SEISI keluarga menyertai larian santai.
SEISI keluarga menyertai larian santai.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


TIDAK dapat dinafikan peranan suami dan bapa masa kini bukan lagi seperti dulu terutama apabila isteri keluar bekerja membantu menambah rezeki keluarga.

Tugas menjaga dan menguruskan anak dibahagikan seadil mungkin dan tidak hanya menyerahkan sepenuhnya kepada isteri walaupun anak masih bayi.

Senario itu menyebabkan kebanyakan bapa kini dilihat lebih mahir dalam menguruskan anak dan soal rumah tangga, langsung tidak kekok menukar lampin pakai buang dan boleh menguruskan makan pakai anak sekiranya isteri perlu bekerja lebih masa atau dalam keadaan kepenatan.

Bukan saja perlu memainkan peranan dalam perkata itu, bapa masa kini juga bijak membahagikan masa terutama ketika hujung minggu untuk diluangkan bersama isteri dan anak tersayang dengan aktiviti riadah yang menyeronokkan.

Baru-baru ini, seorang bapa yang ditemui dalam acara larian santai bersama kereta sorong bayi, ‘Huggies DADS. Stroller Fun Run’, Azahari Ishak, 34, berkata, walaupun sibuk dengan tugasan di pejabat setiap hari, dia tetap berusaha membantu isterinya yang bekerja untuk menguruskan anak.

“Bapa sekarang perlu tahu memainkan peranan dengan bijak supaya isteri dan anak tidak berada dalam keadaan tertekan. Disebabkan itu, saya turut menguruskan anak sebelum keluar bekerja dan tidak hanya menyerahkan tugas itu kepada isteri.

“Kami mempunyai tiga cahaya mata, yang sulung berusia lapan tahun, kedua empat tahun dan ketiga, sembilan bulan. Setiap pagi saya dan isteri akan bahagikan tugas, saya uruskan anak yang sulung dan kedua bermula daripada kejutkan mereka bangun tidur, mandi, sarapan dan hantar ke sekolah sebelum ke tempat kerja. Isteri pula uruskan bayi kami untuk dihantar ke rumah pengasuh,” katanya.

Menurutnya, untuk hujung minggu pula, dia membawa anak dan isteri beriadah, berjalan-jalan di pusat beli belah atau menyertai acara larian santai.

“Saya sangat teruja untuk berlari sambil menolak kereta sorong bayi bersama seisi keluarga. Bukan saja menyeronokkan, ia juga aktiviti ceria yang menyihatkan.

ACARA pelepasan larian santai bersama kereta sorong.
ACARA pelepasan larian santai bersama kereta sorong.

“Lokasi larian ini juga tidak jauh dari rumah kami, seawal jam 7 pagi kami keluar rumah untuk bersama-sama menyertai program menarik ini,” ujarnya.

Pada program itu, kira-kira 2,000 peserta hadir meraikan Huggies DADS (Dads Against Diapers that absorb Slowly) dan menyertai larian santai yang pertama dianjurkan sebagai usaha menentang lampin yang tidak memberikan serapan baik.

Acara menarik itu berjaya mencipta rekod ‘Acara Paling Ramai Bapa Menukar Lampin Secara Serentak’ dalam Buku Rekod Malaysia (MBR) yang membabitkan 478 bapa dan bayi.

Acara itu diadakan bagi mengiktiraf bapa masa kini yang turut memainkan peranan penting dalam penjagaan si manja setiap hari.

ANTARA bapa yang menyertai acara menukar lampin bayi.
ANTARA bapa yang menyertai acara menukar lampin bayi.

Program larian yang dijalankan di Eco Ardence, Setia Alam itu menjadi platform supaya setiap bapa dapat berusaha memberikan yang terbaik kepada si manja terutama dalam menggunakan lampin lebih menyerap.

Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Martina Jezdikova berkata, pihaknya percaya semua ibu bapa perlu memberikan yang terbaik dalam aspek penjagaan harian anak.

“Kalau kita lihat, kempen menghargai pengorbanan ibu memang banyak dan kami sedar bapa sering tidak mendapat pengiktirafan setimpal dengan peranan mereka yang penting dalam sebuah keluarga.

“Oleh itu, kami ingin menghargai penat lelah bapa yang turut memberi sumbangan besar membantu menjaga bayi mereka setiap hari. Kami sangat berbesar hati menyaksikan semua bapa yang datang bersama ahli keluarga masing-masing dan menyertai program serta larian santai ini.

“Lebih menarik, semua bapa di sini boleh berbangga kerana acara ini berjaya mencipta rekod pertama seumpamanya dalam MBR,” katanya.

Larian kereta sorong sejauh tiga kilometer itu membabitkan beberapa kios hentian interaktif yang terdiri daripada permainan melontar gelang, susun suai gambar saiz sebenar dan satu terowong 3D.

Selain mencipta rekod dan larian santai, acara itu juga menyediakan pelbagai aktiviti berorientasikan keluarga seperti cat muka, kraf pembentukan belon, kios foto dan penampilan khas Maskot Huggies.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 5:10 AM