MENIKMATI kesegaran sungai Lui antara aktivit boleh dilakukan pengunjung.
MENIKMATI kesegaran sungai Lui antara aktivit boleh dilakukan pengunjung.
Nurul Husna Mahmud


Sebut sahaja sukan sunnah, ramai yang meminati dan berhasrat mahu menguasai semua kemahiran dalam aktiviti terbabit seperti berkuda, memanah dan berenang.

Meskipun sukan ini suatu ketika dulu asing di Malaysia, kebelakangan ini ia semakin popular kerana dikatakan dapat meningkatkan ketajaman akal, kesihatan badan selain menyemai disiplin dan sahsiah diri yang tinggi.

Namun cabaran dalam menguasai ketiga-tiga sukan berkenaan, kebiasaannya peminat aktiviti terbabit terpaksa mengunjungi lokasi luar dari Lembah Klang mahupun memandu berjam-jam lamanya bagi membolehkan mereka mengenali sukan terbabit.

Lebih mencabar ialah tidak ada 'hub' khusus mengumpulkan semua aktiviti terbabit dalam satu tempat kerana kemudahan selain kemahiran jurulatih lokasi berkenaan yang terhad.

Bagi musim pandemik ini lebih sukar kerana merentas negeri masih dikuatkuasakan bagi mengekang penularan Covid-19 sekali gus menjejaskan peminat aktiviti mengunjungi pusat-pusat rekreasi sunnah di luar Kuala Lumpur.

Namun penggiat sukan berkenaan boleh memenuhi kembali minat terhadap rekreasi apabila mengunjungi lokasi tarikan baru di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang menawarkan pelbagai disiplin membabitkan ketiga-tiga sukan itu.

Terletak dalam lokasi strategik iaitu persekitaran hutan Sungai Lui dan tidak jauh daripada lokasi tarikan pelancongan Sungai Congkak, hub pendidikan dan perkembangan sukan sunnah diasaskan Azham Affif Ishak itu berharap dapat memperluaskan lagi aktiviti berkenaan kepada peminat sukan lasak.

BIDIKAN juga menggunakan papan khas.
BIDIKAN juga menggunakan papan khas.

"Saya mula gerakkan pengaruh sukan iaitu berkuda dan memanah di Taman Botani Negara Shah Alam pada 2018 selepas diberi kepercayaan pengurusan teratas untuk kendalikan program sukan sunnah di situ. Jadi, apabila pandemik dan aktiviti sukan rekreasi mula perlahan, saya ambil kesempatan untuk meninjau prospek menarik iaitu cari 'hub' untuk peminat sukan sunnah ada 'port' sendiri.

"Saya bawakan akademi Jawi Equestrian Martial Arts (JEQMA) Academy dibantu dua lagi sahabat iaitu Zaironizam Daud yang ada kepakaran dalam sukan memanah selain Abd Haris Abu Bakar untuk aktiviti renang.

"Di sini keluasan lebih 0. 8 hektar (dua ekar) ada fasiliti sesuai untuk wujudkan hub bagi sukan sunnah. Banyak modul atau bentuk program boleh diketengahkan kepada orang ramai yang meminati sukan berkuda, memanah atau berenang sahaja," katanya.

ANAK-anak pasti teruja apabila ada pusat rekreasi riadah menekankan semua disiplin sukan Sunnah.
ANAK-anak pasti teruja apabila ada pusat rekreasi riadah menekankan semua disiplin sukan Sunnah.

Tambah Azham Affif lagi, lokasi berkenaan ada ruang arena luas untuk aktiviti berkuda, sementara ruang redup bagi bersantai bagi mempelajari memanah. Di seberang pusat itu pula terdapat sungai yang mempunyai paras kedalaman berbeza sesuai untuk berenang atau menunggang bersama kuda.

"Bagi pengunjung mereka akan menjalani proses pengenalan iaitu sesi teori antaranya keselamatan dan teknikal betul ketika mengendalikan aktiviti terbabit. Fokusnya kami mahu penggiat sukan ini ada ilmu boleh mereka bawa pulang sebagai pengisian atau kemahiran baru.

"Bagi aktiviti di sini ada pelbagai bentuk iaitu disiplin berasingan atau kombinasi sukan sunnah boleh dicuba mengikut kumpulan pengunjung. Aktiviti berkuda di sini selain di arena, pengunjung juga boleh merasai pengalaman menyusuri sungai dengan berkuda.

"Ini penting bagi membantu mereka merasai pengalaman jarang dinikmati di luar selain melihat secara dekat bagaimana keadaannya haiwan ini 'survival' merentasi sungai terutama kawasan dalam,"katanya.

Menurut jurulatih renang JEQMA Academy Abd Haris Abu Bakar, bukan sahaja memperkenalkan kebaikan sukan Sunnah semata-mata, sebaliknya pengisian yang berlainan itu memberi pendedahan mengenai hikmah selain tingkatkan 'resilient' ( daya ketahanan) individu itu sendiri.

AKTIVITI berbeque antara boleh dilakukan pengunjung sendiri.
AKTIVITI berbeque antara boleh dilakukan pengunjung sendiri.

"Bukan seronok semata-mata, pengunjung sendiri dapat nilai tambah seperti 'survival' apabila mereka berkuda dalam sungai yang dalam. Di sini ada kawasan sungai yang dalamnya melepasi ketinggian kuda dan pengunjung boleh rasai sendiri bagaimana kendalikan dalam situasi itu.

"Sini pengunjung tidak perlu bimbang kerana aspek seperti keselamatan ditekankan membolehkan mereka juga mempelajari ilmu baru iaitu 'survival' yang mana kurang didedahkan di pusat rekreasi lain," katanya.

Sementara itu jurulatih memanah pusat itu juga, Zaironizam Daud, pendedahan pelbagai jenis format aktiviti memanah boleh dirasai pengunjung. Ia termasuklah mengenali dan mengendali peralatan memanah tradisi.

"Pada saya aktiviti unik iaitu memanah menggunakan alat panah tradisi mengangkat kepelbagaian seni pembuatan peralatan satu ketika dahulu boleh dilihat secara dekat. Selain pelajari teknik betul, mereka juga mengenali kepelbagaian busur dihasilkan setiap negara.

"Ia berlainan dengan busur 'recurve' atau alat panah moden yang sudah mempunyai spesifikasi tertentu dalam membantu pemanah membidik sasaran. Boleh juga rasai genre berbeza termasuklah memanah taktikal atau berkuda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 7:00 AM