MURID mengambil bahagian membuat sarapan dalam balang. -FOTO: Salhani Ibrahim
MURID mengambil bahagian membuat sarapan dalam balang. -FOTO: Salhani Ibrahim
Yusliza Yakimir Abd Talib

RAMAI yang memandang remeh kepentingan sarapan sedangkan ia sajian terpenting untuk sepanjang hari. Berkemungkinan besar banyak keluarga membuat pilihan pemakanan tidak betul disebabkan gaya hidup mereka yang terlalu sibuk.

Kepentingan sarapan dalam memulakan hari tidak dapat disangkal bahkan ada bukti menunjukkan pengambilan sarapan membantu kanak-kanak memberikan prestasi yang lebih baik di sekolah.

Bagaimanapun, penyediaan sarapan kadangkala menjadi satu cabaran khususnya buat golongan ibu dengan kesibukan kerja dan tanggungjawab di rumah. Sesetengah orang pula mungkin beranggapan menyediakan sarapan adalah sesuatu yang rumit.

Sebaliknya, ia boleh menjadi ringkas jika anda merancang terlebih dulu dan mempelajari cara mudah menyediakan sarapan lazat dalam masa singkat.

Sarapan yang baik penting bagi kesihatan fizikal, mental dan emosi dalam jangka masa panjang malah ia turut memainkan peranan besar dalam usaha mengelak tekanan darah tinggi dan diabetes.

Memulakan hari dengan sarapan bermutu tinggi dapat membantu mempertingkatkan kesihatan, menjaga keseimbangan hormon dan memberikan tenaga yang mencukupi. Ia juga cara yang sangat baik bagi mencegah obesiti dan mengekalkan Indeks Jisim Badan (BMI) yang sihat.

MAKANAN sihat untuk sarapan.
MAKANAN sihat untuk sarapan.

Sebagai contoh, oat atau bijirin terkenal dengan kandungan serat, pelbagai mineral serta zat yang mampu merendahkan paras kolesterol, sekali gus menjadikannya amat sesuai bagi sarapan pagi.

Bagaimanapun, oat saja tidak mencukupi untuk menjamin pemakanan yang sempurna. Oleh itu, buah-buahan seperti pisang adalah antara pelengkap yang sesuai dengan adanya kandungan serat, kalium, vitamin C dan B9 yang dapat menyumbang kepada kesihatan jantung.

Menyedari kepentingan sarapan khususnya buat kanak-kanak, baru-baru ini, seramai 60 murid Tahun Enam dari Sekolah Antarabangsa Beaconhouse Sri Inai, Taman Sea di ibu kota berpeluang menjadi cef muda dalam aktiviti menarik membuat balang sarapan mereka sendiri.

Menerusi kerjasama dengan Yogood Malaysia, program itu bagi mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan kanak-kanak memulakan hari dengan sarapan yang berkhasiat.

Menariknya, ibu bapa turut dipanggil untuk bekerjasama dengan anak mereka dan membantu memupuk hubungan erat semasa aktiviti itu sambil kanak-kanak terbabit belajar mengenai pemakanan sihat serta bagaimana mengendalikan sarapan sendiri di rumah.

Menggalakkan kanak-kanak ini membuat sendiri sarapan adalah langkah yang baik untuk memastikan mereka menikmati sarapan dengan cara yang disukai di samping mewujudkan kebiasaan terhadap pemakanan berkhasiat.

Ini bukan saja menjimatkan masa ibu bapa malah kanak-kanak akan lebih cenderung untuk menikmati sarapan yang baik jika mereka sendiri menjadi sebahagian daripada ‘ciptaan’ hidangan yang enak.

Pengarah Wilayah Beaconhouse Group of Schools Ali Raza berkata, tidak kira sesukar manapun ibu bapa mesti menjadikannya sebagai keutamaan untuk anak-anak mereka mengambil makanan berkhasiat sebelum menuju ke sekolah.

PESERTA bergambar kenangan.
PESERTA bergambar kenangan.

“Sarapan adalah hidangan penting untuk memulakan hari di sekolah. Selepas tidur malam, otak dan badan memerlukan ‘bahan api’ untuk beroperasi.

“Kajian menunjukkan anak yang mengambil sarapan menunjukkan prestasi lebih baik dalam akademik berbanding mereka yang tidak bersarapan. Ini adalah inisiatif kami untuk mendidik anak-anak tentang pentingnya pemakanan yang baik,” katanya.

Pengurus Jenama untuk Yogood Malaysia Junita Ee berkata, apa yang dimakan ketika sarapan sama penting dengan amalan bersarapan itu sendiri.

Katanya, bijirin penuh diserap oleh badan dengan lebih perlahan supaya gula darah tidak meningkat. Jika diambil bersama sumber serat dan protein, ia lebih cenderung untuk mengekalkan perut anak berasa selesa sehingga waktu snek atau makan tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 6:00 AM