AZLIA berpengalaman dalam membantu membentuk imej sesuai mengikut latar belakang atau ciri individu.
AZLIA berpengalaman dalam membantu membentuk imej sesuai mengikut latar belakang atau ciri individu.
Nurul Husna Mahmud


PERNAHKAH anda hadir ke pejabat awam atau premis kerajaan bagi tujuan urusan rasmi dengan mengenakan selipar atau kemeja-T?

Jika itu pernah berlaku atau penampilan yang digayakan ketika itu bermakna anda adalah penjenayah imej.

Alasan yang kerap diberikan pelaku jenayah terbabit ialah tiada kod pakaian dipamer atau setiap individu bebas mengenakan apa yang disukai.

Meskipun senario itu nampak mudah, tetapi mengenakan pakaian yang tidak kena pada tempatnya sama ada kelihatan terlalu selekeh atau melampaui batas, masih dilihat suatu kesilapan atau jenayah terhadap imej mahupun fesyen.

Menurut Perunding Imej Profesional dan Pengasas Circle Queen Persona, Azlia Idha, ramai tidak cakna mengenai kesilapan yang sering dilakukan ketika tampil dalam suatu majlis atau tempat formal.

"Kesilapan ramai orang ialah ambil mudah mengenai pakaian mereka. Apabila terlalu mengutamakan keselesaan sendiri sehingga mengabaikan aspek lain terutama di tempat kerja, individu ini tidak teragak-agak apabila mengenakan blaus, seluar denim dan sandal ke pejabat.

"Majoriti kod etika berpakaian di kebanyakan syarikat adalah formal dan ramai memilih sebaliknya dengan berpenampilan kasual tanpa disedari menjejaskan kredibiliti imej syarikat.

"Contoh lain, apabila individu mengenakan pakaian 'trendy' berwarna-warni atau pakaian terlalu santai untuk majlis perkahwinan atau keramaian tertentu.

PERLU tahu bentuk badan dan warna kulit untuk sesuaikan penampilan.
PERLU tahu bentuk badan dan warna kulit untuk sesuaikan penampilan.

"Sedangkan setiap apa yang dipakai adalah salah satu tanda penghormatan atau penghargaan kepada tuan rumah. Apabila tetamu mengenakan pakaian tidak mengikut tema majlis itu akan mengundang pandangan tidak enak baik tuan rumah atau tetamu lain yang tampil dalam majlis sama," katanya.

Pengamatan pakar imej berusia 39 tahun, jenayah imej adalah perlakuan masih menyalahi normal setempat atau majoriti masyarakat, selain penting membentuk tanggapan dan gambaran kualiti baik terhadap individu terbabit.

"Dari segi psikologi, majoriti manusia sukakan persamaan. Apabila ada perkara yang sama, lazimnya kita akan rasa lebih senang dan selesa dengan seseorang.

"Perbezaan yang terlalu ketara biasanya akan mengundang persepsi kurang selesa atau kurang senang untuk orang berurusan. Seperti dalam jenayah imej, tanpa disedari memberi mesej seolah-olah tidak menghormati adab dalam berkomuniti (contoh berpakaian tidak sesuai di tempat kerja atau majlis).

"Dalam Islam sendiri menggalakkan kita untuk menjaga keharmonian dalam hubungan sesama manusia. Jadi, konteks imej ini perlu kita titikberatkan supaya sentiasa bersederhana dan menyenangkan orang sekeliling," katanya.

Namun, beliau tidak menafikan setiap individu mempunyai ciri-ciri unik dan kreativiti sendiri untuk menonjol dengan menggunakan fesyen dalam membina imej.

WARNA terlalu menonjol tidak sesuai untuk penampilan dalam acara rasmi.
WARNA terlalu menonjol tidak sesuai untuk penampilan dalam acara rasmi.

"Golongan yang mempunyai cita rasa atau 'taste of fashion,' biasanya memandang fesyen itu satu seni kreativiti yang perlu ditonjolkan atau dizahirkan sebagai cara menghargai 'karya seni'.

"Bagi mereka seni itu tiada batasan. Tiada masalah sekiranya digayakan ke acara pertunjukan fesyen atau sebagainya. Namun, ia akan kelihatan 'pelik' sekiranya pergi ke tempat awam atau dalam acara formal.

"Pendapat saya yang juga peminat fesyen, lebih bagus tahu konsep berpakaian mengikut keadaan. Bergaya kena pada tempatnya," katanya.

Mengulas lebih lanjut mereka yang berisiko atau kerap melakukan jenayah fesyen, Azlia berkata, pelbagai punca boleh menyumbang kepada masalah itu terutama kelompok yang gemar terikut-ikut dengan trend terkini artis atau orang kenamaan tanpa menilai kesesuaian gaya berkenaan dengan diri.

"Pengaruh media sosial sebenarnya juga banyak mencorak ke arah pemilih gaya individu. Jadi, ini juga mencetuskan perlakuan terikut-ikut dengan gaya artis atau 'influencer' tanpa menyedari ia sesuai ataupun tidak.

"Tiada pengetahuan dalam ilmu penampilan imej atau menggunakan sumber rujukan di internet yang tidak sahih.

"Itu kerana mereka tidak mengenali personaliti, bentuk badan, kumpulan warna kulit dan sebagainya yang menjadi elemen penting dalam pemilihan imej sesuai," katanya.

Tidak terkecuali masalah itu mungkin berlaku kerana personaliti yang dimiliki individu itu sendiri yang jenis dramatik atau artistik. Lazimnya golongan ini tidak kisah dengan penampilan asalkan kelihatan berbeza atau unik daripada orang lain.

Dalam perkongsian ini juga Azlia turut berkongsi beberapa tip yang berguna dapat membantu orang ramai daripada melakukan jenayah imej.

Berikut antara tip boleh dimanfaatkan:

Mempunyai 'mindset' - Pakai apa yang sesuai dengan diri bukan pakai mengikut trend.

Elakkan 'mindset' mementingkan diri - 'Lantaklah aku nak pakai apa. Ini diri aku!'

Tahu konsep berpakaian mengikut masa, acara, tempat dan tujuan (TOPP).

Pilih maksimum kombinasi tiga warna sekiranya anda seorang yang menggemari penampilan warna-warni. Elakkan daripada kelihatan terlalu 'meriah' dengan warna seperti taman bunga.

Sekiranya anda seorang yang sukakan unsur dramatik, pilih satu sahaja warna yang menonjol dan gabungkan dengan warna neutral. Contohnya, blaus warna merah terang dipadankan bersama seluar putih (warna neutral).

Pilih potongan pakaian yang sesuai dengan jenis bentuk badan dan ketinggian anda. Bukan semua orang dikurniakan badan dan ketinggian seperti model yang cantik mengenakan apa sahaja.

Elakkan memakai aksesori yang sarat dalam satu penampilan. Pilih satu sahaja yang menonjol sebagai 'statement accessory' anda.

Paling utama, sederhana dan kemas sebenarnya akan membuatkan anda kelihatan lebih elegan dan berkredibiliti. Kurang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 7:00 AM