bulan, saya mendaftarkan diri untuk mengikuti kelas berkuda pada akhir 2021 dan bermula dari situ saya mengembangkan minat kepada memanah," katanya.

Melihat foto yang dikirimkan Nor Nadira ketika beraksi memanah di atas kuda kelihatan begitu gagah sekali. Apatah lagi, mengenakan busana muslimah lengkap berniqab menonjolkan seorang wirawati Islam sedang berjuang.

Nor Nadira berkata, dia tidak dapat menafikan aktiviti berkuda dapat menghilangkan tekanan seseorang kerana ketika berada di atas haiwan itu, si penunggang perlu mempunyai emosi yang baik.

"Jadi, ketika kita hendak menunggang kuda, segala tekanan perlu dibuang dan memfokuskan kepada aktiviti menunggang kuda.

MEMASTIKAN keadaan emosi dalam keadaan stabil sebelum menunggang kuda.
MEMASTIKAN keadaan emosi dalam keadaan stabil sebelum menunggang kuda.

"Perkara ini kerana kuda seolah-olah dapat menyerap emosi si penunggang kerana apabila kita dalam keadaan tidak menentu, pasti sukar untuk mengawalnya," katanya.

Jelasnya lagi, apabila dalam keadaan tenang dia boleh mengendalikan pergerakan kuda dengan begitu mudah dan seolah-olah haiwan itu memahami isi hati si penunggang untuk melakukan sebarang pergerakan.

"Apabila kita dalam keadaan tergopoh-gopoh misalnya, kuda sebenarnya dapat merasakan kita dalam keadaan tidak stabil dan risiko kemalangan atau sukar mengendalikannya boleh berlaku.

"Perkara itu yang saya dapat belajar sepanjang mengendalikan kuda. Jadi, menunggang kuda ini mengajar kita untuk berada di dalam keadaan tenang," katanya.

Bercerita mengenai memanah sambil berkuda, katanya, sudah pasti perkara itu memerlukan latihan yang cukup baik kerana ia menguji kemampuan seseorang untuk fokus dalam dua disiplin berbeza.

"Jadi, saya perlu belajar memanah dan juga mengendalikan kuda dengan baik. Apatah dapat mengendalikan kedua-duanya dengan baik, mudah untuk saya melepaskan anak panah ke sasaran.

"Ia bukan sesuatu yang mudah kerana ketika kuda bergerak kita perlu mengambil anak panah terus bersedia untuk melepaskannya ke sasaran. Kadang-kala anak panah boleh jatuh belum sempat kita memanah," katanya.

Ketika ditanya cabaran pernah jatuh ketika menunggang kuda, katanya, perkara itu sudah semestinya pernah berlaku kepada dirinya.

SESI latihan dua kali seminggu yang dilakukannya.
SESI latihan dua kali seminggu yang dilakukannya.

"Jatuh itu perkara biasa ketika belajar dan saya sendiri pernah jatuh dan dihempap kuda. Namun, ia adalah satu proses pembelajaran untuk memperbaiki diri. "Setakat ini hanya cedera ringan dan tidak pernah masuk ke hospital kerana jatuh dari kuda. Bagaimanapun, apabila jatuh, saya perlu tahu kesilapan yang dilakukan dan pastikan tidak berlaku lagi," katanya.

Akuinya, berkuda membantunya dia menjalani gaya hidup yang lebih sihat kerana seminggu dua kali perlu menghadiri kelas.

"Setiap kali kelas hanya sejam tetapi ia sudah cukup untuk menjadikan badan kita berpeluh. Selain itu, apabila belajar secara serius, kita secara tidak langsung akan melakukan aktiviti kecergasan yang lain untuk menguatkan stamina diri.

"Contohnya, berkuda memerlukan kekuatan kaki. Jadi setiap hari saya akan melakukan latihan otot kaki di rumah sendiri supaya bersedia untuk beraksi ketika sesi latihan berkuda bersama tenaga pengajar," katanya.

Nor Nadira berkata, setakat ini, dia pernah menyertai hanya satu kejohanan memanah berkuda sekali gus memberi peluang kepada diri untuk melihat secara dekat atlet tempatan dan antarabangsa beraksi ketika kejohanan.

"Saya tidak menang ketika kejohanan itu yang berlangsung pada tahun ini yang membabitkan empat buah negara. Bagi saya pengalaman melihat pemanah berkuda profesional beraksi amat memberi inspirasi.

"Apatah lagi, apabila melihat golongan wanita yang beraksi pantas dan anak panahnya sentiasa tepat ke busur menjadikan saya terus bersemangat untuk mempelajarinya," katanya.

Katanya, dia amat menggalakkan wanita terutama suri rumah untuk menyertai aktiviti berkuda dan memanah kerana aktiviti itu memberi banyak kesan positif kepada diri.

"Menjadi suri rumah ini sebenarnya satu tanggungjawab yang bukan mudah dan kita kadang-kala tertekan. Jadi, berkuda boleh menjadikan minda dalam keadaan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 7:00 AM