HILMI dan Nor Shazrah sering mengkaji, teliti kelemahan. FOTO: Saddam Yusoff
HILMI dan Nor Shazrah sering mengkaji, teliti kelemahan. FOTO: Saddam Yusoff
Intan Mas Ayu Shahimi


MENINGGALKAN kerjaya sebagai idaman ramai untuk mengembangkan butik keperluan bayi bukanlah suatu keputusan yang mudah. Apalagi jika terpaksa bersaing dengan pelbagai butik berjenama yang sudah sebati dalam kehidupan masyarakat dulu hingga kini.

Bagaimanapun, minat, usaha, komitmen dan kesungguhan untuk berjaya tidak pernah menidakkan hasrat sesiapa pun untuk melangkah lebih jauh, sekalipun bidang diceburi tidak berkait dengan cabang akademik yang diteroka.

Bertemu pemilik butik Mom’s House, Hilmi Hamid dan isteri, Noor Shazrah Mohamad, siapa sangka kedua-dua bekas jurutera ini mempunyai bakat besar dalam meluaskan perniagaan berasaskan keperluan ibu dan bayi.

BERBINCANG jika perlu.
BERBINCANG jika perlu.

Bergerak seiring sejalan, pasangan ini dilihat cukup profesional dalam membuat keputusan biarpun berkongsi semua perkara daripada hal rumah tangga hinggalah urusan perniagaan seharian.

Kata Hilmi, 36, dia dan isteri seronok mengurus dan mengendalikan perniagaan yang daripada pandangan kasarnya dimonopoli jenama besar dan dimajukan bukan Melayu.

“Saya dulu pernah bekerja sebagai jurutera kemudian menjadi pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sebuah syarikat swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Isteri juga pernah berkhidmat sebagai jurutera di kilang elektronik sebelum menjadi penyelidik di syarikat swasta antarabangsa.

“Pengalaman berniaga memang tiada, namun saya mendapat dorongan daripada isteri yang rancak berniaga secara dalam talian. Pada awalnya, saya hanya membantunya secara sambilan, mana tahu rezeki terbentang luas di depan mata.

“Bermodalkan usaha kecil-kecilan ini, kami memutuskan untuk membuka kedai sendiri. Kami bermula dengan menyertai ekspo bayi di Putrajaya pada 2014 dan mengkaji kehendak pelanggan dan peluang yang ada untuk mengembangkan lagi perniagaan.

“Sehingga penghujung tahun sama, kami akhirnya nekad mengambil satu lot kedai di Shah Alam. Tanpa sebarang pengalaman menguruskan jualan runcit, kami mencuba nasib dan bergantung kepada teknik pemasaran Internet yang pernah dipelajari untuk menarik pelanggan datang ke kedai. Hasilnya alhamdulillah, pelanggan mula mengenali kami,” katanya.

ANAK PENCETUS IDEA

Berkongsi cerita di sebalik munculnya idea untuk terjun ke bidang perniagaan, Noor Shazrah berkata, kehadiran anak sulung menjadi pendorong utama buat mereka menceburi bidang berkenaan.

“Apabila hadirnya anak sulung, saya teruja mencari kelengkapan diri dan barangan bayi yang comel serta unik. Bagaimanapun, saya jadi geram kerana tidak banyak butik yang menyediakan keperluan lengkap bayi dan ibu berpantang.

“Jadi, apabila munculnya ruang dan peluang untuk mengembangkan bakat perniagaan dalam segmen ini, kami membuat perancangan sebaik-baiknya. Daripada premis berskala kecil di Alam Avenue, Shah Alam, kami membuka cawangan kedua yang lebih luas dengan konsep santai di Setia Alam.

“Adat berniaga, kami juga tidak dapat lari daripada masalah di Setia Alam. Jadi, kami berpindah pula ke Bangi Gateway. Cuma, sekarang cawangan di Bangi sudah dilesenkan kepada pemilik lain. Kami membuka butik seterusnya di Central I-City Mall Shah Alam dan Angsana Johor Bahru,” katanya.

BANTUAN kakitangan lancarkan lagi bisnes.
BANTUAN kakitangan lancarkan lagi bisnes.

Jelas Noor Shazrah, biarpun sambutan daripada pelanggan menggalakkan, dia dan suami tidak pernah berhenti untuk mengkaji, meneliti kelemahan dan merangka pelan untuk memajukan bisnes ke tahap seterusnya.

“Kami cuba membudayakan kaedah dan suasana butik paling santai untuk jaminan keselesaan bagi setiap pelanggan yang datang.

“Jika orang lain lebih suka menjalankan perniagaan secara terus, kami pula mendahulukan khidmat pelanggan untuk mendidik ibu bapa mengenai asas, penjagaan dan keperluan bayi.

“Bermula daripada fasa mengandung, berpantang, menyusukan hinggalah membesarkan bayi, kami bersedia membantu ibu bapa mendapatkan yang terbaik. Kami mahu mereka berasa puas melangkah keluar dari butik,” katanya.

BINA JENAMA, URUS KELUARGA

Dalam pada itu, Hilmi berkata, dia dan isteri sentiasa komited untuk memenuhi kehendak pelanggan tidak kira dari sudut kualiti, pilihan jenama mahupun harga.

“Kami sentiasa mencari kelainan untuk tampil berbeza berbanding pesaing. Bahkan, kami juga menghasilkan produk keluaran sendiri yang kini menerima permintaan tinggi.

“Saya juga selalu mengingatkan pekerja supaya mengutamakan pengetahuan ibu bapa terlebih dulu sebelum memberi mereka ruang untuk membuat pilihan.

“Ini kerana, ramai ibu yang datang ke sini tidak tahu apa yang terbaik untuk mereka. Mereka gembira jika dibantu dari segi mendapatkan khidmat nasihat dan penggunaan barang, khususnya pam menyusu.

“Semua khidmat nasihat dan pandangan adalah percuma. Apa yang penting, mereka faham fungsi dan keperluan, walaupun pada akhirnya nanti tidak jadi membeli. Pendekatan serupa turut digalakkan kepada lapan lagi pemilik jenama butik ini di seluruh negara,” katanya.

Mengenai anak dan keluarga, Hilmi dan Noor Shazrah tidak pernah bimbang. Biarpun masing-masing sibuk menguruskan premis dan perniagaan, tetapi kebajikan anak tetap diberi keutamaan.

“Anak diuruskan secara bersama. Suami mengambil tugas menghantar dan menjemput dari sekolah, saya pula perlu membahagi masa buat si kecil dan menjaga ayah yang sakit akibat strok.

“Memang tiada yang mudah. Ada masanya saya terpaksa membawa hal kerja sampai ke rumah. Ini yang kadang-kadang menyebabkan tekanan. Selain itu, peranan sebagai isteri dan rakan niaga juga beri cabaran besar.

“Kami perlu bersikap profesional di tempat kerja untuk memudahkan sebarang perbincangan. Di rumah pula kami suami isteri yang harus tebal dengan sikap toleransi.

“Tidak kira apapun keadaannya, saya tetap bersyukur kerana kami saling menyokong antara satu sama lain. Keluarga juga banyak membantu memberi semangat, dorongan, motivasi dan sokongan kewangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 5:00 AM