HAIDA selamat bernikah kali ketiga pada 30 April lalu.
HAIDA selamat bernikah kali ketiga pada 30 April lalu.
Norhayati Nordin


JODOH adalah rahsia Allah buat kita sebagai hamba-Nya. Malah, tiada pasangan yang berkahwin inginkan perceraian. Namun, semua itu takdir.

Apapun, kebanyakan pasangan bercerai pasti bertemu jodoh baru. Siapa sangka ada orang dipertemukan jodoh beberapa kali dalam hidup mereka.

Begitulah juga rezeki jodoh buat penyanyi lagu Manis Masa Bercinta dan Hajat, Haida yang popular pada 1990-an.

Pada 30 April lalu, Haida, 45, mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya, Muhammad Shahrol Azwan, 33, yang berasal dari Selangor dan menetap di Melaka.

Haida atau nama sebenarnya, Siti Haida Hasnan berkata, dia bersyukur kerana masih dipertemukan jodoh oleh Allah dengan lelaki yang boleh menjaganya dan anak-anak.

"Ini perkahwinan ketiga saya. Alhamdulillah ada jodoh kami sebagai pasangan suami isteri selepas berkenalan lima tahun lalu dan mula rapat pada 2020. Suami saya, seorang pengusaha bengkel kereta.

"Selama menjalin hubungan rapat, suami sangat memberi perhatian kepada saya dan anak-anak. Malah, ketika saya sakit memang dia prihatin dan sentiasa ada membantu.

HAIDA dan suami, Muhammad Shahrol Azwan pada majlis persandingan mereka.
HAIDA dan suami, Muhammad Shahrol Azwan pada majlis persandingan mereka.

"Saya bersyukur suami menerima saya seadanya walaupun kami berbeza usia agak jauh dan status ibu tunggal tiga anak yang digalas selepas sembilan tahun bercerai dengan bekas suami," katanya.

Menerusi perkahwinan keduanya bersama Azhr Omar pada 2000, mereka dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Muhammad Aizuddin, 21, Muhammad Danish Aiman, 19 dan Muhammad Muharam,10. Namun, bercerai pada 2014.

Membesarkan tiga anak lelaki, Haida berkata, ia pastinya ada cabaran tersendiri. Bagaimanapun anak-anak sangat memahami dan tidak menghalangnya berumah tangga.

"Anak-anak okay saja apabila saya maklumkan ingin berkahwin. Mereka memberi sokongan kerana faham saya juga memerlukan teman hidup, terutama untuk menjaga ketika sakit.

HAIDA dan suami selepas majlis akad nikah di sebuah masjid di Melaka.
HAIDA dan suami selepas majlis akad nikah di sebuah masjid di Melaka.

"Saya bahagia melihat anak-anak juga gembira. Apapun, terima kasih juga kepada yang mendoakan kebaikan buat kami sekeluarga. Hanya Allah yang membalasnya," katanya pernah menyertai Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) tahun lalu.

Pada persaingan itu, Haida hanya mampu bersaing sehingga minggu ketiga dan tersingkir. Walaupun terkandas awal, Haida gembira dapat mengetengahkan bakat nyanyiannya yang sudah sebati dalam diri dan sentiasa dirindui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 6:20 AM