WANITA yang juga isteri dan ibu menjadi imej bagi keluarga.
WANITA yang juga isteri dan ibu menjadi imej bagi keluarga.
Nurul Husna Mahmud

RATA-RATA wanita lebih santai dengan pakaian harian selain tampil polos tanpa sebarang solekan ketika melakukan urusan di rumah.

Ini kerana tanggapan kebanyakan mereka wanita tidak perlu berhias di depan anak-anak mahupun suami kerana berasakan keluarga sudah terbiasa dengan penampilan 'kosong'.

Alasan tidak perlu bersiap di rumah kerana perlu menguruskan anak-anak selain melakukan kerja seperti mengemas, membasuh dan memasak membuatkan kebanyakan wanita tidak kisah dengan imej selekeh.

Namun, Perunding Imej Profesional Nurul Atiqah Noor Halim mengakui imej ketika di rumah tidak kurang penting dengan penampilan di luar kerana menjadi contoh kepada anak-anak selain membantu membina tanggapan baik si suami atau sesebuah keluarga.

"Tentu sekali sama penting. Penampilan diri memberikan tanggapan kepada orang lain. Jadi, bukan sahaja orang di luar rumah yang memberikan tanggapan kepada kita tetapi anak-anak dan suami juga.

"Pada pendapat saya, wanita yang bergelar isteri dan ibu adalah kunci kepada corak tanggapan orang luar kepada keluarga kita. Kemas rapi seorang wanita di rumah, secara automatik terlihat pada diri suami dan anak-anak. Jadi ia perlu dimulakan wanita itu sendiri.

PENAMPILAN diri ketika menguruskan rumah tangga juga  penting untuk  bina tanggapan baik suami, keluarga.
PENAMPILAN diri ketika menguruskan rumah tangga juga penting untuk bina tanggapan baik suami, keluarga.

"Wanita yang kurang menitikberatkan soal penampilan diri di rumah kerana merasakan ia tiada keperluan untuk berhias. Maklumlah mereka sudah sibuk dengan kerja seharian seperti mengemas rumah, memasak, menguruskan anak dan sebagainya.

"Selain dikelilingi individu atau ahli keluarga yang sama setiap hari membuatkan wanita merasakan tidak perlu memberikan tanggapan yang berbeza. Berlainan situasi apabila dia keluar rumah atau bekerja di pejabat.

"Kadangkala menata rias diri menjadi kewajipan bagi satu-satu pekerjaan kerana imej seseorang memberikan tanggapan terhadap syarikat tempat dia bekerja atau memberikan gambaran kepada pekerjaan atau perniagaan wanita itu sendiri," katanya.

Kata Nurul Atiqah lagi, berbanding penampilan di luar, wanita itu boleh memilih solekan nipis selain pilihan pakaian kasual lebih rapi untuk tampak lebih ceria ketika di rumah.

"Kesilapan terbesar yang dilakukan kebanyakan wanita yang berada di rumah adalah tidak mengasingkan pakaian siang dan pakaian malam. Baju kelawar yang sepatutnya dipakai pada sebelah malam, turut juga dipakai pada sebelah siang.

PILIHAN warna terang buat imej tampak ceria.
PILIHAN warna terang buat imej tampak ceria.

"Berada di rumah tentu sekali tidak memberikan kelonggaran atau sambil lewa kerana kita masih perlu sesuaikan pakaian dengan masa. Asas menata rias penampilan diri secara ringkasnya pada pakaian, bau badan, rambut dan solekan nipis pada wajah.

"Sekiranya kita boleh bersiap lama untuk keluar daripada rumah, bersiap di rumah tentu sekali tidak akan mengambil masa yang terlalu lama atau menyusahkan kerana ia sebenarnya adalah sebahagian daripada rutin penjagaan diri.

"Solekan ringkas umpamanya, hanya perlu aplikasi bedak dan gincu berwarna 'natural' atau sekadar mengoles pelembap bibir agar tidak kelihatan pucat," katanya.

Tambah Nurul Atiqah lagi, sikap wanita terutama si ibu yang gemar mengabaikan penampilan diri di rumah boleh memberi impak kepada ekosistem kekeluargaan terutama konsep mengenai kemasan diri kepada anak-anak.

"Impak terbesar sekiranya seorang wanita tidak menjaga penampilan diri di rumah pastinya kesan terhadap anak-anak. Anak-anak akan melihat keperluan berhias apabila ingin keluar rumah sahaja walhal penjagaan penampilan juga perlu ketika di dalam rumah.

PADANAN sama ada mengenakan skirt bermotif dengan blaus kosong atau sebaliknya.
PADANAN sama ada mengenakan skirt bermotif dengan blaus kosong atau sebaliknya.

"Saya percaya anak-anak akan melihat ibu sebagai model yang patut dijadikan ikutan. Saya tidak mahu putaran itu berulang-ulang dan tidak putus.

"Mungkin ada wanita beranggapan peningkatan usia menyebabkan mereka perlu kurangkan aktiviti berhias, sedangkan pada saya waktu itu perlu lebih rapi kerana anak juga meningkat dewasa.

"Mereka ini perlukan suri teladan yang sangat dekat untuk dijadikan model atau tempat bertanya. Sekiranya seseorang wanita atau ibu gagal membentuk imej baik, anak-anak akan beralih mencari jawapan daripada sumber yang lain dan sudah tentu antara pilihan gaya di luar tidak semestinya baik," katanya.

Mengenai gaya ringkas di rumah, Nurul Atiqah menyarankan wanita boleh memilih gaya selesa seperti blaus ringkas yang dipadankan dengan skirt atau palazo polos. Selain itu gaun labuh jenis 'maxi dress' boleh beri kelainan untuk gaya harian.

"Dalam memilih pakaian untuk kelihatan santai, pertama adalah padanan warna dan corak sangat penting. Blaus bercorak umpamanya perlulah dipadankan dengan seluar atau skirt yang polos supaya kelihatan kemas tetapi santai. Warna cerah dan terang juga boleh memberikan penampilan yang segar serta ceria kepada diri si pemakai.

"Kedua, rapikan rambut dan gayakan dengan aksesori bersesuaian dan tip terakhir ialah mengenakan solekan ringkas supaya tidak kelihatan pucat di depan suami terutamanya," katanya.

NURUL Atiqah bantu memberi nasihat penampilan wanita sesuai.
NURUL Atiqah bantu memberi nasihat penampilan wanita sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 7:00 AM