BOLEH mengakibatkan masalah rumah tangga.
BOLEH mengakibatkan masalah rumah tangga.
Muhamaad Razis Ismail

Progesteron adalah salah satu hormon kewanitaan yang dirembeskan oleh sistem reproduktif wanita iaitu ovari atau kilang telur.

Ia adalah salah satu hormon yang akan mempunyai kadar naik dan turun tersendiri mengawal proses kitaran haid dan kesuburan dalam kalangan wanita.

Apabila semakin berusia, hormon ini akan berkurangan. Namun kini ramai dalam kalangan wanita yang masih muda menghadapi masalah ini berikutan stres dan berdepan bebanan kerja berlebihan.

Pengamal Perubatan Am, Pengkhususan Penuaan Sihat, Dr Linda Mat Hassin berkata, progesteron memainkan peranan penting dalam memulakan dan mempertahankan kehamilan untuk fasa seterusnya.

"Korpus luteum sebagai kelenjar penghasil hormon sementara di ovari menghasilkan hormon ini selepas ovulasi dan mempersiapkan lapisan rahim wanita untuk proses implantasi sel telur yang sudah menjalani persenyawaan.

"Sekiranya tidak ada telur yang disenyawakan, tahap progesteron menurun dan haid mula berlaku.

BEBANAN kerja berpanjangan boleh menyebabkan progesteron berkurang di awal usia.
BEBANAN kerja berpanjangan boleh menyebabkan progesteron berkurang di awal usia.

"Ketika hamil, hormon progesteron semakin aktif dan membantu mengembangkan pembuluh darah di lapisan rahim untuk kehamilan yang berterusan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau yang bertugas di Skyhill Clinic berkata, progesteron adalah antara hormon yang paling awal berkurangan apabila wanita meningkat usia 35 tahun berbanding hormon lain.

"Apabila berusia, kelenjar atau kilang ovari yang menghasilkan hormon progesteron juga makin 'berusia' sehingga penghasilannya semakin berkurangan," katanya.

Mengulas lanjut, wanita yang terdedah kepada stres dan bebanan kerja yang berpanjangan boleh mengakibatkan kekurangan progesteron yang amat ketara di awal usia.

"Progesteron akan menjalani proses metabolisme dalam badan untuk menghasilkan hormon stres, iaitu kortisol yang dirembeskan oleh kelenjar adrenal yang berada di atas kedua-dua buah pinggang.

PROGESTERON adalah hormon kewanitaan yang dirembeskan oleh sistem reproduktif wanita.
PROGESTERON adalah hormon kewanitaan yang dirembeskan oleh sistem reproduktif wanita.

"Apabila stres berpanjangan atau berterusan, badan akan 'mencuri' progesteron untuk terus menghasilkan hormon stres tadi setiap kali proses stres berpanjangan dan tinggi intensiti pada suatu masa.

"Keadaan ini mengakibatkan progesteron berkurangan dalam badan wanita," katanya.

Kesannya, sudah pasti terhadap kesuburan wanita sekali gus memberi kesan kepada pasangan yang mahukan zuriat.

"Golongan ini mudah sensitif dan mengalami gangguan emosi yang tidak stabil sehingga mengundang masalah keharmonian rumah tangga.

"Hubungan suami isteri terjejas kerana wanita muda hilang nafsu melayan suami. Kesan terhadap diri sendiri seperti kulit kering dan kusam sehingga memberi kurang keyakinan terutama kepada wanita berkerjaya," katanya.

DR LINDA
DR LINDA

Menurutnya, wanita perlu bijak dalam mengamalkan gaya hidup sihat dalam aspek pemilihan pemakanan yang seimbang, mempunyai nutrisi semula jadi dan lebihkan makanan tinggi lemak baik seperti minyak kelapa, zaitun, avocado dan telur.

"Jauhi makanan diproses dan tinggi kandungan gula serta dapatkan tidur yang mencukupi sebelum jam 12 tengah malam.

"Pergerakan atau senaman membantu menghasilkan hormon gembira dalam badan. Kawalan stres yang bijak membantu kehilangan progesteron," katanya.

Selain itu mereka boleh dibantu dengan terapi hormon progesteron yang semula jadi mengikut tahap keseriusan yang dikenali sebagai Bio Identical Hormones Replacement Therapy( BHRT).

Beliau turut menasihati wanita supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai produk yang dijual kononnya mampu merawat masalah terutama secara dalam talian.

KEKURANGAN hormon progesteron boleh beri kesan kepada kesuburan.
KEKURANGAN hormon progesteron boleh beri kesan kepada kesuburan.

"Berjumpa dan berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Tidak semua daripada kita mengalami tahap gangguan kesihatan yang sama dan rawatan gangguan hormon terhadap setiap wanita adalah berbeza," katanya.

ELAKKAN ambil ubat tanpa merujuk kepada doktor.
ELAKKAN ambil ubat tanpa merujuk kepada doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:20 AM