SIDANG video memerlukan individu menjaga penampilan diri. - FOTO Google
SIDANG video memerlukan individu menjaga penampilan diri. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud

Ramai yang berfikiran apabila duduk rumah tidak perlu untuk bersiap seperti mana rutin biasa mereka bekerja.

Kalau pakai kain sarung atau baju kelawar pun tidak mengapa, kerana kerja di rumah jauh dari penglihatan majikan, rakan sekerja atau pihak luar.

Sedangkan mengekalkan imej atau kompeten itu profesionalisme dalam kerjaya mereka bermula dengan penampilan atau 'persalinan' kerja.

Menurut perunding imej Raihan Abdul Rahman, pakaian digayakan memberi impak terhadap psikologi, emosi dan mood individu termasuk persepsi individu yang melihatnya.

Meskipun berada di rumah, kata Raihan, anda masih perlu berpakaian seakan pergi bekerja dengan berpenampilan rapi.

"Imej individu penting terutama dalam profesion mereka kerana pada umumnya apa sahaja berkait rapat dengan komunikasi bermula dengan visual, kemudian vokal atau verbal.

"Ia membentuk persepsi dan pengurusan komunikasi dalam memberi atmosfera yang harmoni selain membentuk penerimaan dan membina kepercayaan terutama dalam dunia korporat.

BAHAGIAN muka hingga pinggang antara fokus utama membolehkan penampilan dinilai baik. - FOTO Google
BAHAGIAN muka hingga pinggang antara fokus utama membolehkan penampilan dinilai baik. - FOTO Google

"Paling pantas terbentuk ialah komunikasi menerusi visual yang mana orang melihat penampilan termasuk cara pemakaian apatah lagi ketika ini bekerja dari rumah semuanya menggunakan platform dalam talian untuk berurusan," katanya.

Malah kata Raihan, dalam kajian mendapati tiga saat pertama ketika anda melihat individu lain terutama bahagian fokus mata iaitu bahagian muka hingga ke pinggang adalah cukup penting dalam menyampaikan mesej baik ataupun tidak.

"Apabila bertemu klien luar terutamanya, tatapemakaian kerja atau korporat cukup penting kerana itu menunjukkan individu itu serius dengan urusan atau individu yang mereka sedang hubungi.

"Biasanya ketika bekerja di rumah, semua urusan menggunakan televideo konferens atau panggilan video yang memerlukan individu memperlihatkan sebahagian badan terdedah kepada klien atau penontonnya.

"Jadi, penting mereka mengenakan pakaian korporat terutama apabila mewakili organisasi sendiri berurusan dengan pihak luar. Pakaian juga membentuk imej sama ada individu itu kompeten atau profesional dalam melaksanakan tugas mereka," katanya.

Menjelaskan kesan pemilihan pakaian di rumah iaitu mengekalkan imej semi formal atau formal turut penting sebagai 'wake up call' kepada minda separa sedar individu itu sendiri dengan mesej kepada diri yang anda sedang bekerja.

"Paling penting mereka perlu faham, pakaian yang dikenakan untuk bekerja di rumah juga hampir lengkap seperti penampilan ketika bekerja di pejabat. Ia membantu menghantar mesej bahawa anda sedang bekerja dan serius untuk mencapai objektif berkenaan.

"Jadi, apabila bangun sahaja individu tadi berpakaian kemas seperti mengenakan blaus atau baju kurung bagi perempuan sementara lelaki mengenakan kemeja atau kemeja-T berkolar, akan timbul satu kesedaran mengenai nilai diri iaitu hormat terhadap kerjaya.

RAIHAN sering memberi tips dalam membantu membentuk imej baik  dalam kerjaya.
RAIHAN sering memberi tips dalam membantu membentuk imej baik dalam kerjaya.

"Keadaan itu membantu seseorang itu lebih serius dan berdisiplin serta fokus untuk capai objektif dalam pekerjaan meskipun dari jam 8 pagi hingga 5 petang hanya beroperasi dari rumah," katanya.

Menerusi imej yang rapi dan kemas itu membantu kita mewujudkan persekitaran seperti berada dalam ruang bekerja dan itu juga membantu ahli keluarga memahami.

"Apabila wanita atau lelaki sudah berkeluarga bekerja, mengenakan baju kemas membantu anak-anak memahami mereka itu dalam 'mood' bekerja.

"Anak-anak tidak menganggu dan itu juga akan menjadi contoh kepada anak-anak yang turut terpaksa belajar secara dalam talian dari rumah," katanya.

Sebagai contoh, dia dan suami menitikberatkan penampilan diri supaya sentiasa kemas dan berpakaian bekerja ketika dalam waktu bekerja.

"Macam saya, memang sudah ada pakaian korporat atau bekerja yang sesuai seperti blaus atau seluar 'slack' dan skirt labuh. Semua ini tidak perlu digosok dan mudah dipadankan bersama jaket atau blazer.

"Suntikan 'mood' ceria ketika bekerja dari rumah, saya akan pakai tudung berwarna-warni atau bercorak untuk tampak lebih 'segar'.

"Anak-anak saya, tiga yang bersekolah menengah sementara seorang masih bersekolah rendah sudah saya ajar mengenai pakaian ketika mereka mengikuti kelas dalam talian.

"Walaupun tidak mengenakan baju seragam sekolah, saya pastikan mereka mengenakan baju separa formal dan sesuai digayakan ketika menghadiri kelas dalam talian. Bagi saya menjaga penampilan itu juga satu adab dan perlu dididik pada anak-anak," katanya.

BLAZER atau jaket pilihan paling mudah untuk suai padan ketika bekerja di rumah. - FOTO Google
BLAZER atau jaket pilihan paling mudah untuk suai padan ketika bekerja di rumah. - FOTO Google

Tip mudah untuk diikuti kata perunding imej berusia 42 tahun itu, baik lelaki atau wanita ialah mengenakan pakaian dengan motif warna korporat seperti hitam, putih, biru gelap, coklat dan kelabu selain mempersiapkan blazer atau jaket.

Elak mengenakan kemeja-T atau pakaian di rumah seperti kain sarung dan sebagainya kerana itu boleh menjadi gangguan kepada keberkesanan menjalankan kerja di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 7:00 AM