AKIF Zayan (berdiri kiri) bersama tiga lagi pelajar Maahad Tahfiz An-Nur yang aktif menunggang kuda sambil memanah. FOTO ihsan SHAHRILBANI MANSOR
AKIF Zayan (berdiri kiri) bersama tiga lagi pelajar Maahad Tahfiz An-Nur yang aktif menunggang kuda sambil memanah. FOTO ihsan SHAHRILBANI MANSOR
Noor Hidayah Tanzizi


Merbok: "Saya mahu menjadi seperti sahabat Rasulullah SAW, Saad bin Abi Waqqas yang berani menegakkan syiar Islam dan hebat menunggang kuda serta memanah," kata pelajar Maahad Tahfiz An-Nur di sini, Akif Zayan Azean.

Remaja berusia 13 tahun berasal dari Skudai, Johor Bahru, Johor itu mendapat perhatian apabila video aksinya menunggang kuda sambil memanah meraih lima juta tontonan di TikTok, baru-baru ini.

Selain Akif Zayan, tiga lagi rakannya, Muhammad Haris Haikal Muhammad Said, 17, Muhammad Danish Haikal Mizan Sonny, 16, dan Muhammad Azam Fahmi Muhammad Yusuf, 13, juga mempunyai kemahiran sama selain mereka juga menghafal al-Quran.

Akif Zayan berkata, dia memilih belajar di pusat pengajian agama itu sejak setahun lalu dengan kerelaan sendiri kerana mahu mendalami ilmu agama serta menghafal al-Quran selain mengakui sangat minat menunggang kuda dan memanah.

Menurutnya, dia mengambil masa enam bulan untuk mahir menunggang kuda dan memanah biarpun ia agak sukar pada mulanya kerana tiada pengalaman namun kini sudah mampu menyeimbangkan badan menunggang kuda sambil memanah.

AKIF Zayan bersama Shahrilbani. FOTO ihsan SHAHRILBANI MANSOR
AKIF Zayan bersama Shahrilbani. FOTO ihsan SHAHRILBANI MANSOR

"Berkuda dan memanah adalah sunah Rasulullah SAW dan saya mahu menghidupkannya. Sukan ini mendidik dan membantu saya untuk fokus menghafal al-Quran selain mengajar adab dan kasih sesama makhluk Allah SWT biarpun ia hanya haiwan.

"Di maahad ini kami ada jadual, setiap pagi belajar kitab dan menghafal al-Quran, manakala aktiviti riadah berkuda dan memanah dilakukan sebelah petang selepas solat Asar," katanya ketika dihubungi.

Mudir maahad berkenaan, Shahrilbani Mansor berkata, memanah, berkuda serta berenang adalah amalan sunah Nabi Muhammad SAW dan setiap perkara sunah yang dilakukan dikira mendapat ganjaran pahala dengan niat kerana sunah.

Menurutnya, ketika ini maahad berkenaan mempunyai 120 pelajar lelaki dan perempuan yang mana mereka turut diajar menunggang kuda dan memanah di sebelah petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 7:01 AM