MAKAN bersama keluarga untuk asuh kepentingan diet sihat dalam kalangan kanak-kanak.
MAKAN bersama keluarga untuk asuh kepentingan diet sihat dalam kalangan kanak-kanak.
Nurul Husna Mahmud


MAKAN ‘berjemaah’ seisi keluarga antara langkah pertama membantu anak-anak memahami pentingnya memilih makanan sihat.

Bukan sahaja ibu bapa boleh menerangkan khasiat yakni makan mereka sedang ambil, malah boleh menjadi contoh selain memujuk anak mereka untuk cuba membiasakan diri dengan hidangan berkhasiat itu.

Itu saranan Pengurus Jabatan Dietatik dan Perkhidmatan Makanan Institut Jantung Negara (IJN), Mastari Mohamed mengenai kaedah terbaik untuk ibu bapa mendidik amalan pemakanan baik.

Katanya, cabaran masa kini, selain anak-anak di siang harinya sibuk di sekolah dan pelbagai aktiviti luar, ibu bapa yang bekerja tiada masa untuk makan bersama meskipun pada sebelah malam.

Biasanya makanan dibungkus sejuk selain dipanaskan semula daripada restoran ketika perjalanan antara pilihan untuk dihidangkan kepada keluarga sedangkan hidangan terbaik ialah disediakan sendiri.

“Sebenarnya makanan paling baik ialah disediakan sendiri di rumah kerana ibu pastinya lebih selektif khususnya penggunaan bahan termasuk rencah untuk dalam hidangan.

PENGAMBILAN sarapan penting untuk anak cergas ketika di sekolah.
PENGAMBILAN sarapan penting untuk anak cergas ketika di sekolah.

“Jadi ibu seharusnya tahu penyediaan hidangan mudah dan ringkas, tetapi masih boleh menarik selera anak-anak. Tidak semestinya hidangan itu perlu menggunakan bahan mahal atau masakan yang rumit.

“Kadangkala hidangan ringkas lengkap dengan protein, karbohidrat dan nutrisi penting seperti vitamin sudah memadai. Contohnya padanan yogurt dengan buah-buahan, roti bijirin penuh bersama telur dan sayur sudah memadai.

“Lebih penting kena dengan selera dan pilihan anak-anak. Itu peranan ibu bapa iaitu memastikan hanya yang berkhasiat diambil anak mereka,” katanya.

Tidak lupa menekankan kepentingan konsisten pengambilan makanan pada waktu sepatutnya, sekali gus membantu mengekang masalah pemakanan dalam kalangan kanak-kanak.

“Kanak-kanak sekarang lebih terdedah dengan produk sejuk beku selain makanan segera. Ini menyebabkan komplikasi selepas beberapa tahun ataupun dewasa termasuk kemungkinan kolestrol tinggi mahupun obesiti. Ia membawa kepada komplikasi jantung dan lebih teruk ialah kanser.

PADANAN yogurt dengan buah-buahan sudah memadai.
PADANAN yogurt dengan buah-buahan sudah memadai.

“Terapkan amalan pemakanan yang dimasak segar. Dalam hal ini, si ibu perlu mainkan peranan tambahan termasuk penyediaan makanan dipek dari rumah. Selain pilihan menu dan pengambilan sarapan.

“Ramai dalam kalangan anak ini kadangkala terlepas sarapan disebabkan tidak sempat menyebabkan ia hanya boleh diambil pada waktu berikutnya. Sedangkan awal pagi mereka perlukan tenaga sekitar 200 hingga 300 kalori untuk aktif dan cerdas di dalam kelas.

“Jangan pula amalkan pengambilan makanan berat sebelah malam yang akhirnya mereka ini mudah mengalami masalah penghadaman selain turut berisiko mengalami gangguan tidur kerana lebihan tenaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 6:00 AM