TAMAN Komuniti Putra Heights dibina khas untuk kemudahan pelbagai lapisan masyarakat, diiktiraf IUCN.
TAMAN Komuniti Putra Heights dibina khas untuk kemudahan pelbagai lapisan masyarakat, diiktiraf IUCN.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SIME Darby Property Berhad (Sime Darby Property) membuktikan komitmen syarikat itu kepada aspek biodiversiti bandar dengan membuka Taman Komuniti Putra Heights di Putra Heights, Selangor.

Taman seluas kira-kira 3.075 hektar itu disiapkan pada bulan lalu menandakan kejayaan syarikat dalam usaha penjagaan alam sekitar melalui pemeliharaan ekosistem.

Ia menempatkan sebanyak 442 pokok yang terdiri daripada 30 spesies yang pelbagai, separuh daripadanya merangkumi spesies tumbuhan terancam yang diiktiraf Kesatuan Antarabangsa untuk Pemeliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Dibina dengan konsep inklusiviti, taman itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang sesuai dan selamat untuk kanak-kanak, warga emas serta golongan kurang upaya.

Ia termasuk laluan pejalan kaki mesra kerusi roda dengan panduan yang jelas.

Taman itu juga dilengkapi dengan lampu LED solar yang memanfaatkan sumber semula jadi untuk menjana tenaga.

Selain menikmati persekitaran yang tenang pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama keluarga di taman berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Hartanah, Datuk Ir Mohd Sohimin Mohd Alayedin berkata, syarikat terbabit menekankan komitmen terhadap pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan komuniti mampan.

Kata beliau, sebagai Force for Good, Sime Darby Property turut mengutamakan aspek kemampanan dalam semua yang mereka lakukan.

Katanya, syarikat kekal komited dalam menjaga dan memulihara alam sekitar bermula dari pembangunan yang dilakukan.

"Dalam menyokong ikatan komuniti dan 'placemaking,' kami berusaha untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan perbandaran kami dengan menyediakan pembangunan dan kemudahan awam berkualiti tinggi.

"Pembinaan Taman Komuniti Putra Heights ini mengukuhkan matlamat syarikat sebagai Pengganda Nilai kepada

Masyarakat, Perniagaan, Ekonomi dan Planet," katanya pada majlis pembukaan rasmi taman berkenaan, baru-baru ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 6:12 AM