CAROLINE (kanan) menunjukkan cara senaman pelvis kepada peserta karnival.
CAROLINE (kanan) menunjukkan cara senaman pelvis kepada peserta karnival.
Rosyahaida Abdullah


Otot lantai pelvis yang juga dikenali sebagai otot kemut menyokong pelbagai aspek berkaitan sistem badan wanita seperti pengalaman seksual, kehamilan, kelahiran anak, kawalan pundi kencing, sokongan belakang dan tona abdomen.

Secara fizikal, otot yang terletak di dasar lantai pelvis ini memberikan sokongan kepada organ pelvis khususnya pundi hempedu, usus dan uterus.

Ia membalut sekeliling saluran seperti tali getah yang mengawal bukaan dan penutupan uretra, kanal faraj serta dubur melalui pengecutan dan rehat.

Apabila kita membuang air kecil misalnya, isyarat dihantar ke otot lantai pelvis untuk berehat dan melepaskan genggaman uretra yang membolehkan kita mengosongkan pundi kencing.

Otot ini boleh menjadi kuat dan lemah bergantung pada beberapa faktor dan tentunya ia perlu diperkuatkan sekiranya didapati lemah.

Cara mudah untuk mengenal pasti lantai pelvis yang kuat malah sihat adalah apabila ia berupaya menahan air kencing meskipun ketika bersin, batuk, ketawa mahupun melompat.

Kekuatan lantai pelvis juga diukur menerusi kemampuan seseorang menahan air kencing dalam tempoh yang lama disertai dengan kurangnya kekerapan desakan untuk membuang air kecil.

Petunjuk lain yang boleh dilihat ialah keupayaan seseorang mencapai orgasme dengan mudah serta postur yang baik.

Dalam pada itu, otot lantai pelvis juga boleh menjadi lemah dan kehamilan dikenal pasti sebagai punca utama menyebabkan keadaan ini berlaku, tidak kira bagaimana sekalipun kaedah bersalin yang dilakukan.

Ini kerana, sewaktu hamil, berat bayi disokong sepenuhnya oleh otot lantai pelvis selama sembilan bulan berterusan yang mengakibatkan ketegangan besar pada otot berkenaan.

Disebabkan itu, kepuasan seksual si ibu mula berkurangan disusuli episod lemah kawalan air kencing baik sewaktu hamil mahupun selepas bersalin yang berterusan dalam kehidupannya.

Bagi memperbaiki keadaan ini, otot lantai pelvis kuat semula hanya menerusi latihan serta senaman kemut ia boleh menjadi lebih baik. Melalui latihan pelvis atau senaman otot lantai pelvis, otot lantai pelvis akan menjadi lebih kukuh sekali gus memperbaiki fungsi uretra dan sfinkter rektum.

Dengan melakukannya secara berdisiplin, kelemahan kawalan air kencing dapat dirawat, membentuk otot lantai pelvis dan menambah kepekaan sewaktu mengadakan hubungan kelamin.

Menurut jurulatih peribadi Fit Revolution, Caroline Lee, seperti otot lain dalam badan, otot lantai pelvis juga akan menjadi lebih kuat menerusi senaman apabila ia semakin kuat jika senaman dilakukan lebih kerap.

Ia membabitkan aktiviti mencengkam otot pembuka rongga uretra, kanal faraj serta dubur yang perlu dilakukan serentak.

“Selama ini, bahagian belakang badan senantiasa menyokong bahagian depan. Ia memberi kesan kepada otot penting dalam badan termasuk otot lantai pelvis.

“Sewajarnya senaman otot ini dilakukan sebelum kehamilan lagi bagi memastikan lantai pelvis terdaya mengendalikan tekanan yang berlaku kesan daripada berat bayi dalam perut,” katanya ditemui pada karnival sihat, I Love Me, sempena Hari Wanita 2016 anjuran Persatuan Obstetrik dan Sakit Puan Malaysia (OGSM) di ibu negara, baru-baru ini.

Caroline berkata, selain senaman Kegel yang sememangnya dikhaskan untuk bahagian lantai pelvis, senaman otot teras juga boleh dilakukan. Namun, senaman membabitkan otot teras haruslah dielakkan di bahagian perut ketika hamil supaya tidak timbul masalah pada kandungan.

“Senaman membabitkan otot teras seperti otot perut semestinya penting dalam memastikan keseimbangan kawalan bahagian belakang dan hadapan badan. Namun ketika hamil, senaman ini perlu dielak dan sebaiknya tunggu hingga enam bulan lepas bersalin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:00 AM