SITI Fadhilah (kiri), Naimah (dua dari kanan) dan Suharne (kanan) bergambar selepas dinobatkan pemenang pingat emas.
SITI Fadhilah (kiri), Naimah (dua dari kanan) dan Suharne (kanan) bergambar selepas dinobatkan pemenang pingat emas.
Suliati Asri


Tiga pensyarah Fakulti Muamalat & Kewangan Islam Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) iaitu Siti Fadhilah Ghazali, Naimah Abu Kasim dan Suharne Ismail memenangi pingat emas keseluruhan dan naib johan kategori C (ahli akademik/penyelidik) sempena Ulul Albab Innovation Competition and Exhibition (UAICE) 2024 anjuran Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Ketua penyelidik Siti Fadhilah berkata, tajuk inovasi yang diketengahkan ialah 'Zakat on Inheritance: A Proposed of Implementation Zakat Guidelines Standard.'

"Pemilihan tajuk ini adalah bagi memberi kesedaran dan membantu semua pihak termasuk Institusi Zakat Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, institusi pentadbiran harta pusaka, pengamal undang-undang dan semua orang awam yang beragama Islam berkenaan kewajipan terhadap ahli waris bagi menunaikan zakat yang diperoleh daripada harta pusaka.

"Institusi zakat memang berada di barisan hadapan bagi memainkan peranan mereka.

"Namun, kesedaran dalam kalangan masyarakat dan beberapa institusi lain perlu digerakkan supaya wang zakat yang terkumpul itu kelak dapat diagihkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, Rektor KUIPs Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, beliau berbangga dengan pencapaian pensyarahnya memenangi Gold Medal dalam pertandingan inovasi itu.

Katanya, kejayaan ini tidak hanya membanggakan warga KUIPs tetapi apa yang penting, ia dapat membantu Institusi Zakat Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, institusi pentadbiran harta pusaka, pengamal undang-undang dan dapat menyedarkan masyarakat Islam mengenai zakat.

DR Muhamad Rozaimi (kiri) berbual dengan Siti Fadhilah (tiga dari kanan), Naimah (dua dari kanan) dan Suharne (kanan).
DR Muhamad Rozaimi (kiri) berbual dengan Siti Fadhilah (tiga dari kanan), Naimah (dua dari kanan) dan Suharne (kanan).

"Penyertaan mereka pertandingan ini adalah kesinambungan daripada penyertaan mereka dalam pertandingan inovasi di peringkat KUIPs iaitu Innovation, Invention & Design (KIID 2023) yang diadakan pada 15 November tahun lalu.

"Hasil penyertaan itu, mereka membuat penambahbaikan dalam beberapa aspek bagi memastikan penyelidikan ini memberi impak yang lebih signifikan kepada institusi yang terbabit.

"Justeru, dengan penyertaan itu, diharapkan memberi inspirasi kepada golongan penyelidik dan ahli akademik untuk menyalurkan idea dalam meningkatkan elemen inovasi dalam bidang penyelidikan," katanya.

Pertandingan inovasi yang disertai ini membabitkan 30 kumpulan terdiri daripada ahli akademik/penyelidik, guru-guru sekolah, pelajar institut pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

Antara institusi yang mengambil bahagian ialah UPSI, Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sains Malaysia (USM), Politeknik Ungku Omar, institusi-institusi di bawah MARA dan sekolah-sekolah di peringkat menengah dan rendah.

Majlis perasmian penutup Ulul Albab Innovation Competition and Exhibition (UAICE) 2024 dirasmikan Pengasas Konsep Ulul Albab, Tan Sri Idris Jusoh.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Dr Abdul Rahim Razalli, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI Dr Sakinah Salleh dan wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 6:47 AM