AHLI panel (dari kiri) Rena, Diana Danielle, Harveen dan Dr Linda.
AHLI panel (dari kiri) Rena, Diana Danielle, Harveen dan Dr Linda.
Intan Mas Ayu Shahimi


JENAMA produk penjagaan wajah berasaskan organik, Natugee baru-baru ini bergabung dengan Mrs Malaysia World, menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat sempena bulan kesedaran kanser payudara, Pinktober.

Program Healthy Is The New Happy! A Better You Today itu diadakan untuk memperkasakan kesihatan wanita. Ia sebagai dorongan untuk meningkatkan kualiti hidup, sekali gus memperkasa peranan wanita sebagai pemimpin masa depan.

Paling penting, ia juga menyentuh soal kesihatan mental dalam kalangan wanita yang jumlah penghidapnya semakin meningkat saban hari.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Natugee Sdn Bhd, Rena Rifaee berkata, majoriti wanita kini memikul peranan besar dalam kehidupan berkeluarga sehingga ada yang mengabaikan kesihatan diri.

“Mereka ini bukan saja terdiri daripada golongan isteri dan ibu, tetapi juga anak yang masih berbakti kepada orang tuanya, pekerja, pemilik perusahaan ataupun majikan.

“Peranan mereka kerap kali bertukar dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan semakin bertambah. Jika wanita ini gagal mengendalikan emosi dengan baik, ia boleh membawa kepada masalah kemurungan,” katanya.

Berikutan itu katanya, penting untuk wanita memastikan diri dalam keadaan sihat, bukan saja dari segi fizikal, bahkan stabil dari sudut mental kerana ia memberi impak ke atas diri mereka dan orang sekelilingnya.

 ACARA turut dimeriahkan dengan kehadiran finalis Mrs Malaysia World 2019/2020.
ACARA turut dimeriahkan dengan kehadiran finalis Mrs Malaysia World 2019/2020.

“Saya percaya, ada banyak ruang yang boleh menjadi pemicu kepada masalah kesihatan mental. Salah satunya adalah kesan penggunaan produk penjagaan wajah.

“Mungkin ramai tidak tahu bahawa sesetengah kandungan produk kecantikan boleh mengganggu hormon. Jika dibiarkan tanpa penyelesaian, ia boleh menjejaskan kesihatan dalaman dan luaran wanita itu sendiri.

“Justeru, pentingnya untuk wanita sedar mengenai impak penggunaan sesuatu produk dalam membina keyakinan dan kekuatan diri. Ketahui baik buruk setiap pilihan supaya tidak terjerat masalah tekanan,” katanya.

Selain Rena, program berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran tiga jemputan wanita yang berpengaruh dalam bidang masing-masing.

Antaranya, Pakar Antipenuaan, Perubatan Regeneratif dan Estetika, Dr Linda Mat Hassin; Pengarah Kebangsaan Mrs Malaysia World 2019, Datin Harveen Kaur dan selebriti popular, Datin Diana Danielle.

Sesi pertama bersama Dr Linda memberi pendedahan kepada peserta mengenai simptom ketidakseimbangan hormon yang memberi kesan kepada kesihatan dan gaya hidup.

Manakala Rena pula mengulas mengenai salah faham orang ramai terhadap produk penjagaan wajah yang menjadi antara penyumbang kepada permasalahan wanita.

Kemuncak acara kemudian menghimpunkan keempat-empat ahli panel untuk membincangkan mengenai masalah kesihatan kulit, hormon, pengurusan tekanan dan kesihatan mental.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:05 AM